KEBETULAN Mukmin Nantang ada program di Universiti Malaya. Ketika itu, saya sudah ada nama lain yang ingin diwawancara untuk Ikon Pendidikan Relevan tapi peluang yang jarang sampai sebegitu tak boleh dilepas.
Kami atur pertemuan dan syukur, dia ada masa untuk diluang bersama Relevan.
Mukmin datang dengan baju Bucksore Squad. Mungkin sebuah kolektif, atau jenama baju yang mendanai kolektif – saya tak pasti. Tapi gambarnya keras. Tiga lelaki dengan imej punk, rock, malah ada simbol anarki pada baju salah satu kutu itu.
“Mantap!” saya bisik dalam hati sebab memang saya mahu Mukmin datang dengan imejnya yang paling mentah. Tak perlu pakai kemas-kemas untuk penggambaran dengan media. Itu akan mengurangkan ketelusan seluruh artikel, saya tak suka.
Maka, sambil menunggu rakannya dari Borneo Komrad, Wan Shakila cari parkir, kami mulakan temu bual.
RELEVAN: Kita mula dengan pengenalan. Apa yang Mukmin buat selama ini dan kenapa nak buat semua itu?
MUKMIN NANTANG: Untuk organisasi, saya memang terlibat dari sekolah menengah lagi, dengan kawan-kawan. Kami sejak sekolah menengah memang sudah ada kesedaran politik. Mungkin dulu, waktu itu demonstrasi di Semenanjung, kita boleh lihat di televisyen. Mungkin juga, ada terbaca buku. Cikgu-cikgu juga, mungkin, ada yang bawa kami masuk persatuan Islam.
Memang cikgu ada bawa ke situ?
Ya. Sebenarnya dia bawa awal-awal pergi ceramah, ceramah agama. Waktu sekolah menengah kita minat untuk keluar. Pergi programlah. Contohnya, iktikaf atau apa-apa program lain. Saja nak keluar dari rumah.
Jadi, dari situ kecenderungan (terhadap politik) ada. Kita dengar ceramah, dah besar baru kita faham, ceramah yang kita dengar dulu itu ceramah politik (ketawa). Dia disulam dengan agama.
Selepas itu, mungkin terbaca juga buku-buku dan akhbar waktu itu. Internet juga baru mula naik. Awal-awal itu, kami buat gerakan sendiri. Gerakan Islam atau dakwah jalanan.
Ini semua waktu sekolah lagi? Sebelum SPM?
Selepas SPM. Waktu itu saya (ambil) STPM. Kami buat gerakan dakwah jalanan dan memang sudah wujud kesedaran awal apabila kita tengok televisyen, tengok berita.
Ketika tengok berita, kesannya seperti terbalik. Ada demonstrasi, berita tak setuju dengan tindakan itu tapi pada kami, ia jadi terbalik. Kami jadi setuju. Kita jadi macam, rasa apa ya? Kenapa benda ini boleh berlaku? Di Sabah tak ada benda-benda macam itu, kami hanya nampak di televisyen, di internet.
Macam mana persekitaran waktu itu di sana? Kalau di Kuala Lumpur, budak-budak boleh nampak semua yang jadi depan mata. Di sana tiada?
Saya di daerah Tawau. Memang tak ada. Sebenarnya memang cikgu di sekolah yang secara tidak sedar telah mendoktrin kami. Tengok berita lagi. Waktu saya di kampung, memang sudah mula terfikir dari kecil lagi. Saya hairan kenapa ada kawan-kawan yang tidak sekolah? Mereka bekerja di usia kanak-kanak. Kenapa hidup mereka terlalu susah, miskin? Jadi, memang dari sekolah menengah itu, pemikiran sudah terbangun mempersoalkan semua itu.
Jadi, daripada gerakan yang kami bina, kami jadi kritis. Tidak bersetuju dengan parti politik. Parti politik bukan citarasa kami. Mungkin ada terbaca, kami pun tak tahu tapi ada seorang pak cik ini di masjid, dia jual buku-buku lama. Dia jual buku Shit (Shahnon Ahmad). Kami sudah terdedah dengan bacaan sebegitu. Jadi, mungkin sebab itu, sebab pemikiran kita masih muda, kan? Jadi perasaan untuk memberontak, melawan muncul di situ.
Sebelum ke universiti, memang dah ada kelompok-kelompok organisasi. Selepas itu, mula buat Buku Jalanan. Tapi dari sekolah pun sudah mula ada, contohnya persatuan-persatuan seperti Pembimbing Rakan Sebaya. Mungkin di situ, secara kecil-kecilan, nilai kepimpinan itu muncul. Kesedaran untuk membantu orang lain.
Itu dikira kesedaran untuk berorganisasi. Untuk melawan lebih banyak di luar?
Di luar tapi di sekolah, memang kami berbincang politik.
Itu agak pelik sebab saya tak ada pengalaman sebegitu (di sekolah).
Sebab ada pilihan raya, setiap kawan-kawan ada kubu dia sendiri. Ada kubu warna biru, jadi kita berdebat. Dalam sekolah lagi mula berdebat. Sebenarnya STPM itu mendorong juga sebab itu mula kawan-kawan semakin matang. Kemudian waktu itu, 2012 itu selepas PRU 2008. PRU 2008 gelombang politik agak kuat.
Kalau tak silap, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) pun ada turun ke Tawau. Jadi, gelombang-gelombang itu juga didengar.
Dan Tingkatan Enam kita ada belajar Pengajian Am, kan?
Ya, Pengajian Am, dah masuk bahagian politik. Jadi, saya masuk universiti 2014. Sebenarnya kenapa muncul gerakan yang dibina oleh kami sendiri, sebab kami dah baca tentang gerakan mahasiswa sebelum masuk universiti lagi. Tapi bila masuk universiti, keadaannya tak seperti yang kita gambarkan. Kita sudah bersemangat apa semua.
Dulu, kita ada perasaan tak bersetuju dengan kerajaan, jadi kita rasa platformnya pembangkanglah. Tapi kita rasa pembangkang pun tak mencerminkan apa yang kita mahu. Jadi, dengan pembangkang pun kita tak bersetuju. Bila masuk universiti, benda yang sama.
Jadi, bila saya dan kawan-kawan lain pun masuk universiti, kami duduk berbincang. Kami rasa universiti tak menggambarkan apa yang kita nak. Secara jujurnya, gerakan macam promahasiswa itu semua proksi (parti) pembangkang. Macam, tak teluslah pergerakan mereka.
Di situ kami fikir, tidak ada aktiviti-aktiviti yang intelektual di universiti. Diskusi, tidak ada budaya. Itu mulanya saya rasa, perlu buat kelab pemikir di universiti supaya budaya itu ada. Akhirnya, apabila berbincang dengan senior untuk buat kelab, mereka kata ada satu kelab sedia ada yang boleh diambil. Namanya Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA). Daripada pergi daftar, susah lagi urusan birokrasinya, ini ada satu kelab yang boleh diambil. Boleh dirombak organisasinya.
Akhirnya mereka buat Mesyuarat Agung Tahunan, kami naik (kepimpinan). Waktu itu, tahun satu kami dah naik untuk pegang organisasi itu. Kami gubal (semula) perlembagaan. Itu mulanya sebenarnya, di Fakulti Seni (Universiti Malaysia Sabah – UMS). Saya dengan kawan-kawan seni yang mereka memang dengar lagu Iwan Fals, lagu-lagu punk, Marjinal.
Dulu KARMA ini difokuskan kepada mengajak mahasiswa buat penulisan kreatif, benda macam itu tapi kami ubah perlembagaan. (Jadi) seni cerminan masyarakat, benda-benda sebegitu. Dari KARMA, kami rasa parti politik di universiti semua proksi parti pembangkang, jadi kami buat parti politik sendiri. Bukanlah parti tapi ada pasukannya, berkembang menjadi Suara Mahasiswa. Selepas itu baru dia berkembang menjadi Buku Jalanan, Dapur Jalanan sampailah menjadi Borneo Komrad.
KARMA itu ibunya.
Maknanya, ia bermula dari tahun satu dan selama empat tahun ijazah, penghujungnya ia sudah jadi bermacam-macam?
Ya, betul.
Ketika itu, motivasinya mungkin, yang disebut tadi, mahu universiti jadi tempat yang dibayangkan semasa membaca buku tentang gerakan mahasiswa. Inspirasinya pula macam mana? Ada contoh dan rujukan yang diambil?
Ya, ada banyak sebenarnya gerakan. Macam kami, seni kreatif, belajar seni penulisan dan teater. Jadi, kami waktu itu banyak bacaan tentang gerakan sastera. Itu yang pelik sikit. Kalau gerakan mahasiswa di Semenanjung, mereka lebih kepada gerakan macam Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) tapi kami Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS 50). Bacaan kami itu.
Kalau di Indonesia, Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra). Inspirasinya (WS) Rendra, Wiji Thukul. Tapi semuanya ada kaitan dengan politik. Main teater, main puisi. Kalau lagu-lagu, biasalah: Iwan Fals, Marjinal. Kami cenderung kepada gerakan-gerakan seni tapi yang bersifat politik. Inspirasinya di situ.
Dalam KARMA dan Suara Mahasiswa, Buku Jalanan dan sebagainya itu dikira sebagai aktiviti? Atau ia satu organisasi juga?
Okay, apabila di universiti, kami faham tak semua orang berminat dengan aktivisme. Kami belajar teater dan sastera, kami belajar tentang cara nak jadikan sesuatu budaya itu pop. Jadi, kami sangat percaya yang ada orang dia minat pergi Buku Jalanan tapi tak minat berpolitik sangat. Dia minat nak buat Sekolah Jalanan, mengajar tuisyen tapi tak minat nak baca buku. Ada yang minat puisi, lagu tapi tak minat pergi demonstrasi. Waktu itu, kami nampak trend. Mahasiswa terpecah-pecah, jadi kami nak buat banyak gerakan, bukan hanya satu.
Nak tarik sikit-sikit, macam itu?
Tujuannya adalah untuk menjadikan semua orang itu simpatisan.
Simpatisan terhadap?
Terhadap gerakan-gerakan nanti.
KARMA?
Ya, KARMA dan Suara Mahasiswa. Dia jadi satu organisasi juga sebenarnya. Organisasi-organisasi kecil tapi masing-masing fokus pada bahagian masing-masing. Cuma, contohnya kalau macam kita ditahan polis atau ditekan universiti, kita sudah ada simpatisan. Itu strateginya.
Segala yang dibuat nampak macam awak nak keluar dari saluran rasmi. Macam buat NGO berbanding parti politik. Tapi kenapa pada tahun akhir, awak buat keputusan bertanding Pilihan Raya Kampus (PRK) UMS?
Oh, tak. Sebenarnya saya daripada tahun dua dah masuk bertanding. Sebab kami ini budak seni, memang waktu itu fokus pada seni. Memang ada perasaan nak melawan tapi tak ada perasaan untuk memimpin orang.Kami pun ketika itu dengan gaya kami – tak pakai blazer, rambut panjang. Tapi dari tahun satu kami dah fikir dan berbincang, sebab UMS ini, yang menariknya, apabila PRK setiap kolej kediaman akan diatur untuk didatangi calon-calon. Mereka akan bentangkan manifesto. Rapat umum.
Jadi, tahun satu kami tonton, kami betul-betul kecewa. Sebab, takkan ini sahaja yang mereka mahu angkat? Isu mesin basuh, wi-fi. Tak ada satu pun yang cakap tentang masalah masyarakat di luar. Tak ada yang mahu angkat budaya intelektual, macam mana hubungan dan fungsi universiti yang sebenar.
Waktu itu, kami yang acah-acah pemikir ini, budak-budak gerakan seni, rasa agak teruk juga (PRK). Takkan ini yang kami mahu undi. Dan waktu itu kami tak mengundilah (ketawa).
Dalam masa setahun itu, kami mula bina gerakan yang agak politik. Waktu awal kami menyokong promahasiswa tapi bila promahasiswa tak mengangkat apa yang kita mahu, kami tak mahu jadi simpatisan mereka. Di situ baru kami fikir, lebih baik buat gerakan sendiri. Tapi waktu itu tak tahu macam mana nak bertanding pilihan raya.
Kami fikir perlu ada parti politik yang betul-betul. Rupanya tak pun. Kami cedoklah mana-mana nama yang pernah digunakan. Dulu ada Barisan Siswa Cemerlang, kami guna. Kami bermesyuarat siapa nak pergi (bertanding) tapi biasalah, budak seni, mereka tak mahu menonjol. Jadi, sayalah yang terpaksa bertanding.
Tapi tujuan asalnya bukan untuk menang. Kami tak berkempen, poster, tampal-tampal. Kami memang fokus nak cakap apa yang kita nak cakap. Jadi, rapat umum itu tempat yang kita tahu mahasiswa akan berkumpul dan dengar kita cakap apa.
Kiranya hanya mahu manfaatkan platform rapat umum?
Ya, memang kerjanya nak menghasut saja. Secara jujurnya, nak cakap tentang keadaan sebenar di universiti. Pentadbir buat apa? Keadaan masyarakat di luar macam mana?
Sebelum kita habiskan fasa universiti ini, mungkin boleh beri pandangan sikit tentang keadaan universiti sekarang. Saya rasa selepas 2018, kemudian ada pindaan AUKU semua, PRK dah tak jadi macam dulu, kan? Dah tak ada parti-parti, hanya ada calon saja. Dan wujud Kesatuan Mahasiswa. Rasanya semua itu menjadikan gerakan mahasiswa lebih baik atau lebih memandulkan?
Sebenarnya, kalau baca tentang gerakan mahasiswa, ia betul-betul hancur pada 2015, ketika PAS berpecah. Pada pendapat saya, gerakan mahasiswa mula hancur ketika itu. Apabila PAS berpecah, pembangkang anak muda berpecah. Di situ mula, kononnya, promahasiswa boikot. Sebenarnya tak ada, tak ada gerakan. Sebab apabila parti politik berpecah di luar, gerakan mahasiswa di luar (universiti) pun berpecah, gerakan mahasiswa di dalam pun berpecah.
Selepas 2018 punya fasa pula, apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Masalah PH jadi kerajaan ini, saya fikir, kita terlalu mahu ikut template. Kita meromantiskan autonomi mahasiswa sampai tak tahu apa makna sebenar autonomi mahasiswa. Bagi saya, autonomi mahasiswa perlu dituntut, bukan diberi.
Bayangkan, kalau kita nak beri autonomi mahasiswa 1960-an kepada mahasiswa 2018, memang tak masuk akal. Nak urus tentang bas, ekonomi universiti dan sebagainya. Jadi masalah (apabila mahasiswa) tak ada semangat, roh nak melawan. Roh untuk mandiri, nak berautonomi. Apa yang kerajaan bagi ialah template. Sepatutnya, tak perlu beri template kepada Kesatuan Mahasiswa.
Beri kebebasan untuk struktur sendiri, maksudnya?
Kalau mereka struktur sendiri, kalau mereka tak nak, contohnya, tak boleh nak uruskan lagi tentang bas di universiti, tak apa. Tapi mereka ada semangat untuk bercakap tentang apa yang mereka nak dulu.
Di situ masalahnya. Kita semua bermegah dengan nama Kesatuan Mahasiswa tapi nilai dan makna, roh dan semangat itu tak ada. Kenapa? Mereka tak lalui proses itu. Kenapa orang tuntut autonomi dulu? Kenapa orang nak buat kesatuan? Macam kesatuan buruh, kenapa mahu buat kesatuan buruh? Sebab ada keterdesakan.
Tak ada apa-apa isu, tiba-tiba nak ada kesatuan. Jadi peliklah. Dia tak lalui proses untuk jadi kesatuan, tiba-tiba diberi kesatuan. Dan ditentukan, ini boleh buat, itu tak boleh buat. Sama. Jadi, sebenarnya, fasa membina itu tak ada. Itu masalahnya, dipotong di situ.
Sepatutnya apabila dah besar, yang perlu dibina, yang perlu dilatih ialah gerakan mahasiswa yang membangunkan pemikiran. Bukannya bagi template, macam mana nak mendaftar Kesatuan Mahasiswa. Yang dibuat mereka, pergi jelajah macam mana nak mendaftar Kesatuan Mahasiswa. Mereka tunjukkan macam mana perlembagaan. Sepatutnya berbeza mengikut universiti. Ikut apa yang mereka mampu berikan, apa yang mereka mahu capai. Baru ada semangatnya.
Mungkin sebab itu dah tak dengar apa-apa impak daripada gerakan mahasiswa?
Ya, betul. Tak ada. Yang saya nampak masih ada sedikit radikal, UMS. Mereka mahu air. Masih ada, macam baru-baru ini, mereka nak buat wacana tentang stateless tapi dihalang.
Cuma, masalah UMS ini, macam kami dulu di Sabah ini, mereka tak dapat perhatian nasional. Zaman kami dulu, kami nampak strategi macam mana gerakan mahasiswa di Sabah mekar juga di Kuala Lumpur. Kami buat hubungan.
Bagi saya, gerakan mahasiswa di Sabah sekarang, Suara Mahasiswa, sangat kuat. Sangat bagus. Cuma mereka tak dapat liputan sebab tak ada jaringan. Tak selalu ulang-alik ke sini (Semenanjung). – RELEVAN