PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan GLC bermula 15 April sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api susulan krisis minyak global.
Dalam masa sama, sektor swasta digalakkan mempertimbangkan aturan kerja fleksibel seperti BDR atau model hibrid. Ini mungkin masa sesuai untuk majikan menilai semula pendekatan kerja kerana manfaatnya bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga organisasi.
Kebiasaannya, BDR dilihat sebagai kelebihan tambahan untuk pekerja. Namun dalam situasi krisis minyak global, peranannya menjadi jauh lebih besar.
Setiap hari, jutaan pekerja berulang-alik ke tempat kerja, menggunakan petrol dan diesel dalam jumlah yang tinggi.
Menurut laporan akhbar tempatan, apabila sebahagian tenaga kerja beralih kepada BDR, pengurangan penggunaan bahan api berlaku secara langsung. Ia bukan sahaja membantu individu menjimatkan kos tetapi mengurangkan tekanan terhadap subsidi kerajaan yang mencecah berbilion ringgit setiap bulan.
Dalam erti kata lain, BDR bukan lagi pilihan gaya kerja tetapi sebahagian usaha kolektif untuk mengurus sumber tenaga negara dengan lebih bijak.
Kelebihan BDR untuk pekerja
-
Jimat kos harian
Bekerja dari rumah membantu pekerja mengurangkan perbelanjaan harian yang sering tidak disedari. Kos petrol, tol, parkir dan makan di luar boleh mencecah jumlah yang besar setiap bulan. Dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu, penjimatan ini memberi kelegaan kewangan yang ketara kepada ramai individu.
-
Kurang tekanan, lebih fokus
Perjalanan ke tempat kerja, terutamanya di kawasan bandar sering menjadi punca tekanan harian. Kesesakan lalu lintas dan tempoh perjalanan yang panjang boleh menjejaskan emosi sebelum kerja bermula.
Dengan BDR, tenaga dan masa yang digunakan untuk perjalanan boleh disalurkan kepada kerja, sekali gus membantu meningkatkan fokus dan produktiviti.
-
Keseimbangan kerja dan kehidupan lebih baik
BDR memberi fleksibiliti kepada pekerja untuk mengurus masa dengan lebih teratur. Mereka boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga, menjaga kesihatan diri dan mengurus keperluan peribadi tanpa menjejaskan kerja.
Dalam jangka panjang, ini membantu meningkatkan kesejahteraan mental dan mengurangkan risiko ‘burnout’.
Kelebihan BDR untuk majikan
-
Pengurangan kos operasi
Apabila bilangan pekerja di pejabat berkurang, syarikat dapat menjimatkan kos utiliti seperti elektrik, air serta penyelenggaraan fasiliti. Walaupun nampak kecil, penjimatan ini boleh memberi kesan besar dalam jangka masa panjang terutamanya bagi organisasi berskala besar.
-
Produktiviti berasaskan hasil
BDR menggalakkan budaya kerja yang lebih berfokus kepada hasil berbanding kehadiran fizikal. Majikan dapat menilai prestasi pekerja berdasarkan output dan pencapaian, sekali gus mewujudkan sistem kerja yang lebih efisien dan telus.
-
Operasi lebih fleksibel dan tahan krisis
Dalam situasi tidak menentu seperti krisis minyak global, gangguan bekalan atau isu logistik, sistem kerja fleksibel membantu memastikan operasi syarikat terus berjalan. Ini memberi kelebihan kepada organisasi untuk bertindak pantas dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
-
Menarik dan mengekalkan bakat
Fleksibiliti kerja kini menjadi antara faktor penting bagi pekerja, terutama generasi muda. Majikan yang menawarkan pilihan seperti BDR atau model hibrid lebih berpotensi menarik bakat berkualiti serta mengekalkan pekerja sedia ada. – RELEVAN


