SEMPENA Hari Makanan Sedunia 2022 (#WorldFoodDay) pada 16 Oktober ini, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menyeru kita semua agar tidak mengabaikan sesiapa sahaja dalam isu keselamatan makanan.
Menurut FAO kesan domino yang disebabkan oleh pandemik, perubahan iklim, kenaikan harga dan ketegangan antarabangsa telah memberi kesan kepada sistem makanan di seluruh dunia.
Sehubungan itu, bagi menyahut seruan FAO, Universiti Nottingham Malaysia (UNM) telah menganjurkan persidangan Keselamatan Makanan di Pulau-Pulau Kecil dan Negara Membangun (FSSIDS) 2022 buat kali kedua bagi mengumpulkan buah fikiran daripada pakar dari pelbagai negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang miskin paling terkesan kenaikan harga makanan – Relevan
Persidangan selama empat hari itu diketuai oleh Profesor Madya dan Pengarah Sistem Makanan Lestari, UNM Future Food Malaysia iaitu Dr. Chin Chiew Foan manakala Dr. Goh Ee Von bertindak sebagai pengerusi bersama.
Cabaran sistem makanan
Menurut Chiew Foan, persidangan itu membincangkan cabaran yang dihadapi setiap wilayah dan sistem makanan masing-masing.
“Sistem makanan sangat kompleks, kita perlu terlebih dahulu memahami banyak pemain dalam sistem itu dan apakah setiap peranan mereka supaya boleh bekerja secara kolaboratif untuk menangani masalah tersebut.
“Ini bukan tentang menyalahkan, tetapi kita semua mempunyai peranan yang sama untuk dilaksanakan dan setiap tindakan itu boleh memberi kesan positif atau negatif kepada sistem makanan global,”katanya.
Tambah beliau, Malaysia menduduki tempat ke-39 dunia dan kedua di Asia Tenggara dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) pada tahun 2021.
ARTIKEL BERKAITAN: 6 persediaan hadapi inflasi, urus wang dengan bijak – Relevan
Pun begitu, usaha berterusan perlu dilakukan terutamanya masalah kekurangan ayam baru-baru ini dan kadar inflasi makanan yang tinggi berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak 4.1 peratus.
Bagi merapatkan jurang itu, lebih banyak tumpuan harus diberikan kepada sektor pertanian seperti melalui pemeliharaan tanah pertanian, pemberian insentif dan subsidi kepada petani, nelayan serta pekebun kecil.
Ia juga membantu mengiktiraf ramai pemain dalam industri makanan, tidak kira besar atau kecil yang terlibat dalam sistem makanan di Malaysia bagi mencapai keselamatan makanan negara.
Penyelidikan dan pembangunan makanan
Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan serta pertanian sedang giat dilakukan di rantau Asia-Pasifik.
Oleh itu, rantau ini menyumbang kira-kira separuh daripada perbelanjaan dunia untuk R&D makanan dan pertanian dengan menekankan keperluan untuk menjalin kerjasama yang lebih baik antara pelbagai pihak.
“FSSIDS 2022 membuat satu langkah kecil untuk menangani perkara ini dengan membawa orang yang berbeza kepakaran dan kewarganegaraan ke dalam satu bilik untuk mencapai satu matlamat bersama.
“UNM berhasrat untuk meneruskan komitmennya dalam bidang ini dengan menubuhkan rangkaian FSSIDS dan mengadakan lebih banyak persidangan pada masa hadapan bagi meluaskan rangkaian pakar dengan pendapat mengenai topik tersebut,” ulas Chiew Foan lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Daging tiruan bakal menjadi sumber makanan masa hadapan? Ini penjelasan pakar – Relevan
Sementara itu, Ee Von berkata, persidangan itu membolehkan pihaknya untuk lebih memahami masalah yang dihadapi di wilayah-wilayah lain dan cara mereka menanganinya.
“Kami berhasrat untuk membawa perubahan bukan sahaja di Malaysia atau rantau Asia Tenggara, tetapi di seluruh dunia.
“Misi UNM selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberi tumpuan kepada SDG2 (sifar kelaparan) dan SDG17 (kerjasama untuk mencapai matlamat tersebut),” jelasnya.
FSSIDS 2022 telah dihadiri kira-kira 50 pakar akademik dan bukan akademik dari 11 negara.
Antaranya, UNM yang mewakili Universiti Nottingham, United Kingdom (UoN), Universiti Tunku Abdul Rahman, Agensi Penyelidikan Nasional dan Inovasi Republik Indonesia, Khazanah Nasional Berhad, Revoganix Sdn. Bhd, Universiti Putra Malaysia, GK Aqua Sdn. Bhd, Fiji National University dan Scientific Research Organisation of Samoa.
Selain itu, turut disertai oleh Universiti UCSI, Akademi Sains Pertanian Vietnam, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Nanyang, University of the Philippines Open University, Universiti Murdoch, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Australian Centre of Pacific Islands Research, University of the Sunshine Coast, Universiti Malaya dan Universiti Thammasat.- RELEVAN