SIAPA sangka, kuku boleh menjadi petunjuk awal kepada keadaan kesihatan dalaman seseorang. Kajian yang diterbitkan dalam Indian Dermatology Online Journal pada tahun 2015 menyatakan bahawa kuku bertindak sebagai jalan pintas kepada penyakit sistemik.
Menurut pakar pemakanan, Dr. Rohini Patil, terdapat beberapa perubahan pada kuku yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin berkait dengan masalah kesihatan seperti kekurangan nutrien, gangguan tiroid, penyakit hati, buah pinggang, jantung dan paru-paru.
-
Tompok putih pada kuku
Ramai beranggapan kesan tompok putih pada kuku tidak berbahaya kerana berkemungkinan besar ia berpunca daripada kecederaan kecil sahaja. Namun dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi tanda kekurangan zink atau masalah buah pinggang. Jika tompok muncul dengan kerap atau tidak hilang, maka disarankan untuk berjumpa doktor.
-
Kuku berbentuk sudu
Bentuk kuku melengkung ke atas pada bahagian tepi seakan-akan menyerupai sudu wajar diberi perhatian lebih. Keadaan ini sering dikaitkan dengan anemia iaitu kekurangan sel darah merah. Selain itu, ia juga berpotensi menunjukkan gangguan tiroid atau masalah jantung.
-
Kuku melengkung ke bawah
Jika kuku kelihatan membulat dan melengkung ke bawah mengikut bentuk jari, ia mungkin petanda kekurangan oksigen dalam badan. Keadaan ini berkait rapat dengan penyakit paru-paru dan jantung.
-
Kuku kekuningan dan menebal
Perubahan warna kuku menjadi kuning serta menebal adalah tidak normal. Secara lazimnya, ia menunjukkan jangkitan kulat. Jika tidak dirawat, kuku boleh menjadi rapuh, mudah hancur dan terpisah daripada kulit.
-
Kuku pucat dan gelap
Kuku pucat dan gelap dikenali sebagai Terry’s nails. Ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius kerana dikaitkan dengan penyakit hati seperti hepatitis, masalah buah pinggang serta diabetes.
Perubahan pada kuku tidak seharusnya dipandang remeh. Jika anda mengalami tanda-tanda kelainan pada kuku, segera dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut. Pemerhatian awal boleh membantu mengesan penyakit lebih awal untuk mendapatkan rawatan sewajarnya. -RELEVAN


