PENDUDUK di Kepulauan Melayu mempunyai sejarah panjang sebagai bangsa maritim. Petempatan awal yang kebanyakannya dibuka berdekatan dengan laut membuatkan penduduk di kepulauan ini tidak asing dengan pelayaran serta aktiviti kelautan.
Warisan maritim Melayu juga unggul. Dari perkapalan hingga perdagangan melalui laut, etnik Melayu mempunyai kepakaran yang pernah menjadi antara yang terbaik di dunia.
Maka, tidak hairanlah apabila ada teori mengatakan seorang pelaut Melayu merupakan manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia. Teori ini diakui beberapa pakar sejarah yang melihat bukan pelayar Portugis, Ferdinand Magellan atau pembantunya dari Sepanyol, Juan Sebastian Elcano yang pertama mengelilingi dunia, sebaliknya hamba dan jurubahasa kepada Magellan, iaitu Enrique Melaka.
Bukti kewujudan
Enrique atau Henry The Black merupakan hamba yang ditawan Magellan setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Nama sebenarnya tidak diketahui. Mengikut catatan, dia dibeli oleh Magellan pada usia 12-15 tahun lalu dibaptis menjadi Kristian. Nama Enrique diberikan oleh Magellan kepadanya. Ada juga rekod penulisan yang mencatatkan namanya sebagai Henrich dan Henry The Black.
Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Shaiful Bahri Md. Radzi, Khazin Mohd. Tamrin dan Yahaya Abu Bakar, beberapa sumber sejarah yang mencatatkan kewujudan Enrique termasuk jurnal pengembaraan jurutulis Magellan, Antonio Pigafetta yang bertajuk Primo Viaggio Intorno al Mondo (First Voyage Around The World). Satu lagi sumber yang sezaman dengan ekspedisi Magellan ialah De Molucis Insulis (Of The Mole Island) tulisan Maximilian Transylvania.
Dalam catatan Pigafetta, Enrique digambarkan sebagai hamba Magellan berketurunan Sumatera dari Melaka yang berkeupayaan berkomunikasi dengan peribumi di Filipina. Catatan Transylvania pula merekodkan Enrique sebagai individu yang bertanggungjawab berkomplot dengan rakyat tempatan Filipina untuk membunuh para pelaut Sepanyol.
Kewujudan dan hubungan rapat Enrique dengan Magellan juga dapat dibuktikan melalui surat wasiat Magellan bertarikh 24 Ogos 1519. Dalam surat tersebut, Magellan mengakui Enrique ialah hambanya yang berasal dari Melaka yang ketika itu berumur 26 tahun. Magellan mewasiatkan supaya Enrique dilepaskan dari perhambaan dan diberikan wang pampasan sebanyak 10,000 maravedis (mata wang dinar yang digunakan di Sepanyol dan Maghribi ketika itu) sekiranya dia mati dalam pelayarannya.
Nama Enrique juga ada dicatatkan dalam daftar senarai anak-anak kapal utama dalam pelayaran ke Maluku yang dinakhodai Magellan, iaitu Trinidad. Walaupun berstatus hamba, Enrique didaftarkan sebagai jurubahasa atau penterjemah dengan bayaran 1,500 maravedis sebulan, upah yang melebihi bayaran untuk pelaut mahir, pelaut perintis dan kelasi biasa.
Nama Enrique juga timbul dalam catatan Koleksi Navarrete yang disusun oleh Martin Fernandez de Navarrete pada 1837. Dalam jilid keempat koleksi tersebut, Enrique diperkenalkan sebagai hamba yang dibeli Magellan di Melaka dan fasih berbahasa Sepanyol.
Kisah Enrique juga menjadi inspirasi untuk watak Panglima Awang dalam novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid yang diterbitkan pada 1958. Dalam novel tersebut, Panglima Awang merupakan pahlawan Melaka yang berjuang menentang Portugis sebelum ditangkap dan dihantar ke Portugal. Panglima Awang kemudiannya memulakan pengembaraannya mengelilingi dunia.
Dari Melaka ke Lisbon
Pengembaraan Enrique dari Melaka ke Eropah dikatakan bermula pada Disember 1511. Dia mengikut Magellan pulang dan tiba di Lisbon pada Jun 1512.
Ia merupakan pelayaran pertama Enrique ke luar kepulauan Melayu sehingga berjaya menjejaki Goa, Tanjung Pengharapan dan Cape Verde melalui Lautan Hindi, Arab, Atlantik, Pasifik dan Selat Magellan.
Kepulangannya ke Lisbon memulakan episod malang kehidupan Magellan apabila dia merasakan jasanya tidak dihargai oleh pemerintah Portugal. Magellan mengalami kerugian apabila kehilangan pelaburannya di India disebabkan kematian rakan kongsinya.
Dalam usahanya untuk mendapatkan semula pelaburan itu, Magellan menyaman Raja Portugal keraja raja tersebut berhutang dengan rakan kongsinya. Magellan juga mendesak untuk menaikkan elaunnya bagi membiayai pelayarannya ke Timur. Beberapa siri kejadian selepas itu menyebabkan Magellan mula dipinggirkan oleh Raja Portugal. Dia kemudiannya membawa Enrique berpindah ke Oporto sebelum ke Sepanyol, musuh tradisi Portugal.
Magellan tiba di Seville, Sepanyol pada 20 Oktober 1517. Enrique ketika itu berusia kira-kira 17-20 tahun. Ekspedisi Magellan ke Maluku dilancarkan pada 10 Ogos 1519 dengan menggunakan laluan di bahagian hujung paling selatan di benua Amerika Selatan bagi mengelakkan pertembungan dengan Portugal. Ekspedisi tersebut disertai lima buah kapal, iaitu San Antonio, Trinidad, Conception, Victoria dan Santiago membentuk armada yang dikenali sebagai Armada Maluku (Armada de Molucca).
Kematian Magellan
Armada Maluku akhirnya tiba di Pulau Samar, Filipina pada 16 Mac 1521. Di FIlipina, terutamanya di Pulau Cebu, nama Enrique muncul dalam catatan Pigafetta apabila dia mampu berkomunikasi dengan peribumi tempatan menggunakan bahasa Melayu yang merupakan lingua franca di Nusantara.
Dengan adanya Enrique, rombongan Magellan diterima baik Raja Humabon dan membolehkan Magellan menyebarkan agama Kristian di situ. Walaupun agama tersebut diterima peribumi Cebu, ia mengundang kemarahan dalam kalangan penduduk kepulauan lain, terutamanya di Mactan.
Ini menyebabkan ketuanya, Si Lapu Lapu bangkit menentang sehingga mereka bertempur di pantai Punto Engano yang terletak di bahagian utara Pulau Mactan. Dalam pertempuran tersebut, pasukan Magellan yang terdiri daripada 45 orang sukarela termasuk Enrique terpaksa menghadapi ribuan penduduk Mactan. Dianggarkan kira-kira tujuh orang Sepanyol termasuk Magellan dan 15 sukarelawan Cebu mati dalam pertempuran itu. Enrique dan Pigafetta yang sentiasa berada di samping Magellan pula tercedera.
Ia disusuli dengan peristiwa pembunuhan pegawai atasan Sepanyol yang dikenali sebagai Peristiwa Jamuan Kematian. Dalam catatan Transylvania, Enrique dikatakan bersubahat dalam pembunuhan ini selepas dia diherdik oleh salah seorang pegawai atasan Sepanyol kerana tidak menjalankan kerja semasa berkabung atas kematian Magellan.
Armada Maluku meneruskan pelayaran dan pulang ke Sepanyol dengan hanya satu kapal, iaitu Victoria. Pelayaran tersebut dinakhodai Juan Sebastian Elcano, menjadikan dia manusia pertama yang berlayar mengelilingi dunia dalam satu pelayaran.
Enrique tidak meneruskan pelayaran. Catatan tentangnya juga terhenti setakat itu, menjadikan kedudukannya selepas itu, sama ada terus tinggal di Pulau Cebu atau pulang ke Melaka tidak dapat dipastikan.
Kesimpulan
Walaupun tidak dapat dibuktikan bahawa Enrique pulang ke Melaka, Nik Hassan Shuhaimi, Shaiful Bahri, Khazin dan Yahaya berpendapat dia sudahpun mengelilingi dunia apabila sampai ke Filipina yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Melayu. Malah, menurut mereka, kemungkinan untuk Enrique pulang ke Melaka juga ada kerana Pulau Cebu mempunyai hubungan perdagangan dengan Melaka. Ini membolehkan Enrique menumpang mana-mana kapal untuk pulang ke Melaka.
Menurut portal History, banyak ahli sejarah yang mengiktiraf Enrique sebagai manusia pertama mengelilingi dunia sepanjang usianya (berbeza dengan Juan Sebastian Elcano yang mengelilingi dunia dalam satu pelayaran). Dalam pelayarannya pertamanya bersama Magellan, Enrique berlayar ke barat dari Melaka ke Eropah, kemudiannya dia menyertai pelayaran merentasi Laut Atlantik dan Pasifik. Oleh itu, dia sudahpun mengelilingi dunia dengan hanya baki beberapa ratus kilometer sebelum kembali ke titik asal pelayarannya di Melaka.
Sehubungan itu, jika benar Enrique pulang ke Melaka selepas peristiwa di Pulau Cebu, ternyata bahawa dialah manusia pertama yang mengelilingi dunia, dari titik ke titik. Jikapun dia tidak pulang ke Melaka, dia sudahpun mengelilingi dunia dengan pelayaran yang bermula dari Kepulauan Melayu dan berakhir semula di Kepulauan Melayu. – RELEVAN