MASIH ingat apa yang anda buat sebaik sahaja bangun tidur pagi tadi? Sewaktu anda menatal telefon bimbit tengah hari tadi, apa yang anda baca? Malam semalam ada berbual dengan kawan, bukan? Berapa peratus perbualan itu anda boleh ingat?
Apabila memberi perhatian kepada semua yang dilakukan sepanjang hari, kita mula sedar yang tidak banyak perincian dapat diingati. Ia normal kerana tak semua hal perlu diingati, kebanyakannya tidak cukup mustahak untuk diberi ruang dalam memori.
Namun, untuk hal-hal yang penting seperti arahan bos di pejabat atau nota dari pensyarah dan guru, kalau kita lupa, besar padahnya.
Kita tak perlu tunggu ingatan semakin melemah akibat usia baru nak ambil tindakan memperkuat memori. Langkah-langkah untuk menguatkan ingatan perlu diamalkan, dibuat setiap hari supaya otak selalu segar dari muda sampai ke tua.
Untuk itu, Relevan bawakan tujuh cara untuk memperkuat ingatan, seperti yang dikongsikan portal Harvard Health Publishing.
- Terus belajar
Pendidikan tinggi dikaitkan dengan fungsi mental yang lebih baik apabila kita menginjak usia tua. Pakar berpandangan, pendidikan yang lebih tinggi dapat membantu memperkuat ingatan kerana ia mengaktifkan mental.
Mencabar otak dengan latihan mental dipercayai dapat mengaktifkan proses-proses yang membantu mengekalkan sel otak seseorang dan merangsang komunikasi sesamanya.
Ramai orang mempunyai pekerjaan yang mencabar mental tetapi selain itu, mempunyai hobi atau mempelajari kemahiran baharu juga dapat membantu menajamkan fikiran.
Sertai kumpulan bacaan, bermain catur, menulis jurnal, menyelesaikan teka silang kata, sertai kelas kemahiran, bermuzik atau berseni, berkebun secara kreatif: semua ini dapat membantu anda mengaktifkan fikiran.
- Guna semua deria
Lebih banyak deria digunakan semasa mempelajari sesuatu, lebih banyak bahagian otak yang terlibat dalam mengekalkan ingatan tentang pembelajaran tersebut.
Dalam satu kajian, pengimejan otak menunjukkan bahagian memproses bau yang utama pada otak, korteks piriform menjadi aktif apabila seseorang melihat objek yang asalnya disertakan dengan bau, walaupun bau tersebut sudah tiada dan subjek tidak diminta untuk mengingati bau tersebut.
Maka, cabar semua deria anda apabila belajar sesuatu yang baharu. Contohnya, apabila mencuba masakan baharu, cuba teka bahan-bahannya.
- Percaya diri
Mempercayai mitos tentang penuaan dan kesannya terhadap ingatan boleh merosakkan ingatan.
Dalam satu kajian, individu berusia pertengahan dan yang lebih tua mendapat markah yang kurang dalam tugasan memori apabila didedahkan dengan stereotaip negatif berkenaan umur dan penuaan.
Apabila didedahkan dengan maklumat tentang pengekalan memori ketika tua, markah mereka bertambah baik.
Orang yang percaya bahawa mereka tidak mampu mengawal fungsi memori sendiri tidak cenderung berusaha mengekalkan atau menambah baik ingatan sendiri, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada penyusutan kognitif.
Jika percaya bahawa ingatan boleh ditambah baik dan melakukan amalan yang bersesuaian, lebih besar peluang untuk minda anda kekal cerdas.
- Jimat ruang ingatan
Jika anda tidak memerlukan tenaga mental untuk mengingati hal-hal mudah, seperti di mana anda letakkan kunci atau bila tarikh hari lahir cucu, lebih mudah untuk anda menumpukan ingatan kepada pembelajaran baharu atau hal penting lain.
Gunakan kalendar, peta, senarai beli, folder fail dan buku alamat untuk pastikan maklumat rutin boleh diakses pada bila-bila masa.
Reka tempat khas untuk kunci, cermin mata, dompet dan barang lain yang selalu diguna.
- Banyak mengulang
Kalau mahu ingat sesuatu yang baru didengari, dibaca dan difikirkan, ulang kuat-kuat atau tulis di mana-mana. Dengan cara itu, anda memperkuat memori atau keterhubungan terhadap objek yang mahu diingati.
Contohnya, apabila seseorang memberitahu namanya, sebutkan nama itu apabila bercakap dengannya. Kurangkan guna kata ganti nama.
Jika ada letakkan barangan di tempat yang berbeza dengan yang lazim, sebut kuat-kuat tempat itu. Biar berdengung dalam kepala sampai tak boleh lupa.
- Jarakkan tempoh ulang kaji
Pengulangan sangat berkesan jika disusun dalam tempoh yang teratur. Jika hanya mengulang-ulang dalam tempoh yang pendek, ia tidak begitu berkesan.
Jika mahu mempelajari dan mengingati sesuatu yang penting, cuba ulang kaji dalam tempoh yang semakin berjarak. Contohnya, mulakan dengan sekali sejam. Kemudian sekali dalam beberapa jam. Kemudian sekali setiap hari.
Mengulang kaji dalam tempoh yang semakin berjarak sangat berkesan, terutamanya apabila anda mahu memahami maklumat yang rumit.
Kajian mendapati, ulang kaji dalam tempoh yang berjarak menambah baik ingatan bukan sahaja dalam kalangan individu yang sihat, malah mereka yang mempunyai masalah kognitif.
- Cipta nemonik
Nemonik merupakan peranti kognitif untuk mengingati corak idea tertentu. Ia boleh jadi berbentuk akronim (seperti akronim RICE untuk langkah bantuan kecemasan rest, ice, compression dan elevation) atau ayat (Michael Jackson kena halau balik India Utara untuk warna pelangi, merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo, ungu). – RELEVAN