RAMAI orang rasa punca kewangan sempit adalah kerana gaji kecil. Tetapi menurut satu perkongsian di Medium, masalah sebenar selalunya bukan pada jumlah pendapatan semata-mata. Sebaliknya, pada tabiat kecil yang kita ulang setiap hari tanpa sedar.
Tabiat ini nampak biasa dan tidak berbahaya. Namun lama-kelamaan, ia menghakis wang sedikit demi sedikit. Jika tidak diperbetulkan, usaha keras bertahun-tahun pun tetap tidak cukup untuk membina kestabilan kewangan.
Berikut antara tabiat yang patut kita perhatikan.
-
Berbelanja tanpa berfikir panjang
Pembelian spontan memang menyeronokkan. Nampak promosi, terus beli. Rasa teringin, terus masukkan dalam troli. Tetapi setiap keputusan kecil ini sebenarnya mengumpul kesan besar.
Membeli tanpa perancangan adalah antara cara paling haling duit terus lesap dari akaun. Cuba amalkan peraturan 24 jam untuk barang tidak penting. Selalunya selepas sehari, keinginan itu sudah reda dan kita sedar ia bukan keperluan.
-
Tidak tahu duit digunakan untuk apa
Ada orang bekerja setiap hari tetapi langsung tidak menjejak perbelanjaan. Hujung bulan, tertanya-tanya kenapa baki tinggal sedikit.
Tanpa rekod, kita sebenarnya tidak nampak kebocoran kecil seperti kopi harian, snek impulsif atau caj tersembunyi. Mencatat perbelanjaan mingguan atau menggunakan aplikasi kewangan boleh membantu kita melihat corak sebenar perbelanjaan.
-
Mengabaikan bil dan bayaran
Menangguhkan bayaran bil mungkin nampak remeh. Tetapi caj lewat bayar dan denda boleh menjadi beban tambahan. Selain itu, tekanan kerana bil tertunggak menjejaskan emosi. Langkah mudah seperti menetapkan peringatan atau menggunakan sistem auto debit boleh mengelakkan masalah ini.
-
Berbelanja untuk nampak mewah
Dalam era media sosial, tekanan untuk kelihatan bergaya atau berjaya sangat kuat. Membeli telefon baharu, pakaian mahal atau makan di tempat eksklusif kadangkala bukan kerana perlu tetapi mahu dilihat sebagai ‘orang senang’.
Perbelanjaan hanya untuk nampak megah di mata orang lain jarang memberi kepuasan jangka panjang. Tanyakan pada diri sendiri sebelum membeli. Adakah ini meningkatkan kualiti hidup saya atau mahu menunjuk-nunjuk sahaja?
-
Terlalu kerap makan di luar
Makan di luar memang mudah dan menjimatkan masa. Namun jika dilakukan terlalu kerap, jumlahnya boleh mencecah ratusan ringgit sebulan. Memasak di rumah bukan sahaja lebih murah malah selalunya lebih sihat.
Tidak perlu menu ekstrem atau memasak tiga kali sehari. Mulakan dengan beberapa hari seminggu dahulu untuk bina rutin memasak.
-
Langganan yang tidak dimanfaatkan
Kadangkala kita melanggan sesuatu dengan penuh semangat. Kononnya mahu mula bersenam, menonton dokumentari berkualiti atau menikmati ciri premium tertentu. Namun selepas beberapa bulan, ia sekadar tinggal potongan automatik dalam akaun.
Jumlahnya mungkin hanya puluhan ringgit sebulan. Tetapi apabila dikumpulkan selama setahun, wang yang bocor itu sebenarnya cukup besar.
Ambil masa beberapa minit untuk meneliti transaksi bulanan. Tapis mana yang benar-benar digunakan dan beri nilai, dan hentikan yang sekadar menjadi beban tanpa manfaat.
-
Menyimpan selepas berbelanja
Ramai orang menggunakan formula ini – berbelanja dulu, ada baki baru menabung. Percaya atau tidak, dengan kaedah ini, boleh dikatakan tiada baki pun untuk disimpan.
Pendekatan lebih bijak ialah simpan dahulu, berbelanja kemudian. Tidak perlu jumlah yang besar sehingga nanti tidak cukup makan. Mulakan dengan 10 peratus daripada gaji sudah mencukupi.
-
Tiada matlamat kewangan
Apabila kita tidak mempunyai tujuan yang jelas, tabiat menyimpan mudah terhenti di tengah jalan. Duit sekadar masuk dan keluar tanpa hala tuju dan akhirnya kita sendiri hilang semangat untuk konsisten.
Sebab itu penting untuk menetapkan sasaran yang spesifik. Sama ada mahu membina dana kecemasan, mengumpul deposit rumah atau merancang percutian, matlamat yang nyata menjadikan setiap ringgit yang disimpan terasa lebih bermakna dan berbaloi.
-
Tidak mahu belajar tentang kewangan
Ramai orang menganggap topik kewangan membosankan atau rumit. Akhirnya, mereka mengulangi kesilapan sama kerana kurang pengetahuan asas.
Hakikatnya, memahami asas seperti bajet, simpanan dan pelaburan boleh mengubah setiap keputusan berkaitan kewangan. Ilmu memberi keyakinan. Keyakinan pula membantu kita membuat pilihan yang lebih bijak. – RELEVAN


