
Buli sering dikaitkan dengan tradisi dan berniat untuk menguatkan lagi fizikal dan mental. Di sebalik kes-kes buli yang ditularkan, ada pembuli yang dilabel sebagai kejam, jahat dan tidak berperikemanusiaan.
Apakah kita sedar dan mengetahui isi dan punca buli ini? Adakah mereka dilahirkan untuk menyakiti dan bertindak kasar terhadap orang lain atau mereka adalah hasil dari persekitaran yang negatif?
Perkara ini menjadi topik hangat di setiap peringkat institusi seperti sekolah sehingga ke peringkat universiti yang menjadi lokasi kegiatan buli. Perlakuan ini dilihat menjadi tradisi dan budaya terutama pada satu masa dulu di sekolah asrama dan kolej serta universiti. Persoalannya, bagaimanakah seseorang boleh menjadi pembuli?
Menurut laporan media arus perdana, polis membuka kertas siasatan setelah mendapati dakwaan kes buli di MRSM apabila video buli yang dirakam telah viral di media sosial. Video berdurasi 31 saat itu menunjukkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, telah menjadi mangsa buli pelajar lain yang bertindak kasar dengan menghempap kepala serta badannya.
Mangsa telah disebat menggunakan tali pinggang pada punggung. Pembuli-pembuli tersebut telah digantung sekolah. Hal ini menunjukkan kes buli merupakan kes yang penting bagi pihak atasan dan pembuli akan dihukum mengikut undang undang. Hukuman yang diberikan kepada pembuli akan menjadi teladan kepada murid lain tentang bahayanya kes buli ini.
Menerusi laporan media bertajuk “Budaya buli, manifestasi krisis nilai kekeluargaan” yang disiarkan pada 15 Oktober 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa sebanyak 6,208 kes buli telah direkodkan di sekolah di seluruh negara sehingga Oktober 2024, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Tradisi dan kitaran buli di institusi pendidikan
Buli kerap berlaku di sekolah, asrama atau persekitaran pembelajaran yang melibatkan interaksi sosial yang rapat. Di setiap sesi persekolahan atau universiti baru bermula, kita sering mendengan perkataan “orientasi” dengan tujuan untuk mengukuhkan mental dan fizikal atau sesi suai kenal.
Namun bagi sesetengah pelajar, ini bukanlah satu perkara yang menyeronokkan, malah ia menimbulkan trauma baru. Tradisi orientasi berunsur keganasan secara tidak langsung telah mengulangi luka-luka yang lama dan memberi luka yang sama setelah menerima luka oleh senior terdahulu.
Tradisi “ragging” menjadi tanda tanya akan kepentingan dan keperluannya untuk diteruskan oleh sesetengah pihak. Secara tidak langsung, ia diwarisi secara turun-temurun. Kata-kata seperti “dulu aku kena, sekarang kau pulak” menjadi satu tiket untuk membuli.
Tradisi ini melahirkan pembuli baharu serta menormalisasikan perbuatan buli di sesebuah asrama. Kitaran ini sering dianggap sebagai “hak senioriti”, sekali gus mengulangi sejarah pahit dan menjadi bentuk balas dendam oleh individu yang pernah menjadi mangsa buli sebelum ini.
Bahayanya, tradisi ragging ini menanam sifat membuli dalam diri seseorang. Pembentukan pembuli jelaslah dari senior mereka yang mengamalkan orientasi dan ragging yang berlebihan hingga menjadi tradisi di sesebuah institusi. Orientasi seharusnya menjadi permulaan bagi persahabatan dan bukanlah tempat wujudnya trauma yang baru.
Peranan persekitaran dan solusi mengatasi buli
Pembuli tidak dilahirkan tetapi dibentuk oleh persekitaran yang negatif sama ada di rumah, sekolah atau dunia maya. Di rumah, apabila keganasan sebagai penyelesaian masalah memberi mesej bahawa kuasa datang dari ketakutan dan keganasan.
Contoh dan teladan yang buruk dari ahli keluarga membentuk perilaku dan rohani setiap anak sehingga mempengaruhi masa depannya. Di sekolah, apabila pelajar bersifat kasar lebih disanjungi berbanding mangsa buli yang mudah ditindas menjadi bukti bahawa hanya yang kuat sahaja layak dihormati.
Sikap berpuak turut menjadi punca kes buli semakin meningkat. Ini berlaku kerana apabila seorang rakan dalam kumpulan mula membuli, rakan lain cenderung terpengaruh untuk bertindak serupa.
Kesimpulannya, buli bukan sekadar masalah disiplin tetapi merupakan luka yang diwarisi dari generasi ke generasi yang lain. Jika kita mahu menghentikan gejala buli ini, tindakan sewajarnya harus bermula dari rumah yang harmoni dan persekitaran sekolah yang sihat.
Persekitaran ganas menjadikan buli ini sebagai titik mula bagi keganasan lain. Buli tidak dilahirkan, tetapi mereka tercipta daripada sekeliling yang lupa untuk mengajar mereka erti kasih sayang dan empati. Penghapusan sistem yang berunsur keganasan merupakan solusi yang utama bagi mengekang masalah buli ini. Luka ini mungkin tidak kelihatan di mata, tetapi ia membekas di jiwa.
Penulis merupakan pelajar sarjana muda tahun akhir kursus Komunikasi Media Baharu, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.


