RAMAI menganggap kereta sebagai ruang simpanan tambahan. Ada yang meninggalkan payung, dokumen kerja malah pakaian tambahan untuk situasi kecemasan.
Hakikatnya, suhu dalam kereta yang diparkir terutama di negara beriklim panas seperti Malaysia boleh meningkat dengan sangat tinggi dalam masa singkat.
Walaupun di bawah teduhan, suhu dalaman boleh mencecah lebih 60°C. Haba terperangkap ini bukan sahaja merosakkan barangan malah boleh mengundang risiko keselamatan.
Berikut antara barangan yang sepatutnya tidak disimpan dalam kereta, walaupun hanya untuk seketika.
-
Powerbank dan peranti berbateri lithium
Powerbank, telefon, vape, kamera dan apa-apa peranti yang menggunakan bateri lithium-ion sangat sensitif terhadap haba. Suhu tinggi boleh menyebabkan bateri mengembang, rosak atau dalam kes lebih serius meletup dan terbakar.
Kita mungkin fikir, “Tak apa, boleh simpan dalam bonet.” Namun bonet juga terdedah kepada suhu tinggi apabila kereta diparkir lama. Risiko kebakaran bukan sekadar teori. Terdapat beberapa kes sebegini sudah dilaporkan di Malaysia.
-
Telefon bimbit, tablet dan laptop
Selain risiko bateri, haba melampau juga boleh merosakkan komponen dalaman dan skrin. Prestasi jadi perlahan, bateri cepat rosak dan lama kelamaan jangka hayat peranti akan berkurang.
Lebih membimbangkan, meninggalkan gajet dalam kereta juga mengundang risiko kecurian.
-
Ubat-ubatan
Ramai tidak sedar bahawa kebanyakan ubat perlu disimpan pada suhu bilik (sekitar 25°C). Haba tinggi boleh mengubah kandungan kimia ubat, sekali gus mengurangkan keberkesanannya.
Ini termasuklah:
- Ubat demam dan sakit kepala
- Antibiotik
- Insulin
- Inhaler asma
Ubat yang rosak mungkin nampak normal dari luar tetapi kereaktifannya sudah berubah.
-
Botol air plastik
Air dalam botol plastik yang terdedah kepada haba berisiko mengalami perubahan rasa dan kualiti. Ada perbincangan tentang kemungkinan bahan kimia tertentu daripada plastik meresap ke dalam air apabila terdedah kepada suhu tinggi.
Walaupun tahap risikonya bergantung kepada jenis plastik, langkah paling selamat adalah tidak membiarkan botol air terdedah lama dalam kereta panas.
ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya minum air botol ditinggalkan dalam kereta
-
Makanan dan minuman
Meninggalkan makanan dan minuman di dalam kereta yang panas boleh menjejaskan kualiti serta keselamatannya. Coklat mudah mencair manakala minuman berkarbonat boleh mengembang akibat tekanan haba sehingga berisiko bocor atau meletup.
Bagi makanan mudah rosak pula, suhu tinggi mempercepatkan pertumbuhan bakteria yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko keracunan makanan.
Jangan menganggap ia masih selamat hanya kerana bungkusan belum dibuka. Haba tetap boleh menjejaskan kandungan di dalamnya.
-
Dokumen penting
Geran, salinan kad pengenalan, sijil lahir atau dokumen bank tidak sepatutnya ditinggalkan dalam kereta. Selain risiko kecurian identiti, haba dan kelembapan juga boleh merosakkan kertas serta dakwat.
Sekali ia hilang, urusan untuk mendapatkan semula atau menggantikannya bukan sahaja rumit malah memakan masa dan tenaga.
-
Barang kosmetik
Kosmetik juga tidak terkecuali daripada kesan suhu panas dalam kereta. Lipstik boleh cair dan berubah bentuk, foundation berisiko terpisah teksturnya. Minyak wangi pula boleh berubah bau apabila terdedah kepada haba yang melampau.
Kebanyakan produk kecantikan dirumus untuk disimpan pada suhu yang stabil. Apabila terdedah kepada suhu tinggi, kualitinya boleh terjejas dan dalam sesetengah keadaan, ia mungkin tidak lagi sesuai atau selamat digunakan pada kulit.
-
Pemetik api dan penyembur aerosol
Ini antara barangan paling berbahaya jika ditinggalkan dalam kereta panas. Tekanan dalam bekas aerosol boleh meningkat akibat haba, berpotensi menyebabkan ia meletup.
Contohnya:
- Pemetik api
- Penyembur rambut
- Penyegar udara
- Tin cat kecil
- Penyembur deodoran
-
Peralatan elektrik
Jika anda menyimpan peralatan kerja dalam kereta, pastikan ia tidak menggunakan bateri lithium atau disimpan terlalu lama dalam keadaan panas. Selain risiko kerosakan, ia juga boleh menjejaskan keselamatan.
Kereta bertindak seperti rumah hijau kecil. Cahaya matahari masuk melalui cermin, kemudian haba terperangkap di dalam. Walaupun tingkap dibuka sedikit, ia tidak cukup untuk menurunkan suhu secara ketara.
Dalam masa 10 hingga 20 minit sahaja, suhu boleh meningkat secara drastik. Ini bukan sekadar isu keselesaan tetapi keselamatan. – RELEVAN


