RAMAI orang mengejar gaji tinggi tetapi akhirnya terperangkap dalam rutin kerja yang meletihkan emosi dan mental. Hakikatnya, kerja yang baik bukan sekadar tentang angka pada slip gaji. Ia berkaitan keseimbangan hidup, kawalan masa dan tahap tekanan harian.
Menurut Coursera, 10 kerjaya yang dikategorikan sebagai bergaji tinggi dan relatif rendah tekanan bagi tahun 2026.
1. Saintis data
Gaji median tahunan: AS$112,590 (kira-kira RM530,000)
Saintis data mengumpul, menganalisis dan mentafsir data untuk mengenal pasti corak serta menyelesaikan masalah. Mereka menggunakan algoritma dan pembelajaran mesin untuk membuat ramalan serta membantu organisasi membuat keputusan berasaskan data.
Peranan ini dianggap kurang tekanan kerana kebanyakannya bekerja secara individu, berasaskan projek dan dalam persekitaran pejabat atau secara jarak jauh. Fleksibiliti masa dan kurang interaksi kecemasan menjadikan kerjaya ini lebih terkawal dari segi emosi.
2. Pakar ortodontik
Gaji median tahunan: AS$239,200 (kira-kira RM1.12 juta)
Pakar ortodontik ialah doktor pergigian yang merawat masalah susunan gigi dan rahang. Walaupun laluan pendidikannya panjang (boleh mencecah 10 hingga 14 tahun), kerjaya ini menawarkan kawalan jadual yang lebih stabil berbanding doktor kecemasan atau pakar bedah.
Mereka bekerja mengikut waktu klinik dan jarang berdepan situasi trauma perubatan yang kritikal.
3. Saintis bahan
Gaji median tahunan: AS$104,160 (kira-kira RM490,000)
Saintis bahan mengkaji sifat kimia dan fizikal sesuatu bahan serta membangunkan material baharu. Kerjaya ini banyak melibatkan penyelidikan makmal dan analisis teknikal.
Tekanannya relatif rendah kerana kerja lebih berfokus kepada kajian jangka panjang berbanding keputusan segera yang berisiko tinggi.
4. Kurator muzium
Gaji median tahunan: AS$61,770 (kira-kira RM290,000)
Kurator mengurus koleksi muzium, galeri seni atau arkib. Tugas termasuk merancang pameran, menyusun koleksi dan mengurus dokumentasi.
Persekitaran kerja yang tenang dan kreatif menjadikan kerjaya ini sesuai bagi individu yang tidak gemar tekanan operasi harian yang pantas.
5. Pembangun web
Gaji median tahunan: AS$95,380 (kira-kira RM450,000)
Pembangun web membina dan menyelenggara laman web serta aplikasi. Mereka boleh memilih untuk menjadi pembangun bahagian depan (front-end), belakang (back-end) atau kedua-duanya.
Menurut Coursera, bidang ini fleksibel dari segi laluan pendidikan dan peluang kerja jarak jauh. Kebanyakan masa dihabiskan secara individu di hadapan komputer, sekali gus mengurangkan tekanan sosial atau operasi fizikal.
6. Ahli audiologi
Gaji median tahunan: AS$92,120 (kira-kira RM430,000)
Ahli audiologi mendiagnosis masalah pendengaran dan keseimbangan. Walaupun dalam bidang perubatan, mereka jarang berurusan dengan kes kecemasan atau penyakit kritikal.
Kerjaya ini biasanya beroperasi dalam waktu pejabat biasa di klinik, sekolah atau hospital.
7. Jurutera kimia
Gaji median tahunan: AS$121,860 (kira-kira RM570,000)
Jurutera kimia menggunakan prinsip kimia untuk menghasilkan produk seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan. Kerja mereka banyak melibatkan penyelidikan, reka bentuk proses dan pemantauan operasi.
Sebahagian besar masa dihabiskan di pejabat atau makmal dengan tekanan lebih kepada analisis teknikal berbanding tekanan emosi.
8. Ahli matematik
Gaji median tahunan: AS$104,350 (kira-kira RM490,000)
Ahli matematik menggunakan teori dan model matematik untuk menyelesaikan masalah dalam pelbagai industri termasuk teknologi, keselamatan dan perniagaan.
Kerja lebih bersifat analitik dan bebas, selalunya berasaskan projek tanpa tekanan kecemasan segera.
9. Ahli astronomi
Gaji median tahunan: AS$132,170 (kira-kira RM620,000)
Ahli astronomi mengkaji alam semesta termasuk planet, bintang dan galaksi. Kerjaya ini biasanya dalam bidang penyelidikan universiti, agensi kerajaan atau sektor aeroangkasa.
Persekitaran saintifik dan fokus jangka panjang menjadikan tahap tekanan lebih terkawal berbanding profesion klinikal atau operasi.
10. Penulis teknikal
Gaji median tahunan: AS$91,670 (kira-kira RM430,000)
Penulis teknikal menghasilkan manual pengguna, dokumentasi sistem dan panduan teknikal yang memudahkan maklumat kompleks difahami.
Kerjaya ini sesuai bagi individu yang gemar bekerja secara tersusun dan bebas, dengan peluang kerja jarak jauh serta fleksibiliti masa. – RELEVAN


