DI balik gegak gempita dunia digital, irama syair, puisi dan gurindam yang suatu ketika dahulu pernah menjadi nadi kebudayaan bangsa semakin pudar nadanya.
Apa yang dahulunya mengalir indah di bibir para pemidato dan menjadi inti penting dalam pelbagai acara kebudayaan serta majlis ilmu, kini hanya tinggal helaian sunyi dalam buku teks sastera. Karya-karya ini dibaca sekadar untuk lulus peperiksaan bukanlah untuk direnung, dihayati atau difahami maknanya yang mendalam.
Sastera bukan sekadar hiburan
Ramai yang menyangka bahawa puisi atau syair hanyalah bentuk hiburan lama yang tidak lagi relevan. Hakikatnya, karya-karya sastera tradisional seperti gurindam, pantun, seloka dan syair bukan sahaja menggambarkan kreativiti bangsa malah menyampaikan nasihat, nilai moral, adat dan panduan hidup yang amat berguna.
Sebagai contoh, A. Samad Said, Sasterawan Negara yang cukup dikenali dengan karya-karya seperti Salina dan puisi Tanah Air, menggunakan sastera untuk menyuarakan isu kemanusiaan, perjuangan dan cinta terhadap negara.

Puisinya bukan sahaja indah dari segi bahasa tetapi juga penuh dengan semangat dan makna yang mampu membentuk pemikiran serta jiwa masyarakat. Keupayaan A. Samad Said mengekspresikan perasaan rakyat dan mencerminkan keadaan sosial melalui sastera menjadikan karyanya sentiasa relevan merentas generasi.
Kenapa pelajar menjauh?
Salah satu sebab utama karya-karya sastera ini semakin dijauhi oleh pelajar adalah kerana cara ia diperkenalkan di sekolah. Pengajaran yang terlalu berfokus kepada peperiksaan dan hafalan menyebabkan pelajar menganggap karya sastera sebagai beban dan bukanlah sesuatu yang menarik.
Tambahan pula, kurangnya pendedahan terhadap sastera dalam bentuk yang lebih interaktif seperti teater, deklamasi puisi atau pertandingan pantun menyebabkan pelajar tidak berpeluang merasai keunikan dan keseronokan sebenar dalam dunia sastera.
Karya-karya sastera sering kali dilihat ‘ketinggalan zaman’ sedangkan mesejnya tetap segar dan berharga jika diberi ruang untuk dikupas dalam konteks hari ini.
Sastera bentuk jati diri
Sastera adalah cermin jiwa bangsa. Apabila pelajar melupakan sastera, mereka sebenarnya sedang kehilangan hubungan dengan akar budaya sendiri. Dalam setiap bait puisi dan irama syair tersimpan sejarah, nilai dan cara hidup yang membentuk jati diri bangsa.
Jika kita ingin membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi mempunyai jiwa yang halus, empati yang tinggi dan rasa cinta kepada warisan budaya, maka sastera tidak boleh diketepikan.
Peranan guru, ibu bapa
Guru memainkan peranan besar dalam menghidupkan semula minat pelajar terhadap sastera. Kaedah pengajaran yang kreatif dan interaktif mampu menjadikan puisi atau gurindam sebagai bahan pembelajaran yang menyeronokkan. Misalnya, mengaitkan maksud puisi dengan situasi semasa atau membenarkan pelajar menghasilkan karya mereka sendiri berdasarkan pengalaman hidup.
Ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan memperkenalkan karya-karya sastera klasik di rumah sama ada melalui bacaan malam, tontonan drama adaptasi sastera atau kunjungan ke pementasan teater.
Sastera dan masa depan
Kita tidak boleh menafikan bahawa dunia bergerak pantas dan pelajar hari ini lebih tertarik dengan kandungan visual serta interaktif. Namun begitu, ini bukan alasan untuk meninggalkan sastera. Sebaliknya, kita perlu menggabungkan kekuatan teknologi dengan keindahan bahasa.
Bayangkan jika puisi dinyanyikan dalam bentuk lagu moden atau gurindam dimuat naik dalam bentuk video pendek yang menarik, pasti ramai pelajar yang akan tertarik dan ingin mengenalinya dengan lebih mendalam.
Kesimpulannya, sastera bukan untuk dikenang sebagai bahan sejarah semata-mata tetapi untuk terus hidup dalam jiwa generasi muda. Ia bukan sekadar kumpulan kata indah tetapi lambang kebijaksanaan nenek moyang yang tidak harus kita abaikan.
Pelajar hari ini masih mempunyai ruang untuk mendekati kembali puisi, syair dan gurindam. Yang perlu hanyalah sedikit usaha untuk membuka semula halaman yang kian berhabuk dan menyedari bahawa dalam bait-bait lama itu, terselit cahaya untuk membina masa depan yang lebih berbudaya. – RELEVAN