SETIAP kali Ramadan, antara perkara yang sering menjadi perbincangan ialah tempoh bacaan imam ketika solat sunat tarawih.
Ada yang selesa dengan bacaan yang panjang untuk mengkhatamkan al-Quran. Ada yang berasa letih dan sukar mengikutinya. Jadi, apakah sebenarnya hukum memanjangkan bacaan ayat al-Quran ketika solat tarawih?
Hukum baca surah panjang ketika solat tarawih
Merujuk kepada penjelasan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memanjangkan bacaan ayat-ayat al-Quran dalam solat tarawih dengan tujuan untuk mengkhatamkannya pada akhir Ramadan adalah sunat dan sangat digalakkan.
Namun, terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami agar isu ini tidak disalahertikan.
Tarawih itu sunnah
Solat tarawih merupakan ibadah sunat yang disepakati oleh para ulama sebagai amalan yang sangat dituntut pada bulan Ramadan. Sejak zaman para sahabat lagi, amalan qiyam Ramadan dilakukan dengan bacaan yang agak panjang.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar al-Ghifari dan direkodkan oleh Al-Nasa’i, para sahabat pernah solat malam bersama Nabi Muhammad SAW sehingga hampir waktu sahur.
Ini menunjukkan bahawa memanjangkan solat malam, khususnya dalam Ramadan, bukan sesuatu yang asing dalam tradisi Islam.
Namun, perlu difahami bahawa panjang bacaan itu bukanlah syarat sah Tarawih. Ia satu bentuk kelebihan (fadhilat), bukan kewajipan.
Khatam al-Quran
Menurut huraian Mufti Wilayah Persekutuan, ramai ulama daripada pelbagai mazhab menggalakkan imam untuk mengkhatamkan al-Quran sepanjang solat tarawih.
Tujuannya supaya para makmum berpeluang mendengar keseluruhan bacaan al-Quran secara berjemaah. Ini memberi peluang kepada masyarakat termasuk yang tidak sempat membaca sendiri untuk tetap merasai keberkatan khatam al-Quran.
Dalam mazhab Syafi‘i misalnya, para ulama menyebut bahawa jika tujuan imam adalah untuk mengkhatamkan al-Quran maka membaca sebahagian ayat daripada surah panjang dalam setiap rakaat adalah lebih utama.
Tetapi jika tidak berniat untuk khatam maka membaca satu surah lengkap adalah lebih baik.
Mazhab-mazhab lain seperti Hanafi dan Maliki juga menyatakan galakan yang sama iaitu sunat mengkhatamkan al-Quran sekali sepanjang tarawih dalam Ramadan.
Maksudnya di sini, memanjangkan bacaan itu bukan sekadar tradisi tempatan tetapi ada asasnya dalam pandangan ulama.
Tetapi… jangan abaikan keadaan makmum
Di sinilah datangnya keseimbangan. Walaupun hukum memanjangkan bacaan adalah sunat dan digalakkan, imam tetap bertanggungjawab mengambil kira keadaan makmum.
Dalam jemaah, ada warga emas, kanak-kanak, individu yang bekerja siang hari malah ada juga kurang sihat.
Islam tidak mengajar kita memberatkan sehingga menimbulkan kesukaran melampau. Prinsip asas dalam ibadah berjemaah ialah meraikan kemampuan majoriti.
Jika bacaan terlalu panjang hingga menyebabkan ramai makmum kepenatan, hilang fokus atau meninggalkan jemaah maka tujuan asal untuk menggalakkan ibadah bersama mungkin tidak tercapai.
Sebab itu, kebijaksanaan imam sangat penting. Panjang bacaan boleh disusun secara berperingkat atau disesuaikan mengikut suasana setempat.
Makmum juga ada pilihan
Dalam masa yang sama, para makmum mempunyai pilihan. Jika lebih selesa dengan bacaan panjang dan ingin mendapatkan pengalaman khatam al-Quran, mereka boleh memilih masjid atau surau yang mengamalkan bacaan sedemikian.
Begitu juga untuk mereka yang uzur atau mempunyai kekangan masa, tidak menjadi kesalahan untuk memilih tempat dengan bacaannya tidak panjang.Islam memberi ruang dan fleksibiliti dalam perkara sunat seperti ini.
Ramadan ialah bulan rahmat dan kebersamaan. Sama ada bacaan panjang atau sederhana, yang penting kita terus bersemangat mengimarahkan solat tarawih secara berjemaah sehingga selesai. Semoga segala amalan diterima Allah SWT. – RELEVAN


