APABILA pelajar melangkah masuk ke sekolah menengah, satu perkara mula berlegar dalam fikiran. “Selepas ini aku nak jadi apa?”
Dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, ramai mula memikirkan aliran mana yang patut diambil sama ada Sains, Sastera, Teknikal atau Vokasional.
Kemudian apabila semakin hampir ke Tingkatan 4 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), persoalan menjadi lebih besar. “Nanti mahu mengambil jurusan apa di universiti?”
Ada yang sudah nampak arah tuju tetapi ramai juga yang baru sedar bahawa memilih aliran di sekolah menengah sebenarnya menentukan pintu mana yang terbuka apabila masuk ke universiti kelak.
Di sinilah timbul dilema yang sangat biasa. Patut ikut minat sendiri atau pilih jurusan berdasarkan peluang kerja yang tinggi?
Minat dan kekuatan diri
Sebelum memikirkan tentang pekerjaan, anda perlu memahami diri sendiri. Minat menentukan apa yang membuatkan anda seronok belajar. Manakala kekuatan menentukan sama ada anda mampu bertahan apabila cabaran muncul.
Kadang-kadang kita merasakan sudah tahu minat sendiri tetapi masih buntu apabial ditanya adakah minat itu konsisten atau sekadar minat sementara? Ada pelajar yang sangat suka subjek tertentu kerana guru mereka seronok mengajar tetapi minat itu hilang bila suasana berubah.
Dalam masa sama, kekuatan diri perlu diambil kira. Anda mungkin minat Biologi tetapi sentiasa bergelut dengan Kimia. Itu tidak bermaksud anda tidak sesuai dengan bidang sains. Mungkin anda lebih serasi dengan bidang berkaitan tetapi kurang teknikal seperti fisiologi, pemakanan atau teknologi makanan.
Pasaran kerja
Realitinya, dunia kerjaya berubah lebih cepat berbanding silibus sekolah. Kerjaya yang dahulu popular mungkin tidak lagi setanding hari ini dan kerjaya barhau pula muncul setiap tahun.
Bidang digital seperti keselamatan siber, analisis data, pembangunan aplikasi dan reka bentuk interaktif berkembang pesat. Dalam masa sama, sektor kesihatan memerlukan semakin ramai tenaga kerja daripada jururawat hingga ahli terapi.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula menunjukkan peningkatan permintaan yang stabil kerana industri memerlukan tenaga mahir yang boleh bekerja secara praktikal.
Namun memilih jurusan hanya kerana ia banyak peluang kerja tidak semestinya pilihan terbaik jika anda tidak berminat. Kestabilan kerjaya datang daripada gabungan permintaan pasaran dan kemampuan anda untuk bertahan lama dalam bidang tersebut.
Seimbangkan antara minat dan peluang
Minat sebenarnya boleh disesuaikan dengan keperluan pasaran jika anda melihatnya dari perspektif lebih luas. Jika berjiwa seni, mungkin menjadi pelukis sepenuh masa bukan jalan diingankan tetapi anda boleh menjurus kepada jurusan kreatif digital seperti grafik, animasi atau pemasaran visual.
Jika meminati sains tetapi tidak mahu masuk jurusan berat seperti perubatan atau kejuruteraan, banyak jurusan lain yang masih berkaitan sains tetapi lebih fleksibel.
Ramai pelajar tidak tahu bahawa minat mereka boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk kerjaya. Asalkan, anda terbuka untuk meneroka.
Jangan ikut orang
Tekanan luar sering membuat pelajar membuat pilihan terburu-buru. Ada yang ikut aliran tertentu kerana rakan-rakan memilihnya. Ada juga mengikut desakan keluarga. Tidak ketinggalan, ada yang memilih jurusan kerana kelihatan ‘hebat’ di mata orang.
Namun, laluan setiap orang tidak sama. Kerjaya yang baik bukan bergantung kepada pendapat orang lain tetapi keserasian antara diri anda dan jurusan yang dipilih. Pilih keputusan berdasarkan maklumat, bukan tekanan.
Buat pilihan bijak
Memilih jurusan bukan perkara mudah tetapi ia boleh menjadi lebih jelas apabila anda memahami apa yang disukai, kemampuan diri sendiri dan permintaan terkini pasaran kerja. Tidak perlu memilih antara minat atau permintaan pasaran semata-mata. Gabungan kedua-duanya adalah formula yang terbaik.
Pilih jurusan yang:
- Memberi anda semangat untuk belajar
- Sesuai dengan kemampuan
- Mempunyai masa depan yang kukuh
Dengan keseimbangan ini, anda bukan sahaja akan menikmati proses pembelajaran tetapi juga mempunyai laluan kerjaya yang stabil dan bermakna. – RELEVAN

