PERANCANGAN persaraan adalah salah satu aspek kewangan yang paling penting tetapi sering diabaikan oleh ramai rakyat Malaysia terutama orang muda yang beranggapan persaraan masih jauh.
Namun, realitinya kos hidup semakin tinggi menyebabkan jumlah simpanan yang diperlukan untuk bersara dengan selesa turut meningkat.
Jadi, berapa sebenarnya duit yang perlu dicapai sebelum bersara di Malaysia?
-
Garis panduan simpanan KWSP (Framework RIA)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan Retirement Income Adequacy (RIA) Framework untuk membantu pencarum merancang simpanan persaraan mereka. Rangka ini menetapkan tiga tahap simpanan berdasarkan tahap kehidupan selepas bersara yang diinginkan:
-
Simpanan asas
Sekurang-kurangnya RM390,000 pada umur 60. Cukup untuk menampung keperluan asas selepas bersara.
-
Simpanan mencukupi
Sasaran simpanan RM650,000. Memberi piawaian kehidupan yang tidak mewah tapi selesa untuk bersara.
-
Simpanan dipertingkat
Sasaran lebih tinggi iaitu RM1.3 juta untuk kehidupan persaraan yang lebih bebas dan berkualiti tinggi.
Garis panduan ini mengambil kira anggaran kos hidup semasa seorang warga emas bersara memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan untuk hidup selesa.
Kadar simpanan asas meningkat secara berperingkat dari RM240,000 sebelum ini kepada RM390,000 menjelang 2028.
-
Berapa perlu disimpan setiap bulan?
Rangka kerja RIA turut menganggarkan bagaimana jumlah simpanan itu boleh diagihkan sebagai pendapatan bulanan sekiranya ia dikeluarkan secara berperingkat sepanjang 20 tahun tempoh persaraan berdasarkan purata jangka hayat rakyat Malaysia.
Jadual di bawah menunjukkan anggaran jumlah pengeluaran bulanan (untuk keperluan dan kehendak) pada tahun pertama dan tahun ke-20 persaraan, berdasarkan andaian bahawa simpanan terus menerima dividen sepanjang tempoh tersebut.
|
Tahap simpanan |
Anggaran jumlah pengeluaran bulanan pada tahun pertama persaraan | Anggaran jumlah pengeluaran bulanan pada tahun ke-20 persaraan |
|
Simpanan asas (RM390,000) |
RM1,625 |
RM4,434 |
|
Simpanan mencukupi (RM650,000) |
RM2,708 |
RM7,389 |
| Simpanan dipertingkat (RM1.3 juta) | RM5,417 |
RM14,779 |
-
Faktor yang mempengaruhi keperluan persaraan
Jumlah yang diperlukan sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor peribadi:
-
Gaya hidup
Jika anda bercadang untuk hidup selesa dengan percutian, hobi atau menanggung kos anak, simpanan perlu lebih tinggi daripada RM650,000.
-
Lokasi tempat tinggal
Kos hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru biasanya lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.
-
Kos kesihatan
Perbelanjaan perubatan cenderung meningkat apabila usia meningkat. Kebanyakan pakar kewangan menasihatkan menyediakan simpanan khas untuk kos kesihatan di luar KWSP.
-
Umur bersara dan jangka hayat
Lebih awal anda bersara, lebih besar jumlah simpanan yang diperlukan kerana tempoh persaraan lebih panjang.
-
Peraturan dua pertiga gaji
Sebagai panduan umum, ramai pakar kewangan menyarankan supaya pendapatan selepas bersara sekitar dua pertiga (kira-kira 67 peratus) daripada gaji terakhir. Ini bertujuan untuk memastikan gaya hidup selepas bersara masih selesa.
Contohnya, jika gaji terakhir anda RM7,500 sebulan, sasaran pendapatan selepas bersara ialah kira-kira RM5,000 sebulan (dua pertiga gaji). Daripada sasaran ini, barulah boleh dikira berapa jumlah simpanan keseluruhan yang perlu dikumpulkan sebelum bersara untuk memastikan pendapatan bulanan tersebut dapat dicapai.
-
Adakah RM1 juta masih relevan?
Pendapat bahawa RM1 juta cukup untuk bersara semakin dipersoalkan kerana inflasi dan kos hidup yang meningkat. Menurut pakar ekonomi, untuk benar-benar selesa, ramai pencarum kini memerlukan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta bergantung kepada gaya hidup dan jangka hayat. – RELEVAN


