RAMAI anggap sendawa selepas makan sebagai perkara biasa malah ada yang menganggapnya tanda perut sudah kenyang. Hakikatnya, sendawa memang sebahagian daripada proses semula jadi badan untuk mengeluarkan udara berlebihan dari perut.
Namun, jika ia berlaku terlalu kerap, berpanjangan atau sampai mengganggu aktiviti harian, itu mungkin bukan sekadar angin biasa.
Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr. Zubaidi Ahmad, sendawa berlaku apabila udara yang ditelan keluar semula melalui mulut. Jika udara ini tidak dikeluarkan, ia boleh menyebabkan perut kembung dan tidak selesa.
Antara punca biasa termasuk makan terlalu cepat, banyak bercakap ketika makan, minum minuman berkarbonat, mengunyah gula-gula getah dan merokok.
Tetapi dalam sesetengah kes, sendawa berlebihan boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan tertentu.
-
Aerofagia – Terlebih telan udara tanpa sedar
Aerofagia berlaku apabila seseorang menelan udara dalam jumlah yang banyak dan biasanya dalam keadaan tanpa sedar. Ia sering dikaitkan dengan individu yang sedang stres, cemas atau gugup.
Keadaan ini menyebabkan perut cepat penuh dengan udara, lalu badan akan melepaskannya melalui sendawa secara kerap.
-
Sendawa supragastrik – Berlaku sebelum udara masuk ke perut
Berbeza dengan sendawa biasa, sendawa supragastrik berlaku apabila udara dikeluarkan terlalu cepat sebelum sempat masuk ke dalam perut.
Ia sering dikaitkan dengan faktor psikologi seperti gangguan kebimbangan malah dilaporkan lebih kerap berlaku dalam kalangan individu dengan gangguan seperti OCD atau anoreksia.
-
GERD – Asid perut naik ke esofagus
Salah satu punca yang lebih serius ialah Gastroesophageal reflux disease atau GERD.
Keadaan ini berlaku apabila asid perut naik ke esofagus, menyebabkan rasa pedih ulu hati, regurgitasi (air atau makanan naik ke tekak dan tinggalkan rasa masam) dan ketidakselesaan pada dada.
Apabila ini berlaku, seseorang cenderung menelan lebih banyak udara sebagai reaksi, sekali gus menyebabkan sendawa berulang.
-
Gastroparesis – Perut lambat kosong
Gastroparesis adalah keadaan di mana perut mengambil masa lebih lama untuk mengosongkan makanan.
Apabila makanan terperap lebih lama dalam perut, lebih banyak gas akan terhasil dan ini meningkatkan kekerapan sendawa.
Keadaan ini sering dikaitkan dengan pesakit diabetes, terutama jika kawalan gula dalam darah tidak stabil.
-
Jangkitan bakteria dalam perut
Jangkitan bakteria seperti Helicobacter pylori boleh menyebabkan keradangan pada lapisan perut (gastritis) dan juga ulser.
Apabila ini berlaku, penghasilan gas dalam sistem pencernaan meningkat seterusnya menyebabkan sendawa yang lebih kerap daripada biasa.
Cara kurangkan sendawa berlebihan
Jika anda mengalami sendawa yang kerap, beberapa perubahan kecil boleh membantu:
-
Ubah tabiat makan
Makan secara perlahan dan elakkan bercakap terlalu banyak ketika makan. Kurangkan juga minuman berkarbonat dan makanan yang mudah menghasilkan gas.
-
Pertimbangkan rawatan ubat
Dalam sesetengah kes, ubat seperti Domperidone atau Metoclopramide mungkin disarankan tetapi perlu diambil dengan nasihat doktor atau ahli farmasi.
Bagi kes melibatkan GERD atau gastritis, rawatan seperti antasid atau proton pump inhibitor (PPI) mungkin diperlukan.
-
Jaga kesihatan usus
Amalkan makanan yang mengandungi prebiotik dan probiotik untuk membantu sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik. – RELEVAN


