RAMAI beranggapan apabila gaji meningkat, simpanan akan bertambah secara automatik.
Namun realitinya, pendapatan yang besar tidak semestinya membawa kepada kestabilan kewangan. Tanpa pengurusan wang yang bijak walaupun gaji mencecah puluhan ribuan ringgit, sesiapa pun masih boleh berdepan tekanan kewangan.
Baru pertengahan bulan tetapi baki gaji sudah hampir habis. Ia bukan semata-mata berapa banyak yang diperoleh tetapi bagaimana wang itu diuruskan. Tanpa pengurusan kewangan yang baik, pendapatan yang besar juga boleh ‘hilang’ begitu sahaja.
Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tahap literasi kewangan dan disiplin menyimpan memainkan peranan besar dalam menentukan keselamatan kewangan jangka panjang seseorang, bukan semata-mata jumlah pendapatan bulanan.
Simpan dulu baru belanja
Kita sering dinasihatkan supaya mula menyimpan sejak usia muda agar kehidupan pada usia 30-an dan 40-an menjadi lebih mudah. Namun, ramai masih tertanya-tanya bagaimana caranya untuk benar-benar konsisten menyimpan.
Nasihat pelabur terkenal dunia, Warren Buffett, sering dijadikan rujukan:
“Jangan simpan apa yang tinggal selepas berbelanja tetapi belanjakan apa yang tinggal selepas menyimpan.”
Prinsip ini menekankan simpanan perlu menjadi keutamaan, bukannya baki. Apabila simpanan diletakkan di hadapan, perbelanjaan akan lebih terkawal dan kewangan menjadi lebih stabil.
Uruskan wang dengan baik
Menurut KWSP, pembinaan kekayaan bukan hanya bergantung kepada pendapatan tetapi kepada kebijaksanaan mengurus wang. Berikut beberapa langkah praktikal yang boleh diamalkan:
-
Tetapkan matlamat simpanan yang jelas
Mengetahui tujuan simpanan sama ada membeli rumah, kereta, dana kecemasan atau persaraan boleh membantu untuk kekal berdisiplin. Matlamat yang jelas menjadikan usaha menyimpan lebih bermakna dan terarah.
-
Kurangkan perbelanjaan tidak perlu
Perbelanjaan kecil yang kelihatan remeh boleh memberi kesan besar dalam jangka panjang. Contohnya, mengurangkan pembelian kopi harian di luar atau menilai semula langganan digital yang jarang digunakan. Perubahan kecil ini mampu meningkatkan jumlah simpanan secara konsisten.
-
Menyumbang secara berkala ke dalam simpanan
Selain menampung keperluan asas, agihkan sebahagian gaji dan bonus untuk simpanan. Menurut KWSP, individu yang berkemampuan digalakkan untuk mencarum lebih daripada kadar minimum bagi mempercepatkan pertumbuhan simpanan persaraan.
-
Simpanan automatik
Salah satu cara paling berkesan ialah dengan menetapkan pemindahan automatik ke akaun simpanan. Kaedah ini membantu mengelakkan godaan berbelanja dan menjadikan tabiat menyimpan lebih konsisten tanpa perlu berfikir panjang.
Mengapa simpanan sukar bertambah?
Menurut KWSP, tabiat menyimpan dipengaruhi oleh pemikiran, didikan dan persekitaran seseorang. Mengenal pasti punca sebenar adalah langkah pertama untuk memperbaiki keadaan kewangan.
“Aku berbelanja sekali ini sahaja.”
Perbelanjaan impulsif sering dianggap kecil namun jika dilakukan berulang kali, ia boleh menjejaskan simpanan. Tetapkan bajet khusus untuk perbelanjaan peribadi dan patuh kepadanya.
“Gaji naik, bolehlah naik taraf gaya hidup.”
Apabila pendapatan meningkat, keinginan untuk berbelanja lebih juga meningkat. Fenomena ini dikenali sebagai lifestyle inflation. Jika tidak dikawal, ia boleh menghalang pertumbuhan simpanan walaupun gaji bertambah.
“Tak sangka ada perbelanjaan mengejut.”
Kos pembaikan kenderaan, rawatan kesihatan atau kecemasan lain boleh menghabiskan simpanan. Oleh itu, dana kecemasan sangat penting. Menurut KWSP, dana kecemasan idealnya bersamaan perbelanjaan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memberi perlindungan kewangan ketika diperlukan.
“Bulan depan aku mula simpan.”
Sikap menangguh adalah musuh utama simpanan. Mulakan sekarang, walaupun dengan jumlah kecil. Yang penting ialah membina tabiat menyimpan secara konsisten.
Kebebasan kewangan bukan hak golongan berpendapatan tinggi semata-mata. Ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang mengurus wang dengan bijak dan berdisiplin. – RELEVAN


