BERPUASA bukan hanya menahan lapar dan dahaga, malah ia memerlukan pengurusan dan gaya pemakanan yang betul supaya tubuh kekal bertenaga dan sihat sepanjang hari.
Menurut Hello Doktor, terdapat beberapa tabiat yang sering dilakukan ketika Ramadan tetapi sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan. Berikut merupakan tabiat yang wajar dielakkan.
-
Melambatkan waktu berbuka
Sengaja melewatkan berbuka selepas masuk waktu Maghrib boleh menyebabkan paras gula darah menurun, keletihan melampau, pening dan dehidrasi. Perut yang kosong terlalu lama boleh mengakibatkan sakit perut atau gastrik.
Menerusi perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dari sudut hukumnya, melewatkan berbuka tanpa sebab adalah makruh kerana bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW untuk berbuka sebaik sahaja matahari terbenam. Namun, jika terdapat keuzuran tertentu, ia dibolehkan.
-
Mengambil makanan segera ketika sahur dan berbuka
Makanan segera seperti mi segera, kerepek dan makanan diproses kebiasaannya mengandungi perisa, pewarna dan garam yang tinggi. Makanan tidak berkhasiat ini menyebabkan perut cepat lapar dan tidak mendapat tenaga mencukupi sepanjang berpuasa.
Sebaliknya, hidangan yang seimbang dan kaya nutrien membuatkan perut rasa kenyang untuk tempoh lama serta mengelakkan keinginan untuk makan secara berlebihan.
-
Berbuka dengan makanan berminyak dan tinggi gula
Makanan bergoreng mengandungi minyak berlebihan dan sukar dihadam, terutama apabila ia diambil sebagai juadah pertama ketika berbuka. Perkara ini boleh menyebabkan perut rasa tidak selesa.
Minuman atau makanan manis pula meningkatkan gula darah dalam tempoh singkat, sekali gus membuatkan anda rasa lapar semula. Alternatifnya, pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut ketika berbuka.
-
Minum kopi ketika sahur
Minuman berkafein seperti kopi bersifat “diuretik” atau secara ringkasnya ia merangsang pembuangan air dalam badan. Keadaan ini meningkatkan risiko sakit kepala serta meningkatkan rasa lapar. Oleh itu, utamakan air kosong ketika sahur dan berbuka demi kekalkan hidrasi sepanjang hari.
-
Terus tidur selepas sahur
Tidur sejurus selepas makan boleh mengganggu proses penghadaman dan menyebabkan rasa tidak selesa pada bahagian ulu hati. Dalam jangka masa panjang, tabiat ini boleh menyumbang kepada masalah seperti penyakit refluks gastroesofagus (GERD).
Sebaiknya, beri sedikit masa untuk makanan hadam atau lakukan sebarang aktiviti ringan terlebih dahulu sebelum sambung tidur.
-
Meninggalkan sahur
Tidak bersahur boleh menyebabkan badan cepat letih, dehidrasi, bau mulut serta gangguan pencernaan. Sahur penting untuk membekalkan tenaga yang mencukupi.
Oleh demikian, usahakan bangun untuk sahur dan pilih makanan yang mengandungi karbohidrat dan protein bagi membantu mengekalkan tenaga lebih lama.
-
Makan berlebihan ketika berbuka
Rasa mengidam makanan selepas seharian berlapar sering mendorong seseorang makan secara berlebihan. Secara tidak langsung, tabiat ini boleh menyebabkan cirit-birit, muntah dan risiko keradangan perut.
Oleh sebab itu, konsep sederhana penting untuk dipraktikkan ketika berpuasa. Mulakan dengan hidangan ringan, kemudian nikmati juadah utama dalam kuantiti terkawal. – RELEVAN


