PADA 24 November 2022, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dimaklumkan selepas baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Sebelum kita kenali dengan lebih lanjut siapa PM ke-10 Malaysia, mari kita imbau kembali siapa yang menyandang jawatan Perdana Menteri pertama sehingga kini.
Perdana Menteri Pertama: Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Tunku Abdul Rahman dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah.
Sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman memainkan peranannya sebagai Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri dengan mengetuai satu rombongan ke London pada tahun 1956. Rombongan tersebut bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian London telah dimeterai antara Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dengan kerajaan British dan British bersetuju untuk memerdekakan Tanah Melayu pada Ogos 1957.
Pada 31 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan Jalur Gemilang. Tunku Abdul Rahman kemudian mengetuai laungan ‘Merdeka’ sebanyak 7 kali dan disambut oleh rakyat dan bergema di seluruh perkarangan Dataran Merdeka.
Pada hari yang sama, beliau secara rasminya dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama dan dianugerahkan gelaran Bapa Kemerdekaan. Perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia bermula pada 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.
Perdana Menteri Kedua: Tun Abdul Razak
Tun Abdul Razak Hussein yang juga dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan’ telah dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang.
Beliau juga menyertai rombongan ke London bersama-sama Tunku Abdul Rahman. Setelah kemerdekaan dicapai, ketika mencecah umur 35 tahun, bermulalah perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri selama lebih 13 tahun.
Beliau dikurniakan gelaran Bapa Pembangunan oleh kerana jasa dan sumbangannya yang tidak terkira telah mendorong kepada pembangunan dalam negara.
Tun Abdul Razak secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 22 September 1970 dan berkhidmat sehingga 14 Januari 1976.
Perdana Menteri Ketiga: Tun Hussein Onn
Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn Ja’afar yang merupakan pengasas UMNO.
Beliau dianugerahkan gelaran Bapa Perpaduan kerana kesungguhan beliau memupuk semangat perpaduan kaum dan tegas dalam menentang sesiapa sahaja yang mencuba untuk membangkitkan isu krisis perkauman. Beliau sedaya upaya mencuba untuk menghalang daripada peristiwa 13 Mei yang terjadi pada tahun 1969 berulang kembali.
Beliau secara rasminya memulakan perkhidmatannya sebagai PM pada 15 Januari 1976 dan meletakkan jawatannya pada 16 Julai 1981 kerana masalah kesihatan yang mengekang penglibatan aktifnya dalam dunia politik.
Perdana Menteri Keempat: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak 1965 sehinggalah disingkirkan dari parti itu pada 26 September 1969. Beliau dipecat atas sebab terlalu lantang mengkritik kepimpinan UMNO yang ketika itu berada di bawah naungan Tunku Abdul Rahman.
Setelah dipecat dari UMNO, beliau semakin berani menyuarakan pendapat sehingga menerbitkan sebuah buku bertajuk The Malay Dilemma yang mengolahkan masalah ekonomi dan bumiputera pada ketika itu.
Selepas Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak, Dr. Mahathir diterima kembali untuk berkhidmat di bawah UMNO sehingga dilantik menjadi Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi.
Dr. Mahathir menerima gelaran sebagai Bapa Pemodenan Malaysia dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu selama 22 tahun. Beliau dilantik pada 16 Julai 1981 dan meletakkan jawatan pada 31 Oktober 2003.
Perdana Menteri Kelima: Tun Abdullah Ahmad Badawi
Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dipanggil sebagai Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Pak Lah mula menceburkan diri dalam dunia politik sekitar tahun 1966 tetapi mula terlibat secara langsung dalam medan politik selepas bapanya meninggal dunia pada 8 Mei 1977. Beliau mula bertanding dalam pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kepala Batas pada 1978 dan berjaya memenangi undi majoriti dengan 5,029 undian.
Pak Lah terus diberi kepercayaan apabila Dr. Mahathir melantik beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 1999.
Setelah perletakan jawatan Dr. Mahathir, Pak Lah dengan rasminya dilantik menjadi Perdana Menteri yang seterusnya pada 31 Oktober 2003 sehingga 3 April 2009.
Perdana Menteri Keenam: Datuk Seri Najib Abdul Razak
Mohd Najib Abdul Razak dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan putera sulung kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.
Penglibatan Najib dalam dunia politik bermula selepas kemangkatan bapanya pada 14 Januari 1976 akibat penyakit leukemia. Apabila Najib dipilih untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pekan, beliau sekaligus mencatat sejarah sebagai ahli parlimen termuda yang pada ketika itu hanya berusia 23 tahun.
Najib dengan rasminya dilantik menjadi Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009 dan kehilangan jawatan tersebut apabila Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.
Kini, Najib sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah beliau atas tuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Bekas ahli Parlimen Pekan itu menerima tujuh pertuduhan iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan kes pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Perdana Menteri Ketujuh: Tun Dr. Mahathir
Sekali lagi, Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara pada 10 Mei 2018.
Perlantikannya kali ini melakar sejarah baharu apabila menyandang jawatan tersebut pada umur 92 tahun sekaligus menjadikannya Perdana Menteri tertua di dunia.
Perkhidmatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh berakhir apabila beliau menghantar surat peletakan jawatan pada 24 Februari 2020 disebabkan kehilangan majoriti. Cadangannya untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui peristiwa Langkah Sheraton juga tidak diterima.
Perdana Menteri Kelapan: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin atau nama kelahirannya, Mahiaddin Md. Yassin dilahirkan pada 15 Mei 1947 dan berasal daripada Muar, Johor.
YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas beliau berjaya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Pelantikannya dibuat ketika negara sedang menghadapi kemelut wabak Covid-19, selain krisis ekonomi dan politik.
Beliau telah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan menjadikannya Perdana Menteri yang paling sekejap pemerintahannya.
Muhyiddin secara rasminya dilantik pada 1 Mac 2020 dan meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021. Keputusan itu dibuat selepas beliau hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.
Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Perdana Menteri Kesembilan: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Temerloh, Pahang Darul Makmur.
Ismail Sabri memulakan karier politiknya sebagai ahli UMNO pada tahun 1987, sebelum dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Temerloh pada tahun 1993. Selain itu, beliau juga merupakan Ahli Parlimen (MP) Bera sejak 2004.
Beliau secara rasmi dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin.
Tempoh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri secara rasmi tamat pada 24 November 2022 apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan pelantikan Perdana Menteri baharu.
Perdana Menteri ke-10: Datuk Seri Anwar Ibrahim
Selepas PRU15 diadakan, selama hampir seminggu rakyat Malaysia meneruskan hari-hari mereka dengan penuh tanda tanya. Siapakah yang akan dilantik menjadi PM kerana tidak ada parti yang mendapat majoriti mudah?
Dan persoalan tersebut akhirnya terjawab hari ini apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mengadakan Perbincangan Khas dengan kesemua raja-raja Melayu. Selepas 24 tahun, Anwar Ibrahim akhirnya menjadi PM Malaysia ke-10.
Anwar Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang. Beliau memulakan langkah dalam dunia politik dengan menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Beliau memainkan banyak peranan dan menjalankan tanggungjawab dalam kerajaan pada akhir abad ke-20 sebelum dipenjarakan pada 1998.
Pada tahun tersebut, Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Akibat pemecatan tersebut yang didakwa dilakukan secara tidak adil, Anwar mengetuai siri bantahan awam terhadap kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir.
Siri bantahan awam tersebut dikenali sebagai gerakan reformasi dan kekal menjadi identiti politik buat Anwar sehingga kini.
Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas gabungan pimpinannya, Pakatan Harapan (PH) berjaya mendapat undi dan kerusi Parlimen tertinggi dalam PRU15. Beliau dijangka mengetuai kerajaan campuran yang turut dianggotai BN, Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – RELEVAN