JENAMA Reda Coffee sinonim dengan Shah Alam. Cawangan sulungnya itu cepat popular bukan saja dalam kalangan penggemar kopi, malah peminat muzik dan sastera.
Pemiliknya, Mosyuki Borhan memang dikenali dalam ranah sastera negara, khususnya lapangan sastera mandiri. Dia menerajui rumah penerbitan Rumah Ripta selain membina nama sebagai penyajak dan pendeklamasi.
Kelibatnya juga ada dalam lapangan muzik. Selain menguruskan kugiran pop alternatif, Lab The Rat, Mosyuki juga terlibat dalam beberapa projek muzik, termasuk sebagai artis undangan dalam lagu kemacahya oleh motherwit dan menulis lirik lagu Rasa Yang Hilang dendangan Heidi Moru.
Penglibatan Mosyuki dalam pelbagai lapangan memudahkan Reda Coffee terbentuk menjadi jenama yang dikenali.
Sebab itu, apabila jenama dengan logo alpaka itu mengumumkan pembukaan cawangan baharu di Rumah 105, Setapak, ia mudah mendapat perhatian ramai.
Lebih-lebih lagi apabila pelancarannya dibuat bersama dengan acara muzik, lebih mudah nama Reda Coffee melekat dalam kepala ramai orang.
Seni budaya dalam seduhan kopi
Acara muzik yang dimaksudkan ialah Mixtape Vol. 1 yang dianjurkan secara bersama oleh Reda dan Hide Audio And Events. Ia berlangsung pada 28 Jun lalu.
Ada lima penyanyi dan kugiran yang ditampilkan, iaitu Antaralima, Aus et al., Lab The Rat, Heidi Moru dan Teman Lelaki. Kelima-lima mereka berpanggung secara akustik di ruang tamu Rumah 105 sementara para barista Reda menyeduh kopi di dapur.
Saya hadir sejak persembahan pertama. Bersama menjenguk-jenguk mahu melihat persembahan dan berlari anak mengelak hujan di pertengahan acara.
Saya fikir, malam itu saya betul-betul menghargai kewujudan kedai kopi estetik yang memilih untuk mengetengahkan seni budaya sebagai sebahagian identitinya. Sebab di situ ada muzik, ada sastera (Kolektif Ketepi berdagang buku, zine dan cenderamata) serta seni paling intim dan berharga – borak.
Saya tahu ini tidak eksklusif untuk Reda Coffee sahaja. Banyak lagi kedai kopi lain yang buat benda sama, malah mungkin lebih. Tapi sebab saya hadir melihat Reda Coffee KL membuka langkah, merekalah yang akan dijulang dalam artikel ini.
Yang dicari ialah suasana
Waktu mula-mula menetap di Kuala Lumpur, kira-kira tujuh tahun lepas, saya tak pernah letak sasaran mahu menjadi manusia yang melepak kedai kopi mahal secara kerap. Miskin satu hal, tak biasa dengan budaya itu juga satu hal.
Tempat lepak saya biasanya kedai mamak. Di situ, saya boleh duduk berjam-jam dengan kawan.
Tapi, selepas dibawa melepak Bijou Cafe lebih setahun lepas, kemudian beberapa kali melabuh punggung di kerusi Reda Coffee dan lebih berimpak, Kona Mokapot Coffee dalam Universiti Malaya (UM) yang kini menjadi tempat lepak mingguan, saya mula merasai keseronokan melepak di kedai kopi.
Modalnya besar sikit tapi yang tak ternilai ialah suasananya. Ambien kedai kopi yang selesa menggabungkan ruang yang luas, muzik yang sederhana dan aroma kopi yang sayup. Susah nak dapat suasana sebegitu di kedai mamak.
Reda Coffee KL lebih istimewa sebab lokasinya di kawasan perumahan. Waktu pertama kali hadir, saya rasa seperti melepak di rumah kawan.
Ada keintiman yang ditawarkan Reda Coffee KL kerana ia terletak di dalam rumah. Halamannya terhampar menunggu mesra. Ruang tamunya memanggil-manggil kita duduk. Dapurnya beraroma kopi, hangat mengajak singgah.
Kadang-kadang bila bosan, saya ke halaman belakang. Dari situ boleh nampak para barista bekerja dari celah tingkap dengan rekaan klasik. Asyik!
Bandung lagu dalam pita
Acara Mixtape pada malam 28 Jun memenuhi makna namanya. Ia sebuah pita bandung – kumpulan lagu yang dikumpul atas satu tujuan tapi ada kepelbagaian.
Nama seperti Teman Lelaki dan Heidi Moru sudah biasa tampil dalam acara berkonsep akustik. Begitu juga Aus et al. Tapi kemunculan Lab The Rat dan pengacaraan – yang mungkin impromptu – oleh Fimie Don memberi kelainan. Suasananya lebih meriah.
Sejak awal, Fimie pandai menarik perhatian pengunjung untuk terus mendengar dia berceloteh. Kadang-kadang masa perlu dilajak sebab masalah teknikal. Dia masih berceloteh menghibur tetamu.
Malah, dalam set persembahan Heidi Moru, Fimie turut tampil berlagu dengan gaya uniknya: dia berada di tengah-tengah antara seorang penyanyi, penyanyi rap dengan penyajak spoken word.
Lab The Rat – walaupun kurang dikenali generasi baharu – tampil bersahaja tapi lengkap. Ini kali pertama saya menonton mereka tanpa pemain dram. Tambahan pemain saksofon yang bermain spontan juga menambah rasa.
Malam itu, walau kadang-kadang terganggu dengan hujan renyai, suasananya meriah dan intim. Persembahan lain oleh Antaralima, Aus et al., Heidi Moru dan Teman Lelaki berlangsung seperti sepatutnya sebuah persembahan akustik berlangsung. Nyaman dan hangat dengan nyanyian bersama oleh penonton.
Muzik dalam cangkir plastik
Saya mengharapkan persembahan muzik di kedai kopi menjadi lazim; lebih lazim daripada sekarang.
Ia sesuai dengan semangat zaman generasi sekarang. Kedai kopi menjadi tempat melepas lelah dan memulih diri. Muzik pula sudah menjadi runut hidup manusia sejak sekian lama. Dua hal ini sangat cocok digabungkan.
Reda Coffee faham hal ini. Sebab itu menu istimewa mereka banyak yang diilham dari tajuk lagu.
Air coklat raspberinya diberi nama Raskat, sempena tajuk album Wani Ardy. Teh lemon raspberinya dipanggil Dersek, macam lagu Zulhezan. Lemon raspberinya juga dari lagu Zulhezan, iaitu Gemulai (tajuk penuhnya Henjar / Gemulai). Raspberi pic dipanggil Semilir, matcha mangga digelar Mekar, kedua-duanya dari lagu Bayangan.
Langkah kecil dalam bentuk nama minuman itu buat kita faham, kedai kopi itu sesuai untuk peminat muzik. Maka, sangat sesuailah mereka menganjurkan lebih banyak acara muzik.
Reda Coffee KL di Rumah 105, Setapak buka setiap hari kecuali Selasa, dari pukul 1 tengah hari hingga 10 malam.
Jemputlah singgah, ada banyak kenangan boleh dicipta di sana. – RELEVAN