MEMBELI barangan terpakai sering dianggap pilihan bijak kerana harganya lebih murah, masih berkualiti dan membantu mengurangkan pembaziran.
Kebanyakan rakyat Malaysia semakin gemar membeli barang terpakai sama ada di kedai bundle atau platform dalam talian seperti Carousell.
Namun menurut Reader’s Digest, tidak semua barangan terpakai selamat untuk digunakan. Ada yang nampak bersih di luar tetapi sebenarnya menyimpan risiko tersembunyi yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan.
Berikut antara barang yang anda patut fikir dua kali sebelum beli.
-
Tilam
Tilam terpakai mungkin nampak masih elok tetapi anda tidak tahu sejarah penggunaannya. Ia boleh menjadi tempat pembiakan hama, bakteria dan juga pepijat (bed bugs).
Walaupun ada yang dijual dengan harga murah, risiko kesihatan seperti alahan dan masalah kulit sebenarnya lebih tinggi.
-
Bantal
Bantal menyerap peluh, minyak rambut dan sel kulit mati setiap hari. Bila digunakan oleh orang lain, kebersihannya sukar dijamin.
Bantal lama boleh mengandungi bakteria dan hama yang boleh menjejaskan kualiti tidur serta kesihatan pernafasan.
-
Permaidani
Karpet atau permaidani mudah memerangkap habuk, bulu haiwan dan alergen. Walaupun nampak bersih di permukaan, bahagian dalamnya mungkin penuh dengan kotoran yang sukar dibersihkan sepenuhnya.
Ini boleh mencetuskan masalah seperti resdung atau alahan, terutamanya jika anda sensitif terhadap habuk.
-
Peralatan memasak dengan salutan tidak diketahui
Kuali atau periuk secondhand mungkin sudah mengalami kerosakan pada salutan (coating), terutamanya jenis non-stick.
Jika salutan ini terhakis atau tercalar, bahan kimia berpotensi masuk ke dalam makanan. Pilihan yang lebih selamat ialah membeli yang baharu kerana kualiti dan tahap keselamatannya lebih terjamin.
-
Bekas makanan plastik
Bekas plastik lama mudah menyerap bau, warna dan bakteria. Jika sudah retak atau berubah bentuk, ia juga boleh melepaskan bahan kimia apabila dipanaskan. Risiko ini menjadikannya kurang sesuai untuk penggunaan jangka panjang.
-
Papan pemotong
Papan pemotong yang sudah lama biasanya mempunyai banyak kesan calar. Rekahan kecil ini boleh menjadi tempat bakteria berkumpul walaupun anda sudah mencucinya berkali-kali.
Ini boleh meningkatkan risiko pencemaran silang ketika menyediakan makanan.
-
Patung mainan
Patung permainan mungkin nampak comel tetapi ia mudah mengumpul habuk, kuman dan alergen.
Bagi kanak-kanak, terutama yang ada alahan atau asma, ini boleh menjadi punca masalah kesihatan tanpa disedari.
Membeli barangan terpakai memang menjimatkan wang dan mengurangkan pembaziran. Namun menurut Reader’s Digest, tidak semua barang sesuai dibeli terpakai terutamanya yang berkait dengan kebersihan, kesihatan dan keselamatan.
Amalkan prinsip mudah ini jika mahu membeli barangan terpakai. Sekiranya sesuatu barang sukar dibersihkan sepenuhnya atau bersentuhan rapat dengan tubuh dan makanan, lebih baik beli baru.
Ada kalanya harga yang nampak murah itu sebenarnya menuntut bayaran yang lebih tinggi di kemudian hari terutamanya apabila melibatkan risiko kepada kesihatan dalam jangka panjang. – RELEVAN


