KALAU setiap Perdana Menteri Malaysia diminta menyediakan resume untuk dibandingkan pencapaian sesama mereka, susah Perdana Menteri lain nak kalahkan Tunku Abdul Rahman.
Setiap Perdana Menteri ada sumbangannya tersendiri tetapi cabaran yang dihadapi Tunku Abdul Rahman bukan biasa-biasa.
Beliau menjadi ketua eksekutif negara sebelum merdeka lagi. Beliau juga yang mengetuai rombongan untuk memerdekakan negara, mentadbir negara pada tahun-tahun awal kemerdekaan dan menggerakkan usaha transformasi Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia.
Namun, Tunku sering menyembunyikan kegusaran hatinya. Berkali-kali diulang, walau apa cabaran yang dihadapi negara dahulu, beliau tetap “Perdana Menteri paling bahagia dalam dunia”.
Perletakan jawatan Tunku juga dibuat secara mengejut. Akibat peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, kedudukannya sebagai Perdana Menteri semakin goyah. Malah, kira-kira setahun sebelum peletakan jawatannya, fungsinya sebagai Perdana Menteri diambil alih Majlis Gerakan Negara (Mageran).
ARTIKEL BERKAITAN: Apa keutamaan kita: parti politik atau negara?
Warna-warni peristiwa sepanjang pemerintahan Tunku ditutup dengan tragedi dan permulaan baharu untuk Malaysia.
Pada 30 Ogos 1970, sehari sebelum sambutan kemerdekaan dan pengisytiharan Rukun Negara, Tunku menyampaikan pidato radio kepada seluruh rakyat Malaysia. Dalam pidato tersebut, Tunku mengumumkan bahawa itu merupakan ucapan terakhirnya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Buat para pembaca, Relevan mencatatkan semula ucapan terakhir Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu. Semoga ada pengajaran yang dapat kita ambil dari ucapan ini.
Bicara hati ke hati
“Rakyat se-Malaysiaku,
Besok sesungguhnya adalah hari yang paling tidak dapat dilupakan oleh kita semua. Besok masuklah tahun keempat belas kita Merdeka. Pada malam ini, malam menjelangnya peristiwa bersejarah ini, buat pertama kalinya kita meraikan secara rasmi Hari Kebangsaan. Saya ingin berbicara hati ke hati dengan anda semua. Inilah kali pertama kita dapat merenung semula segala apa yang telah kita capai dan yang dapat kita banggakan sebagai rakyat Malaysia. Inilah masanya untuk menyedari ke arah mana kita telah tersasar. Inilah masanya untuk mendambakan masa depan bangsa yang telah kita bina bersama selama kita merdeka ini.
Semua rakyat Malaysia yang setia dan sejati bersukacita setiap tahun apabila tibanya hari Merdeka. Pada tahun ini, hari Merdeka akan menjadi lebih meriah dari tahun-tahun sebelumnya. Besok, satu kempen muhibah akan dilancarkan dengan sebesar-besarnya. Saya merasakan bahawa, dengan berbuat demikian, kita akan dapat menegaskan dan selamanya ingat di dalam hati dan kepala kita akan perlu dan pentingnya suasana harmoni dan muhibah dalam kalangan bangsa ini, tidak mengira sesiapa, tidak mengira umur, kaum, ataupun agama; kita semua adalah rakyat Malaysia. Ikatan inilah yang memperteguh kita.
ARTIKEL BERKAITAN: Huraian kepercayaan Rukun Negara
Marilah kita ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan utama kita sebagai sebuah masyarakat dan bangsa. Jangan sekali-kali kita membiarkan perpecahan menghancurkan atau mengganggu-gugat kita. Jika kita biarkan, maka jatuhlah kita. Dalam tempoh 25 tahun selepas tamatnya Perang Dunia, ketika rakyat negara ini bangkit dari menjadi generasi terhina dan diperintah oleh kuasa asing, banyak yang sudah kita capai. Kita tempuh pelbagai kepayahan dan mengubah sejarah kita. Catatan pencapaian kita sesungguhnya sangat menakjubkan.
Namun, kita pernah sekali gagal mengukur harapan dan cita-cita kita, dan itu adalah pada hari yang kita sesalkan, iaitu 13 Mei tahun lalu. Peristiwa itu menggegarkan mental dan sosial kita sebagai manusia. Ia adalah hari yang tidak akan pernah kita lupakan. Kita sedar dengan penuh kecewa bahawa kita belum lagi betul-betul mencapai perpaduan yang diinginkan. Kita tidak menjaga keharmonian yang selama ini dikagumi dunia. Yang lebih buruk adalah apabila kita sedar bahawa ramai sekali yang kononnya orang Malaysia sama sekali bukan orang Malaysia. Tetapi saya tidak berputus asa. Sekarang kita masing-masing tahu, kerana ia sudah terpahat di hati kita, bahawa nasib bangsa ini, rakyat Malaysia, terletak pada keharmonian dan perpaduan serta kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara.”
Di sini kita hidup, di sini kita mati
“Tanpa sifat-sifat ini, maka sesebuah bangsa akan selamanya berpecah-belah. Dan sesebuah bangsa yang berpecah-belah akan hancur berkecai. Oleh kerana itu, jika kita mengendahkan kehidupan kita dan mereka yang kita tanggung, jika kita menghargai segala peninggalan kita, maka kita mesti segera berjanji untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh agar perpaduan dan keharmonian terus berkekalan. Sebilangan orang yang sudah senang-lenang boleh mengemas barang-barang mereka, melarikan diri dan membina hidup di tanah-tanah baharu jika itu kemahuannya. Tetapi bagi kita, bagi kita semua, di sinilah kita hidup, jadi di sinilah kita mati. Selagi masih ada hidup, selagi itu ada harapan untuk sebuah masa depan negara yang cerah dan gembira. Terpulang kepada kita untuk menggapainya.
ARTIKEL BERKAITAN: Huraian prinsip Rukun Negara
Oleh sebab itu saya bersama anda pada malam ini untuk berbicara hati ke hati. Untuk mengajak anda, rakyat Malaysia sejati, melupakan dan meredam apa jua perbezaan yang ada serta menghargai satu sama lain dengan sejujur dan sebenarnya sebagai rakyat Malaysia. Bertekad untuk bekerjasama dalam harmoni demi kebaikan bersama. Sudahnya, ini adalah Malaysia anda semua. Bangsa ini milik setiap daripada kita. Kita semua adalah sebahagian daripadanya dan setiap daripada kita ada peranannya masing-masing. Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk menjunjung lima tiang seri atau prinsip-prinsip bangsa kita ini:
Pertama: Kepercayaan kepada Tuhan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Undang-Undang, dan jagalah Kesopanan dan Kesusilaan.
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa saya berbicara dengan bersungguh-sungguh, begitu bersemangat, malah begitu tekun pada kesempatan Hari Kebangsaan kita ini?
Baiklah, sekarang saya akan beritahu.”
Perdana Menteri paling bahagia dalam dunia
“Ucapan ini adalah ucapan terakhir saya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Kata-kata ini adalah kata-kata rasmi terakhir saya kepada bangsa ini selepas 13 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri, dan dua tahun sebagai Ketua Menteri. Setelah mengundurkan diri dari jawatan Perdana Menteri, saya akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Tun Abdul Razak sebagai pengganti saya. Saya benar-benar yakin dengan Tun Abdul Razak yang bukan sahaja sahabat dan rakan sekerja saya, tetapi juga bayangan atau diri saya yang lain. Perlu saya katakan bahawa tahun-tahun kita bekerja bersama adalah tahun-tahun yang menakjubkan. Namun, setiap perkara ada pengakhirannya dan kini tibalah giliran saya.
Saya amat senang hati kerana dapat memberi laluan kepada orang yang lebih muda untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Dengan Tun Abdul Razak, anda memiliki seseorang yang baik, jujur dan adil pekertinya, tidak pernah lelah mengabdikan diri kepada negaranya. Beliau adalah seseorang yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun sebagai timbalan saya. Oleh itu, anda boleh jamin bahawa anda memiliki orang yang adil untuk mengepalai kerajaan.
Sepanjang bertahun-tahun saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri, saya telah mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh masyarakat, tidak mengira kaum mahupun agama. Saya merasakan bahawa 15 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri adalah sangat bermanfaat dan menggembirakan. Sehinggakan saya sering menganggap bahawa diri saya sebagai Perdana Menteri yang paling bahagia di dunia. Sudah menjadi harapan dan cita-cita saya juga untuk menjadikan semua rakyat Malaysia orang yang paling bahagia di dunia.” – RELEVAN
*Ucapan ini diambil dari buku Rukunegara: Selayang Pandang tulisan Eddin Khoo. Buku ini memberikan pengenalan kepada Rukun Negara melalui catatan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum pengisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970, selain turut memuatkan dokumen lengkap Rukun Negara. Kalau berminat, boleh dapatkan buku tersebut di sini.