PERNAH rasa macam dah cuba macam-macam cara tapi berat tetap tak turun? Hakikatnya, masalah bukan semestinya pada usaha tetapi pada cara yang digunakan.
Menurut Cleveland Clinic, terdapat beberapa kesalahan biasa yang boleh menggagalkan usaha menurunkan berat badan.
-
Sasaran tidak realistik
Menetapkan sasaran turun berat terlalu cepat seperti lebih daripada dua kilogram dalam seminggu bukan sahaja sukar malah tidak sihat. Penurunan berat badan yang terlalu drastik selalunya tidak kekal dan boleh memberi tekanan kepada tubuh.
Sebaliknya, penurunan sekitar 0.5 hingga satu kilogram seminggu lebih selamat dan mudah dikekalkan dalam jangka panjang kerana ia melibatkan perubahan gaya hidup yang lebih stabil.
-
Terikut diet ‘trending’
Diet ekstrem yang mengehadkan kumpulan makanan tertentu mungkin nampak berkesan pada awalnya tetapi ia hanya sementara. Apabila tubuh tidak mendapat nutrien mencukupi, ia boleh menjejaskan kesihatan dan tenaga harian.
Diet yang sihat sepatutnya seimbang, merangkumi karbohidrat, protein, lemak sihat, buah dan sayuran.
-
Motivasi berasaskan rasa bersalah
Menghukum diri sendiri kerana berat badan atau tabiat makan tidak membantu proses penurunan berat. Sebaliknya, ia boleh menjejaskan emosi dan membuatkan seseorang hilang motivasi.
Pendekatan yang lebih berkesan ialah memberi penghargaan kepada diri sendiri atas setiap perubahan kecil yang berjaya dilakukan.
-
Kerap tidak makan
Ramai menganggap tidak makan boleh mempercepatkan penurunan berat badan, sedangkan ia memberi kesan sebaliknya. Apabila tubuh tidak mendapat tenaga mencukupi, metabolisme akan menjadi lebih perlahan.
Keadaan ini juga meningkatkan risiko makan berlebihan pada waktu lain kerana rasa lapar yang melampau.
-
Terlalu obses dengan penimbang
Berat badan boleh berubah setiap hari disebabkan pelbagai faktor seperti air dalam badan dan hormon. Oleh itu, terlalu fokus pada angka di penimbang boleh menjejaskan motivasi.
Sebaliknya, perhatikan juga perubahan lain seperti tahap tenaga, kecergasan dan bagaimana pakaian mula terasa lebih longgar.
-
Senaman terlalu ekstrem
Bersenam secara berlebihan, terutamanya latihan intensiti tinggi setiap hari boleh menyebabkan keletihan dan kecederaan.
Jika badan tidak mendapat tenaga yang cukup, ia juga boleh mula membakar otot berbanding lemak, sekali gus melambatkan metabolisme. Senaman yang seimbang adalah lebih berkesan.
-
Peluh berlebihan untuk kurus
Ada yang percaya lebih banyak peluh bermaksud lebih banyak lemak terbakar. Hakikatnya, peluh hanyalah kehilangan air daripada badan.
Berat yang turun melalui cara ini hanya bersifat sementara dan akan kembali semula selepas tubuh mendapat semula cecair yang hilang.
-
Kurang minum air
Air memainkan peranan penting dalam mengawal selera makan dan membantu sistem tubuh berfungsi dengan baik.
Minum air sebelum makan boleh membantu mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan, selain menyokong metabolisme dan penghadaman.
-
Paksa muntah atau buang air besar berlebihan
Kaedah seperti muntah selepas makan atau menggunakan julap untuk kurus adalah sangat berbahaya. Ia bukan sahaja tidak berkesan dalam jangka panjang, malah boleh merosakkan tubuh.
Antara risikonya termasuk masalah jantung, gangguan sistem penghadaman dan dehidrasi yang serius.
-
Abaikan tidur dan stres
Kurang tidur dan stres boleh mengganggu hormon lapar, sekali gus menyebabkan makan berlebihan. Kedua-dua faktor ini penting dalam proses penurunan berat badan.
Menurunkan berat badan bukan tentang mencari jalan paling cepat tetapi cara yang betul dan konsisten.
Elakkan kesilapan ini dan fokus kepada perubahan kecil yang boleh diamalkan setiap hari. Dalam jangka masa panjang, pendekatan inilah yang lebih berkesan dan selamat untuk kesihatan. – RELEVAN


