ADAKAH anda tergolong dalam kalangan yang masih menyimpan hutang puasa bertahun-tahun? Ada dalam kalangan orang Islam yang masih keliru tentang bila qada’ perlu dilakukan dan bila fidyah dikenakan, menyebabkan hutang puasa sering ditangguh tanpa menyedari implikasinya.
Apa itu fidyah?
Fidyah ialah denda atau bayaran sebagai ganti untuk puasa wajib yang ditinggalkan bagi golongan yang tidak mampu menggantikannya. Ia diwajibkan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan dan diberikan kepada golongan fakir dan miskin.
Hukumnya wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tanggungan kepada Allah SWT jika ditinggalkan begitu sahaja.
Siapa perlu membayar fidyah?
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, golongan yang wajib dikenakan fidyah puasa termasuk:
- Orang tua lemah dan pesakit yang tiada harapan sembuh
- Ibu yang mengandung dan menyusukan bayi
- Orang yang telah meninggal dunia dengan hutang puasa yang belum diganti
- Musafir, pesakit dan orang yang melambatkan ganti puasa (qada’)
Dengan kata lain, kewajipan membayar fidyah tidak terhad kepada orang uzur sahaja. Ia turut dikenakan kepada sesiapa yang menunda qada’ puasa sehingga melewati tahun berikutnya walaupun dalam keadaan sihat.
Kenapa hutang puasa yang dilambatkan jadi masalah?
Ramai menyangka menangguhkan qada’ puasa tidak mendatangkan sebarang kesan tetapi sebenarnya apabila seseorang gagal menggantikan puasa Ramadan terdahulu sebelum memasuki Ramadan seterusnya, fidyah menjadi kewajipan syarak yang harus dipenuhi.
Selain itu, puasa yang tertangguh masih tanggungjawab ibadah dan meninggalkannya tanpa qada’ atau fidyah ialah berdosa kerana mengabaikan kewajipan agama. Menunaikannya pula memberi pahala kerana melengkapkan tuntutan ibadah yang tertunda.
Fidyah bukan pengganti qada’ secara mutlak
Satu lagi kekeliruan biasa ialah orang ramai sering anggap bahawa dengan membayar fidyah, mereka tidak perlu menggantikan puasa yang tertinggal sama sekali.
Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa fidyah tidak menggantikan kewajipan qada’ secara mutlak. Fidyah hanya dikenakan jika seseorang tidak menggantikan puasa pada waktu yang ditetapkan dan qada’ itu tetap perlu dilaksanakan apabila mampu.
Contoh realiti:
Seorang Muslim meninggalkan lima hari puasa pada Ramadan tahun lalu, lalu menggantinya selepas masuk Ramadan tahun seterusnya tanpa membayar fidyah. Berdasarkan pandangan fikah yang dipraktikkan di Malaysia, fidyah tetap wajib dibayar kerana qada’ itu ditangguhkan ke tahun berikutnya, selain perlu menggantikan puasa tersebut.
Mengurus hutang puasa bertahun-tahun: Apa perlu dilakukan?
- Kenal pasti berapa hari yang tertinggal – Rujuk catatan sendiri atau kira semula rekod puasa bertahun-tahun.
- Ganti puasa (qada’) – Lakukan secara berperingkat di luar bulan Ramadan apabila mampu.
- Bayar fidyah untuk setiap hari yang ditinggalkan yang tidak diganti tepat pada masanya.
- Bayaran fidyah boleh dibuat melalui pusat zakat negeri atau institusi agama Islam yang dipertanggungjawabkan.
Kenapa perlu dibayar awal?
Ramai menunggu detik hampir Ramadan untuk memikirkan hutang puasa mereka. Namun, lebih baik urusan ini diselesaikan awal kerana:
- Ia memberi ketenangan jiwa sebelum tiba bulan mulia
- Tidak kelam kabut apabila bulan Ramadan semakin hampir
- Memberi masa untuk memahami hukum dengan lebih jelas.
Fidyah bukan soal ganti cepat sebelum Ramadan tiba semata-mata, ia adalah amanah syarak yang perlu dilunaskan apabila seseorang menyedari kewajipannya. – RELEVAN


