KEKAYAAN lima individu terkaya dunia meningkat lebih dua kali ganda sejak 2020 dan dalam masa sama, hampir lima bilion manusia lain semakin miskin.
Menurut Oxfam International, lima individu terkaya dunia seperti dalam senarai Forbes meningkatkan kekayaan mereka daripada AS$405 bilion (RM1.91 trilion) kepada AS$869 bilion (RM4.1 trilion) sejak 2020, dengan kadar AS$14 juta (RM66.03 juta) setiap jam.
Katanya, jika trend itu berterusan, dunia akan menemui trilionair pertamanya dalam tempoh sedekad, sedangkan kemiskinan tegar memerlukan 229 tahun untuk dihapuskan.
Fakta-fakta itu merupakan dapatan daripada laporan Inequality Inc. yang diterbitkan pada 15 Januari.
Laporan sama turut mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 syarikat terbesar dunia mempunyai ketua pegawai eksekutif (CEO) atau pemegang saham prinsipal yang bertaraf bilionair.
Syarikat-syarikat tersebut juga bernilai AS$10.2 trilion (RM48.11 trilion), lebih tinggi berbanding gabungan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) semua negara dalam benua Afrika dan Amerika Latin.
Dekad perpecahan
Pengarah Eksekutif interim Oxfam International, Amitabh Behar menganggap data-data berkenaan jurang kekayaan yang dikumpul dalam tempoh beberapa tahun ini merupakan permulaan kepada dekad perpecahan (decade of division).
Ia merujuk kepada pelebaran jurang kekayaan yang semakin ekstrem, khususnya apabila orang ramai terpaksa menanggung hentakan ekonomi akibat pandemik, inflasi dan peperangan sementara kekayaan bilionair terus meningkat.
“Ketaksaksamaan ini bukan kemalangan; kelas bilionair sedang memastikan syarikat-syarikat terus menambah kekayaan mereka dengan mengorbankan orang lain.
“Kuasa korporat yang tak terkawal (runaway corporate) dan monopoli adalah mesin yang menjana ketaksaksamaan. Dengan memerah tenaga pekerja, mengelak cukai, menswastakan negara dan mendorong perubahan iklim, syarikat-syarikat mengalirkan kekayaan tanpa hujung kepada pemilik ultrakaya mereka,” katanya dalam kenyataan pada 15 Januari.
Malah, bagi Behar, bukan sekadar kekayaan yang dialirkan kepada ultrakaya tetapi juga kuasa. Dan ia menghakis demokrasi dan hak orang ramai.
Kata beliau, tidak ada mana-mana syarikat atau individu yang patut mempunyai kuasa sebesar itu terhadap ekonomi dan kehidupan orang ramai.
“Mudahnya, tidak ada manusia yang sepatutnya memiliki 1 bilion dolar,” tegasnya.
Monopoli meraja
Menurut Oxfam, dalam tempoh tiga tahun ini, pertumbuhan mendadak kekayaan melampau sangat kukuh sementara kemiskinan tegar global tertakung pada tahap sebelum pandemik.
Katanya, kekayaan para bilionair meningkat 3.3 trilion sejak 2020 dan meningkat tiga kali ganda lebih cepat berbanding kadar inflasi.
Terdapat tiga fakta yang dikongsikan Oxfam, menunjukkan ancaman monopoli yang semakin membesar dan membimbangkan.
- Bernard Arnault menjadi manusia kedua terkaya dunia hasil pemilikan empayar barangan mewah, LVMH yang telah didenda badan antipakatan Perancis. Beliau juga memiliki rangkaian media terbesar Perancis, iaitu Les Echos dan Le Parisien.
- Orang terkaya Afrika, Aliko Dangote hampir memonopoli industri simen di Nigeria. Pengembangan empayarnya kepada industri minyak membangkitkan kebimbangan tentang monopoli swasta yang baharu.
- Kekayaan Jeff Bezos meningkat AS$32.7 bilion (RM154.23 bilion) sejak 2020. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menyaman sumber pendapatan Bezos, Amazon kerana menggunakan kuasa monopolinya untuk menaikkan harga, mengurangkan kualiti perkhidmatan untuk pembeli dan melumpuhkan persaingan.
“Monopoli membahayakan inovasi dan membunuh pekerja serta perniagaan kecil.
“Dunia belum lupa bagaimana monopoli syarikat farmaseutikal merampas hak berjuta orang untuk vaksin Covid-19, mencipta aparteid vaksin yang perkauman sementara memulakan kumpulan baharu bilionair,” kata Behar.
Campur tangan
Dedah Oxfam, pekerja di seluruh dunia terpaksa bekerja lebih keras dan lama, kebanyakannya untuk gaji di paras kemiskinan dan pekerjaan yang tidak tentu serta tidak selamat.
Pertubuhan melawan kemiskinan itu mendakwa, gaji hampir 800 juta pekerja tidak mampu mengejar inflasi dan pekerja kehilangan AS$1.5 trilion (RM7.07 trilion) dalam tempoh dua tahun lalu, bersamaan kehilangan hampir 25 hari gaji untuk setiap pekerja.
Malah, analisis Oxfam untuk data World Benchmarking Alliance yang melibatkan 1,600 syarikat terbesar dunia menunjukkan hanya 0.4 peratus daripada mereka secara awam menyatakan komitmen untuk membayar gaji kehidupan wajar dan menyokong gaji kehidupan wajar dalam rantaian nilai mereka.
Dalam keadaan semasa, dunia memerlukan 1,200 tahun bagi wanita yang bekerja dalam sektor kesihatan dan sosial mempunyai gaji setahun yang setara dengan purata CEO dalam syarikat 100 Fortune.
Bagi Behar, campur tangan kerajaan diperlukan kerana kuasa awam dapat mengekang kuasa korporat yang tak terkawal dan ketaksaksamaan, seterusnya membentuk pasaran yang lebih adil serta bebas daripada kawalan jutawan.
“Kerajaan perlu campur tangan untuk memecahkan monopoli, memperkasa pekerja, mencukai keuntungan besar syarikat dan paling penting, melabur dalam era baharu barangan dan perkhidmatan awam.
“Semua syarikat mempunyai tanggungjawab untuk bertindak tetapi terlalu sedikit yang berbuat demikian. Kerajaan harus memulakan langkah.
“Ada tindakan yang pembuat polisi boleh pelajari, dari penguasa antimonopoli AS menyaman Amazon sehingga Suruhanjaya Eropah yang meminta Google memecahkan perniagaan pengiklanan dalam taliannya, serta perlawanan bersejarah Afrika untuk membentuk semula undang-undang cukai antarabangsa,” katanya.
Untuk itu, Oxfam mencadangkan langkah yang boleh diambil kerajaan-kerajaan dunia untuk mengurangkan jurang antara golongan ultrakaya dengan masyarakat lain.
- Mencergaskan semula kuasa negara
Kuasa negara yang dinamik dan berkesan ialah benteng terkuat terhadap kuasa korporat yang melampau.
Kerajaan harus memastikan pembekalan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang sejagat serta meneroka barangan yang dihantar secara awam dan pilihan awam dalam sektor-sektor dari tenaga hingga pengangkutan.
- Kawalan kuasa korporat
Kawalan kuasa korporat termasuk dengan memecahkan monopoli serta mendemokrasikan undang-undang paten.
Ini termasuk menjadikan gaji kehidupan wajar sebagai undang-undang, mengehadkan gaji CEO dan cukai baharu untuk golongan ultrakaya dan syarikat besar, merangkumi cukai kekayaan dan untung berlebihan yang kekal.
Oxfam menjangkakan, cukai kekayaan terhadap jutawan dan bilionair dunia boleh menjana AS$1.8 trilion (RM8.49 trilion) setahun.
- Mereka semula perniagaan
Perniagaan yang kompetitif dan menguntungkan tak seharusnya dikongkong ketamakan pemegang saham.
Perniagaan yang dimiliki secara demokratik dapat membahagikan keuntungan dengan lebih adil dan saksama.
Jika hanya 10 peratus daripada perniagaan di AS dimiliki oleh pekerja, ia boleh meningkatkan kekayaan golongan separuh termiskin di AS sebanyak dua kali ganda, termasuk menggandakan purata kekayaan golongan kulit hitam di negara itu. – RELEVAN