RAMAI wanita mula perasan haid mereka menjadi tidak menentu ketika masuk umur 40-an. Ada yang datang dua bulan sekali, ada juga tiba-tiba datang semula selepas dua minggu haid kitaran sebelumnya. Panas badan pun semakin kerap. Kadang-kadang ketika tengah tidur malam, berpeluh sampai pendingin hawa tidak lagi mendinginkan.
Ada juga yang rasa emosi jadi tidak stabil, cepat marah, mudah menangis atau rasa sedih tanpa sebab. Ramai fikir mereka mengalami tekanan biasa sedangkan ini sebenarnya tanda-tanda perimenopaus.
Apa itu perimenopaus?
Perimenopaus bermaksud tempoh peralihan sebelum menopaus berlaku. Dalam fasa ini, tahap hormon estrogen dan progesteron dalam badan mula turun naik dengan tidak menentu.
Fasa ini boleh bermula seawal usia pertengahan 30-an tetapi paling kerap bermula ketika umur 40-an dan berlangsung selama empat hingga lapan tahun sebelum benar-benar memasuki fasa menopaus (berhenti haid selama 12 bulan berturut-turut).
Tanda-tanda perimenopaus
Antara tanda-tanda perimenopaus yang ramai wanita alami termasuk:
- Haid tidak teratur – Sama ada lebih pendek, lebih panjang, jarak kitaran berubah atau darah terlalu banyak atau sedikit.
- Panas badan – Rasa panas tiba-tiba pada muka, leher dan dada.
- Berpeluh malam – Mengganggu tidur dan membuatkan rasa tidak selesa.
- Insomnia – Susah untuk tidur lena atau sering terjaga tengah malam.
- Perubahan emosi – Rasa cemas, murung, mudah marah tanpa sebab jelas.
- Kekeringan faraj – Menyebabkan ketidakselesaan semasa bersama.
- Kurang keinginan seksual – Libido menurun walaupun hubungan dengan pasangan baik.
- Berat badan naik – Terutama di bahagian perut walaupun amalan pemakanan masih sama.
- Sukar fokus atau mudah lupa – Otak rasa kabur ketika bekerja atau bercakap.
Mengapa perimenopaus berlaku?
Perimenopaus berlaku kerana ovari mula menghasilkan hormon estrogen dan progesteron dalam jumlah yang semakin berkurang.
Hormon-hormon ini mengawal kitaran haid dan banyak fungsi badan lain. Apabila tahap hormon turun naik, badan mula menunjukkan pelbagai simptom yang mungkin tidak pernah dialami sebelum ini.
Perimenopaus vs Menopaus
Perimenopaus | Menopaus |
Fasa peralihan sebelum menopaus | Haid berhenti sepenuhnya |
Haid masih datang tetapi tidak teratur | Tiada haid selama 12 bulan berturut-turut |
Hormon estrogen masih dihasilkan tetapi berkurangan | Hormon estrogen kekal rendah |
Simptom datang dan pergi | Beberapa simptom mungkin berterusan |
Cara mengurus perimenopaus
Perimenopaus adalah fasa normal dalam kehidupan wanita tetapi simptomnya boleh mengganggu aktiviti harian jika tidak ditangani dengan baik.
Untuk membantu, anda boleh mula menjaga pemakanan dengan mengurangkan pengambilan gula, makanan bergoreng dan tinggi lemak tepu. Sebaliknya, lebihkan makanan sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan protein yang baik untuk badan.
Selain itu, bersenam secara konsisten juga penting. Tidak perlu melakukan senaman berat setiap hari, cukup dengan berjalan kaki, yoga atau apa sahaja aktiviti fizikal yang membuatkan badan bergerak dan membantu menstabilkan hormon.
Tidur yang cukup juga perlu diutamakan. Cuba tetapkan waktu tidur dan bangun yang sama setiap hari supaya badan dapat berehat dengan baik.
Dalam masa yang sama, kawal tekanan emosi dengan melakukan aktiviti yang menenangkan fikiran. Anda boleh cuba meditasi, berzikir, melakukan pernafasan dalam atau menulis jurnal untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
Sekiranya simptom perimenopaus terlalu mengganggu, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor. Doktor boleh membantu dengan mencadangkan rawatan hormon atau ubat yang sesuai mengikut keadaan anda.
Jangan lupa untuk memastikan pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi dalam diet harian bagi menjaga kesihatan tulang, kerana penurunan hormon estrogen boleh melemahkan tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis. – RELEVAN