SECARA kasarnya, hutang dianggap sebagai sesuatu yang negatif. Lebih tinggi hutang, lebih banyak beban kewangan yang perlu ditanggung. Namun, dalam banyak hal, kita terpaksa mengambil hutang terutamanya apabila melibatkan pembelian barangan berharga tinggi seperti rumah dan kereta.
Disebabkan hutang sudah menjadi perkara biasa dalam pengurusan kewangan peribadi manusia, pakar kewangan membahagikan hutang kepada hutang baik dan hutang buruk. Walau bagaimanapun, menilai sesuatu hutang sebagai hutang yang baik atau buruk tidaklah mudah. Ia bergantung juga dengan situasi kewangan seseorang. Maknanya, hutang yang baik untuk individu A mungkin menjadi hutang yang buruk untuk individu B.
Untuk memahami makna dan kedudukan hutang baik serta buruk ini, ikuti rumusan Relevan untuk artikel Good Debt vs Bad Debt: What’s the Difference? oleh Investopedia ini.
- HUTANG BAIK
Fahaman mudah untuk hutang baik ialah hutang yang membantu anda menambah pendapatan atau nilai aset anda. Namun, penilaiannya tidak semestinya material. Hutang yang diambil untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup juga dikira sebagai hutang baik. Antara hutang yang dianggap baik ialah:
- Hutang pendidikan
Ini antara hutang yang paling banyak diambil oleh rakyat Malaysia, baik oleh pelajar sendiri atau ibu bapa. Mungkin dilihat membebankan tetapi kebaikan hutang pendidikan adalah dapat meningkatkan peluang seseorang memperoleh pendapatan yang tinggi. Maka, hutang pendidikan secara tidak langsung berupaya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup seseorang. Namun, pemilihan univerisiti atau program juga perlu diambil kira supaya pelaburan yang dibuat tidak sia-sia. Antara perkara penting yang perlu diambil kira ialah akreditasi program. Baca kepentingannya di sini.
- Perniagaan sendiri
Meminjam untuk memulakan perniagaan sendiri mungkin berisiko, tetapi ia berpotensi memberikan pulangan kewangan yang tinggi. Disebabkan modal untuk memulakan perniagaan itu kebiasaannya tinggi, ramai yang memilih untuk membuat pinjaman. Jika perniagaan dijalankan dengan baik dan berdisiplin, pulangannya dapat mengatasi risiko yang ada dan ia juga memberikan kestabilan kepada peminjam secara jangka masa panjang.
- Rumah atau hartanah
Rumah merupakan aset yang berbaloi dibeli kerana harganya hampir pasti meningkat. Namun, pelaburannya besar dan pembeli perlu bijak mencari hartanah yang berpotensi naik nilai. Ada beberapa cara untuk mendapatkan keuntungan dari hartanah. Paling mudah, beli untuk tinggal kemudian jual apabila harganya meningkat. Rumah juga boleh menjadi aset yang baik walaupun anda tidak berhasrat untuk menjadikannya sumber pendapatan. Jika mahu lebih untung, rumah yang dibeli boleh disewakan tetapi janganlah sehingga merampas hak orang lain. Membeli banyak rumah mampu milik hanya untuk disewakan itu tidak adil untuk golongan berpendapatan rendah. Rumah mampu milik disediakan supaya mereka mampu memiliki rumah sendiri, jangan ambil kesempatan untuk mengaut untung.
- HUTANG BURUK
Secara umumnya, hutang buruk bermakna pinjaman yang anda buat untuk membeli aset yang semakin kurang nilai. Hutang buruk tidak dapat membantu anda meningkatkan pendapatan atau meningkatkan taraf hidup. Antara contohnya:
- Kereta
Kereta adalah antara aset yang semakin lama semakin kurang nilai. Walaupun ia boleh dianggap satu keperluan, sangat penting untuk anda menilai pinjaman dengan menyeluruh. Dapatkan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah dan pastikan bayaran bulanannya dalam kemampuan anda. Jangan terpedaya dengan gaya hidup mewah. Nilai apa keperluan anda dan apa kereta yang paling berbaloi untuk dibeli. Namun, dalam beberapa keadaan, kereta boleh menjadi hutang yang baik jika digunakan untuk menambah pendapatan. Contohnya jika anda menggunakannya untuk kerja sampingan.
- Pakaian, perabot dan makanan
10 tahun lalu, kalau kita kata ada orang berhutang untuk beli pakaian dan makanan, ia kedengaran pelik. Tetapi kemajuan teknologi yang ada sekarang menjadikan ia tidak mustahil. Banyak aplikasi beli-belah sekarang menawarkan sistem beli dulu bayar kemudian (buy first pay later). Kebanyakannya menawarkan sifar faedah tetapi anda tetap perlu menilai sebaiknya kaedah pembayaran begini. Begitu juga dengan penggunaan kad kredit. Elakkan membeli barangan seperti makanan atau pakaian menggunakan kad kredit. Perabot yang mahal mungkin memerlukan kita meminjam tetapi cari tawaran kadar faedah terbaik.
Bukan semua hutang dengan mudah dapat dikelaskan kepada baik atau buruk. Ia berbeza mengikut situasi dan kedudukan kewangan individu. Sebagai contoh, ada orang yang meminjam untuk melangsaikan hutang sedia ada. Pinjaman sebegini dikenali sebagai pinjaman konsolidasi hutang. Kebiasaannya, kadar faedah yang dikenakan lebih rendah. Yang penting, pinjaman yang diberikan perlu digunakan untuk menyelesaikan hutang, bukan perbelanjaan lain.
Kesimpulannya, kesedaran untuk membuat pinjaman yang munasabah dan berbaloi perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Di sini letaknya kepentingan pendidikan kewangan peribadi supaya orang ramai tidak dengan mudah jatuh ke dalam perangkap hutang disebabkan kesedaran kewangan yang rendah. Relevan menyediakan banyak artikel berkenaan kewangan peribadi untuk rujukan anda.
Kenal pasti keperluan anda dan nilaikan kemampuan kewangan apabila membuat pinjaman. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah. – RELEVAN