ANGKA jangkitan Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dengan 4,020 kes baharu dilaporkan semalam berbanding 3,561 kes kelmarin.
Menurut data laman web CovidNow, pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia pada ketika ini adalah sebanyak 4,586,322 kes.
Bagi kes sembuh pula dilaporkan sebanyak 1,718 kes semalam, menjadikan jumlah terkumpul kesembuhan adalah 4,516,688 kes.
Sebanyak tiga kematian dilaporkan semalam dan dua daripadanya merupakan kematian sebelum tiba di hospital (BID).
Sekali gus, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat semalam adalah sebanyak 35,795 kes dan jumlah terkumpul BID sebanyak 7,591 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia pada ketika ini adalah sebanyak 33,839 kes dengan 32,617 kes atau 96.4 peratus pesakit menjalani kuarantin di rumah dan 21 kes atau 0.1 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 1,156 kes atau 3.4 peratus pesakit dirawat di hospital, 22 kes atau 0.1 peratus berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat bantuan pernafasan dan 23 kes atau 0.1 peratus lagi di ICU dengan alat bantuan pernafasan.– RELEVAN