PADA 8 Julai lalu, Universiti Alternatif yang dibangunkan khas untuk anak-anak tanpa dokumen di Sabah dilancarkan.
Artikel ini mungkin terlewat tapi tetap penting untuk diterbitkan. Ini borak saya dengan Mukmin Nantang, lebih sebulan sebelum pelancaran Universiti Alternatif. Dalam borak kami, Mukmin menjelaskan idea dan falsafah di sebalik penubuhan Universiti Alternatif.
RELEVAN: Dalam Sekolah Alternatif, apa silibus yang diguna? Kalau boleh jelaskan falsafah atau mungkin rujukan. Ada sesiapa rujukan yang diambil?
MUKMIN NANTANG: Sebenarnya, kami ada konsep. Konsep sekolah kami ialah improvisasi.
Ini ilham dari teater?
Ya, betul. Sebab kami pun ramai dari latar teater. Waktu kami datang buat sekolah awal-awal, kami tiada idea ini. Falsafah pendidikan atau apa – tak ada. Kami datang nak ajar ABC, itu saja. Nak buku dari mana pun, ambil sajalah dari mana-mana. Takkan nak ajar ABC pun nak berfalsafah, kan?
Awalnya begitu. Tapi bila dah buka sekolah ini beberapa tahun, saya mula melihat dan meneliti kawan-kawan dalam lapangan ini. Apa yang mereka buat? Apa yang kami bangunkan sebenarnya? Kami tak ada idea untuk bangunkan modul sebab kami percaya setiap tempat harus berbeza modulnya. Tak boleh modul yang sama, kalau tak jadi jumud nanti.
Jadi, kami tak ada modul tetapi kami ada konsep, iaitu improvisasi. Dalam improvisasi, kami percaya bahawa bentuk pendidikan itu tidak selari. Bukan satu hala sahaja. Dia boleh jadi spontan, boleh jadi dua hala, boleh jadi bermacam cara. Dan spontan ini bukan benda yang suka-suka.
Contohnya improvisasi, dalam pementasan muzik atau teater, kita tahu yang kita mahu ke hujung. Tapi kadang-kadang ada masalah teknikal, jadi kita kena improvise. Tak boleh rigid. Contohnya sistem sekolah, ribut, taufan, kena habiskan juga bab itu. Nak bersukan pun susah sebab kejar silibus. Kami tak ada masa mahu kejar silibus.
Itulah improvisasi. Kami tahu matlamat pendidikan akhirnya untuk apa, jadi kami sangat percaya ruang pendidikan yang kami buat ini adalah selamat. Asasnya, kami (sediakan) ruang yang selamat.
Kami bukannya orang yang, “oh, kami suka kanak-kanak, kami suka mendidik, kami memang berjiwa pendidik”. Tidak! Kami datang sebab kami nak melawan. Kami nak tunjukkan yang sekolah itu boleh dibangunkan oleh anak muda, oleh mahasiswa, tanpa bantuan kerajaan. Yang sebenarnya kalau kerajaan buat, boleh jadi lebih bagus.
Kalau mahasiswa boleh – ratusan orang dia boleh ajar jadi pandai membaca, menulis, kenapa kerajaan tak boleh buat? Kalau bercakap tentang bajet, kenapa mahasiswa boleh buat?
Ia memang sesuatu yang radikal. Tak ada idea, “oh, kami memang suka kanak-kanak, kami mahu mengajar, ini memang jiwa dan cita-cita kami”. Tak ada. Jiwanya adalah untuk pembebasan. Itu yang kami selalu sebut, “pendidikan alat perubahan bangsa”.
ARTIKEL BERKAITAN: Pedagogi anak tertindas: Kisah Mukmin Nantang dan pendidikan alternatifnya
Sebab kami mahu bangunkan pendidikan yang betul-betul boleh buat mereka tahu tentang hak mereka, dapat memberi mereka harapan dalam hidup. Masalah dalam komuniti (tanpa dokumen) ini, mereka tiada harapan.
Kalau tiada dokumen, awak sebagai guru nak tanyakah cita-cita mereka? Kalau mereka nak jadi doktor? Tapi jahat tak kita tak nak tanya cita-cita mereka apa? Adakah mereka tak ada cita-cita? Mereka tak tahu mereka tak ada harapan tapi kita yang tinggal di sana tahu mereka manusia yang tiada harapan.
Kerana keadaan tiada dokumen?
Ya. Kalau mereka nak jadi askar, macam mana? Nak jadi peguam? Tak boleh. Pernah tak kita waktu kecil, darjah satu, cikgu tanya cita-cita kita apa? Kita kata, doktor. Tapi cikgu kata, “oh, awak tak boleh jadi doktor. Tak boleh jadi polis. Tak boleh jadi semua.” Itulah keadaan mereka yang sebenar.
Itulah, kami mahu cipta ruang selamat. Dan sekolah kami ini, falsafah besarnya memang pendidikan untuk pembebasanlah. Memang tumpuannya untuk itu.
Saya belum pernah ke sana tapi pelajar-pelajar yang masuk itu, memang tak diasingkan mengikut umur atau tahap berapa lama mereka sudah bersekolah?
Ya, sebab pelajar yang kami dapat ada bermacam-macam. Ada umur 15 tahun tapi tak pernah bersekolah. Kami ambil dia. Ada juga orang lain, 10 tahun. Mereka duduk dalam satu kelas. Ia bukan tentang umur mereka tapi kemampuan literasi.
Konsep kami sebenarnya tiada kelas. Pembahagian begitu cuma untuk fokus. Contohnya kami di Semporna sudah ada tiga kali konvokesyen. Konvokesyen ini maksudnya dia sudah lepas asas literasi dan numerasi.
Patutnya mereka ini keluar sekolah tapi mereka mahu masuk balik. Jadi batch pertama 2019 yang masuk sekolah balik ini, ada 10 orang, mereka belajar pengukuhan literasi. Kami panggil pengukuhan literasi pula. Bukan saja tentang membaca, menulis ayat pendek. Kami mahu mereka boleh buat artikel, berlakon, tulis skrip teater sendiri, boleh tulis lagu.
Itu pengukuhan literasi bagi kami. Boleh baca karya sastera dan bedah karya sastera itu. Tonton filem, boleh bedah filem itu.
Kanak-kanak ini selepas selesai (konvokesyen) mereka duduk dalam satu kelas yang sama. Pembelajarannya cuma pengukuhan awal, kami tak nak kelas itu besar. Kenapa ideanya ada kelas, sebab kelas kita kecil. Takkan nak sumbat semua?
Sekarang sudah ada tiga batch pengukuhan literasi, semua duduk satu kelas yang sama. Ada yang pergi kerja, ada yang teruskan (pembelajaran). Jadi sekarang, kami ada asas literasi tiga kelas. Ini baru kenal ABC, sudah pandai membaca dua suku kata dan ada yang mula buat ayat pendek. Selepas itu mereka akan konvokesyen, akan masuk satu kelas yang besar. Kelas yang besar ini, bayangkan, ada pelajar kami umur 21 tahun masih mahu belajar.
21 tahun?
Pelajar kami ada umur 19, 18, 17, 20 tahun. Masih ada dalam kelas yang besar ini. Mereka masih mahu belajar, bersemangat. Itu sebabnya bulan Julai ini, kami lancarkan Universiti Alternatif. Kami buat universiti untuk anak tanpa dokumen.
Itu ideanya macam mana pula? Tahap pengukuhan atau atas lagi?
Atas pengukuhan. Penerokaannya dalam lagi. Ideanya, pelajar-pelajar ini sudah besar. Bayangkan ada pelajar dari 2017 lagi dengan kami. Daripada dia kecil, umur 9 tahun sampai sekarang sudah 17, 18 tahun.
Jadi, kami selalu berbincang. Macam mana keadaan kampung mereka? Macam mana dengan mereka? Ada satu masa, kami berbincang tentang, adakah anak muda di kampung itu, belia, perlu kerja atau belajar? Sebab di sekolah ini pun terpecah dua: ada yang pergi kerja selepas konvokesyen, ada yang sambung belajar.
Secara jujurnya, kami memang ajar kanak-kanak pengukuhan literasi itu subjeknya seperti universiti.
Lebih dekat macam kokurikulum? Bukan subjek biasa di sekolah?
Ya, tak ada sebut kami masuk kelas Bahasa Melayu. Tak ada. Dia terus,
“Hari ini belajar apa, cikgu?”
“Kita belajar komunikasi, cara komunikasi yang baik.”
“Belajar apa, cikgu?”
“Belajar tentang pemulihan alam marin.”
Idea kami memang macam di universiti supaya pelajar kami boleh bentang, boleh bercakap, boleh bercerita. Sama seperti pelajar universiti, kan?
Ideanya muncul apabila kami berbincang dengan pelajar. Kami tanya mereka, macam mana dengan tanggapan komuniti dan orang kampung mereka? Kau sudah umur 19 tahun, masih pergi sekolah. Ada kawan-kawan kau di kampung, umur 13 tahun sudah pergi kerja. Memang ada keluarga mereka dan komuniti yang mempersoal, kenapa masih bersekolah? Sudah besar, kan? Kenapa tak pergi kerja?
Jadi, waktu itu mereka bangkitkan, adakah salah kami masih mahu sekolah? Adakah anak macam kami cuma boleh sekolah sehingga pandai membaca, terus kena pergi kerja? Itu antara persoalan mereka.
Kemudian, dalam perbincangan, ada pelajar tanya, “macam mana kami mahu masuk universiti? Macam mana kami mahu jadi mahasiswa?”. Sebab mereka tahu kami ini gerakan mahasiswa. Mahasiswa pun banyak datang. “Macam mana kami mahu jadi mahasiswa macam kamu? Macam mana mahu ada gerakan mahasiswa macam kamu?”
ARTIKEL BERKAITAN: Dari sekolah menjadi Universiti Alternatif
Di situlah mulanya detik – dua tahun lalu rasanya – yang kami cikgu-cikgu rasa, begini, lebih baik kita sama-sama cari apa itu universiti sebenarnya. Apa maksudnya?
Jadi, pelajar-pelajar besar ini, mereka ada tugasan untuk cari apa itu “universiti”, gerakan universiti, apa objektifnya, apa matlamatnya. Sepanjang tahun lepas kami mula bincangkan banyak persoalan. Ada 20 soalan kami susun untuk buat konsep asas universiti alternatif. Contohnya macam, apa maksud universiti bagi kamu? Kami buat kumpulan untuk bincang.
Kenapa universiti alternatif perlu dibangunkan dalam masyarakat kamu? Apa subjeknya? Perlukah peraturan? Macam mana modnya? Adakah separuh masa? Adakah perlu latihan industri? Adakah perlu penulisan? Dibincangkan semuanya.
Jadi, Julai ini, kami dah susun idea-idea semua itu dan kami akan lancarkan (Universiti Alternatif). Fokusnya adalah supaya mereka mendalami ilmu yang lebih luas, mengetahui ilmu yang lebih luas. Boleh tahu sejarah mereka. Sejarah Bajau Laut itu apa. Sejarah hak komuniti mereka. Ini mereka sendiri sebut. Apa subjek kau mahu belajar? Kami mahu belajar tentang politik. Mahu belajar tentang undang-undang.
Ini mereka sendiri yang nak belajar?
Ya, mereka mahu belajar, kebanyakannya, tentang politik, undang-undang, bahasa, kemahiran, alam marin, hutan. Jadi, disusunlah semua itu. Idea universiti kami tiada birokrasi sangat, lebih kepada nilai. Sebagai gedung ilmu. Tempat untuk kita meneroka dan mengetahui ilmu yang lebih luas. Kalau orang tanya, ini universiti apa? Tempat untuk mengetahui ilmu yang lebih luas. Nanti akan datang, mereka boleh bangunkan kajian-kajian sendiri untuk etnik mereka, komuniti mereka. Jadi, akan ada tugasan yang mereka boleh buat.
Dulu, apabila tak ada persoalan-persoalan itu, kami tak pernah terbayang boleh wujudkan universiti untuk anak tanpa dokumen. Tapi apabila idea itu ada, persoalan itu ada, kami boleh (buat). Dulu pun sewaktu kami buat Sekolah Alternatif, semua orang cakap kami gila, kan? Sekolah ini, biar kerajaanlah yang buat. Atau pihak-pihak ini, swasta-swasta yang besar ini. Sekolah ini rigid, perkataan sekolah itu terus kita nampak bangunan sekolah, kan?
Institusi sekolah terus.
Institusi, kan? Kita tak bercakap tentang makna sekolah itu apa. Universiti pun begitu.
Setakat ini nampak ada perubahan dengan komuniti apabila dah ada sekolah, ada graduan Sekolah Alternatif? Ada tak impaknya pada komuniti?
Sebenarnya, sangat banyak. Pelajar-pelajar kami sebenarnya jadi macam sumber inspirasi dalam komuniti mereka. Dulu, saya nak panggil mereka masuk sekolah susah. Pernah dengar tak isu orang asli yang tak nak pendidikan? Ramai cakap begitu, kan? Beri mereka sekolah tapi mereka tak nak.
ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara bersama Mukmin Nantang (Bhg. 1): Pengaruh awal, pengalaman sekolah dan gerakan mahasiswa
Sebenarnya, sama juga. Komuniti tanpa dokumen pun begitu. Sebab mereka tak yakin dan tak percaya. Jadi, kena pergi merayu, yakinkan mereka. Susah nak cari pelajar.
Ini fasa awal?
Ya, susah! Kena pergi merayu. Datang sekolah sekejap, tak datang lagi. Tapi sekarang ini, hampir setiap hari, ada saja orang datang. Kalau dikumpul mungkin lebih 500 orang yang menunggu masuk ke sekolah. Selepas beberapa tahun, kami tak buka dah. Sebab kami boleh ambil, setiap tahun, paling-paling 10 atau 20 orang.
Jujur cakap, kalau Sekolah Alternatif itu buka iklan untuk terima orang, 1,000 orang pun datang. Terlalu kuat dan terlalu diinginkan. Itu satu. Dari dulu orang persoal tentang mereka yang tak nak sekolah sebab banyak juga organisasi datang. Dan sekarang, beberapa pusat KAFA, kelas mengaji juga buka dalam komuniti itu.
Seterusnya, beberapa orang pelajar kami sudah jadi guru. Mereka jadi pengurus sekolah, yang menguruskan produk sekolah. Jadi, mereka sudah jadi jurucakap untuk Borneo Komrad. Ada pelawat datang, ada program, mereka yang atur sendiri. Jadi, yang operasikan Sekolah Alternatif di lapangan itu sebenarnya pelajar kami yang besar ini.
Dari segi komunikasi, kami pernah tanya pelajar kami. Sebenarnya kawan-kawan mereka ramai juga yang ada dokumen. Ada kawan mereka yang ambil SPM. Tapi dalam komuniti itu, selalu kawan mereka kata, “kenapa kami tak boleh bercakap macam kamu bercakap?”
Maknanya mereka cemburu, walaupun masuk sekolah kerajaan?
Ya. Mereka macam hairan kenapa pelajar kami punya komunikasi lain. Lebih kritis daripada kawan-kawan yang lain. Lebih cepat menulis apa semua. Sampai tahap pelajar-pelajar ini mahu berhenti sekolah kerajaan, masuk Sekolah Alternatif. Dan ada seorang pelajar ini lepasan SPM. Dia sekarang di Sekolah Alternatif.
Untuk apa dia masuk Sekolah Alternatif?
Dia rasa nak belajar benda baharu. Dan dia seronok tengok – waktu itu, walaupun kami ada pelajaran yang tetap, ada saja komuniti yang datang melihat, sambil itu buat aktiviti bersama. Pelajar kami ada projek komuniti. Contohnya, projek pengurusan sampah dan sisa makanan. Kompos.
Pelajar kami ada idea untuk buat, dengan komuniti, mereka pungut sisa makanan supaya sisa makanan itu tidak turun ke laut, tak dibuang ke laut. Jadi, mereka kumpul, buat kompos. Setiap bulan, kesatuan pelajar akan anjur satu mesyuarat komuniti. Mereka akan buat slide, bentang dengan komuniti laporan aktiviti. Apa perkembangan. Berapa kilo (kompos), apa tanaman yang dihasilkan, apa masalah. Mereka dah atur komuniti itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara bersama Mukmin Nantang (Bhg. 2): Tentang aktivis yang mahu jadi wira
Jadi, komuniti sendiri yang cakap – komuniti yang kebanyakan anak-anak mereka ada dokumen – “kenapa pelajar kamu boleh cakap macam itu?”. “Pelajar kami ada sampai Tingkatan Empat belum pandai membaca”. “Bolehkah kami masukkan anak dalam sekolah kamu?”.
Bayangkan, contoh, pelajar kami dibebaskan untuk ikut program dengan organisasi, biasa ada buat bengkel-bengkel. Macam kem kepimpinan alam sekitar, kami bawa. Kadang-kadang ada geran kecil. Pelajar kami kadang-kadang pergi pitching kertas konsep dan menang. RM2,000. Pertama, mereka menang tentang kelas pemulihan gam. Lepas itu menang pengurusan kompos. Jadi, okeylah.
Bukan okey, itu dah hebat. Kebanyakannya tiada dokumen atau semua tiada dokumen?
Yang tinggal semua tiada dokumen tapi ada beberapa orang pelajar kami dah dapat kad pengenalan.
Mereka ini, kalau dah pandai membaca, pandai mengira, masih lagi susah nak cari kerja, kan? Apa motivasi mereka untuk datang belajar? Maksud saya, tanpa pergi sekolah pun boleh terus dapat kerja; kerja yang sama yang mereka boleh dapat lepas habis sekolah. Tapi kenapa mereka masih datang sekolah?
Ini susah nak jawab. Satu yang kami selalu sedar dulu, kita ini nama sekolah tapi tak ada budaya ilmu di dalamnya. Budaya ilmu ini apabila kita macam, kita rasa ketagih dengan sesuatu benda.
Contoh macam di sekolah. Biasa kita dulu-dulu sekolah kerajaan, kita dipaksa untuk membaca dan menulis (dalam rekod) NILAM. Tapi kita tak ada pun budaya membaca sebenarnya, kan? Jadi, mungkin, di Sekolah Alternatif ada budaya itu.
Tonton filem, nak tonton filem yang ada benda untuk dibincangkan. Mereka rasa seronok untuk berbincang. Kami galakkan mereka cari sendiri persoalan dalam komuniti dan tanya. Mereka bebas untuk bercakap. Dan, entahlah.
Pertama, saya fikir mungkin martabat. Apabila mereka pergi sekolah, mungkin ada satu perasaan yang timbul, “walaupun aku tak pergi sekolah (kerajaan) tapi kawanku pergi sekolah, aku lebih bagus daripada kawanku”. Mungkin martabat. Sebab selama ini mereka dihina, kan?
Kedua, walaupun mereka tak boleh (nak dapat kerja yang baik), tapi ini macam satu tempat untuk mereka punya harapan. Sebab begini, kalau awak tanya dalam komuniti, kenapa pergi sekolah? Biasanya mereka konsisten, “sebab kami tak mahu ditipu, cikgu”.
Seolah-olah masyarakat mereka ini ditipu dari dulu. Kenapa itu yang pertama sekali terkeluar dan konsisten? Jadi, mereka sangat percaya sebenarnya. Bukan tentang dia perlu hidup lebih baik sangat, sekurang-kurangnya dia tidak dikhianati. Biar hidup biasa-biasa asal tidak ditipu.
Oh, faham. Tak boleh ditipu itu maksudnya tak boleh ditindas senang-senang.
Ya, betul. Kadang-kadang, pelajar kami yang sudah kerja, dia tak boleh dapat gaji yang tinggi. Tapi dia boleh demand gaji. Apabila pergi kerja, komunikasinya bagus. Contohnya pelajar kami di Tawau. Biasa gaji pekerja tanpa dokumen ini, umur 15, 16 tahun, RM300 sebulan.
RM300 sebulan?
Ya, (kadang-kadang) RM400 sebulan. Tapi ada pelajar kami di Tawau, gaji dia RM1,200. Saya tanya, “kenapa kau boleh RM1,200? Kau baharu lagi.” Dia kata, “bilang bosku, aku bercakap bagus. Kalau aku buat live TikTok, jual emas, bos suka”. Dan dia cakap, “bosku cikgu, aku baru tiga bulan tapi ada pekerja baharu, aku sudah jadi pelatih mereka”.
Ada pelajar kami, gajinya RM400 atau RM700? Dari RM600 naik ke RM800 tak termasuk komisyen. Dia jadi jurujual di butik dan dia memang disukai bosnya.
Kebanyakannya komunikasi. Boleh berkomunikasi, boleh menulis dengan bagus. Anak tanpa dokumen ini dulu jarang sampai boleh disuruh jadi cashier. Apabila mereka boleh buat, orang hairan, “kau tak sekolah formal tapi boleh buat akaun, boleh buat jualan, kira jualan”.
Dan pelajar kami ini, bila tak ada pendidikan, dalam kepala anak tanpa dokumen ini mereka akan jadi apa? Pelayan restoran. Atau tukang angkat barang. Sebab itu, mereka rasa tak perlu intelek sangat. Tapi bila pergi sekolah, mereka tahu boleh jadi lebih baik daripada pelayan restoran. Pembantu tukang masak, kemudian jadi tukang masak. Dia rasa dia boleh. – RELEVAN