DALAM situasi kecemasan seperti bencana alam atau gangguan bekalan makanan, persediaan awal dengan menyimpan stok makanan jangka panjang amat penting.
Menariknya, terdapat pelbagai jenis makanan yang bukan sahaja tahan lama, malah masih mengekalkan nilai nutrisi jika disimpan dengan cara yang betul.
Menurut Taste of Home, berikut ialah beberapa kategori makanan yang boleh dijadikan stok untuk tempoh bertahun-tahun.
-
Makanan kering
Makanan kering merupakan pilihan paling asas untuk simpanan jangka panjang kerana ketahanannya yang tinggi. Antaranya ialah beras putih yang boleh bertahan sehingga 30 tahun sekiranya disimpan dalam bekas kedap udara bersama penyerap oksigen.
Selain itu, gandum keras (wheat berries) juga boleh disimpan lama dan boleh diproses menjadi tepung apabila diperlukan. Oat, pasta kering serta kekacang seperti kacang kuda, kacang merah dan lentil turut sesuai dijadikan stok kerana kaya dengan protein dan serat.
Bagi memastikan ketahanan lebih lama, kaedah penyimpanan seperti penggunaan bekas vakum dan tong makanan khas amat digalakkan. Kaedah ini membantu menghalang kemasukan udara, kelembapan dan serangga yang boleh merosakkan makanan.
-
Makanan semula jadi
Selain makanan kering, terdapat bahan makanan semula jadi yang mempunyai jangka hayat sangat panjang secara semula jadi.
Misalnya, madu asli mempunyai sifat antibakteria yang menghalang pertumbuhan kuman dan kulat yang menjadikannya hampir tidak mudah rosak jika disimpan dengan betul.
Garam tidak mempunyai tarikh luput kerana berfungsi sebagai bahan pengawet semula jadi. Walaupun gula boleh mengeras akibat kelembapan, ia masih boleh digunakan seperti biasa tanpa menjejaskan fungsinya dalam masakan.
-
Makanan kering beku (freeze-dried)
Teknologi kering beku semakin popular kerana keupayaannya mengekalkan makanan dalam tempoh yang sangat panjang tanpa menjejaskan rasa dan nutrisi secara ketara. Proses ini melibatkan penyingkiran hampir keseluruhan kandungan air dalam makanan.
Antara makanan kering beku termasuk susu tepung, sayur-sayuran kering, buah-buahan serta daging yang telah diproses menggunakan kaedah ini. Jangka hayatnya boleh mencecah sehingga 20 hingga 30 tahun.
Kelebihannya ialah mudah disimpan, ringan dan hanya perlu ditambah air untuk kembalikan kepada bentuk asal. Ia sangat sesuai untuk situasi kecemasan dan aktiviti luar seperti perkhemahan.
-
Makanan dalam tin
Makanan dalam tin juga antara pilihan terbaik untuk simpanan jangka panjang kerana sifatnya yang mudah digunakan dan tahan lama. Ia merangkumi pelbagai jenis seperti ikan, daging, sup dan sayur-sayuran.
Makanan ini boleh dimakan terus atau dipanaskan semula tanpa memerlukan proses penyediaan yang rumit. Jangka hayatnya boleh mencapai antara lima hingga 25 tahun, bergantung pada jenis makanan dan keadaan penyimpanan.
Bagaimanapun, pengguna perlu sentiasa memeriksa keadaan tin. Tin yang kemik, berkarat atau menggelembung menandakan makanan tersebut tidak lagi selamat untuk dimakan.
-
Makanan sedia untuk dimakan (MRE)
Makanan sedia dimakan atau Meals, Ready-to-Eat (MRE) ialah makanan yang direka khas untuk situasi kecemasan, terutama apabila bekalan makanan terganggu atau sukar diperoleh.
MRE tidak memerlukan kemahiran memasak kerana ia boleh dimakan terus, dipanaskan atau hanya perlu ditambah air bergantung pada jenisnya. Ia biasanya mengandungi hidangan lengkap yang seimbang dari segi nutrisi.
Makanan jenis ini sangat praktikal kerana mudah dibawa, tahan lama dan sesuai digunakan dalam keadaan darurat atau aktiviti lasak. – RELEVAN


