TERDAPAT perkara yang tidak disedari boleh jatuh hukum makruh ketika berpuasa. Walaupun ia tidak membatalkan puasa sepenuhnya, perbuatan ini boleh mengurangkan pahala ibadah jika dilakukan tanpa keperluan. Menurut pendakwah bebas, Ustaz Faliq Fauzi, berikut merupakan senarainya.
-
Berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan
Islam amat menitikberatkan kebersihan. Namun ketika berpuasa, berkumur atau memasukkan air ke hidung secara berlebihan boleh meningkatkan risiko tertelan air yang pada akhirnya boleh membatalkan puasa.
-
Menggosok gigi selepas waktu Zuhur
Terdapat pandangan ulama yang memakruhkan gosok gigi selepas waktu Zuhur kerana bau mulut orang berpuasa mempunyai keistimewaan di sisi Allah.
Walaupun menjaga kebersihan itu penting, elakkan penggunaan ubat gigi berlebihan yang boleh menyebabkan risiko tertelan.
-
Bercumbu antara suami isteri
Bermesra antara pasangan suami isteri tidak membatalkan puasa, namun hukumnya makruh jika dikhuatiri membawa kepada syahwat yang boleh membatalkan puasa. Lebih baik dielakkan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan sebagai langkah berhati-hati.
-
Merasa makanan tanpa sebab
Merasa makanan ketika memasak dibenarkan jika benar-benar perlu, sebagai contohnya apabila hendak memastikan rasa jika terlebih rasa masin atau manis.
Bagaimanapun, hukumnya adalah makruh sekiranya dilakukan tanpa sebab munasabah kerana berisiko tertelan.
-
Berbekam
Berbekam ketika berpuasa dihukum makruh oleh sebahagian ulama kerana ia boleh menyebabkan tubuh badan menjadi lebih lemah. Puasa menuntut kekuatan fizikal dan rohani, maka elakkan jika tiada keperluan mendesak.
-
Berenang
Berenang tidak membatalkan puasa, namun makruh jika dilakukan kerana risiko air masuk ke dalam mulut atau hidung.
-
Mandi selepas waktu Asar untuk menyegarkan badan
Menurut perkongsian Ustaz Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa, hukumnya makruh jika niat mandi adalah ]untuk menghilangkan rasa letih berpuasa. Ini kerana kepayahan itu sebahagian daripada hikmah puasa.
Namun, ia tidak makruh jika niatnya untuk membersihkan badan akibat peluh atau pekerjaan berat.
-
Melengahkan mandi wajib sehingga masuk waktu Subuh
Jika seseorang berada dalam keadaan berhadas besar dan sengaja melengahkan mandi wajib hingga masuk waktu Subuh tanpa sebab, perbuatan itu makruh.
Puasa tetap sah, tetapi melambatkan kewajipan bukanlah amalan yang digalakkan.
-
Tidur berlebihan
Tidur memang tidak membatalkan puasa, namun jika berlebihan sehingga mengabaikan ibadah dan tanggungjawab adalah makruh.
Ramadan sepatutnya diisi dengan amal ibadah, bukan hanya berehat sepanjang hari.
-
Bercakap kasar dan mengumpat
Walaupun tidak membatalkan puasa, percakapan kasar, memaki hamun dan mengumpat mengurangkan pahala puasa. Puasa mendidik jiwa agar lebih sabar dan menjaga lisan. – RELEVAN


