SELEPAS sebulan berpuasa di bulan Ramadan, umat Islam menyambut Syawal sebagai tanda kemenangan dan penuh kesyukuran.
Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan, khususnya untuk mereka yang tidak dapat berpuasa penuh atas sebab seperti haid, nifas atau musafir.
Maka, hari-hari yang ditinggalkan itu wajib diganti (qada’) atau dibayar fidyah sekiranya tidak sempat dilaksanakan.
Bilakah masa terbaik untuk puasa enam Syawal?
Puasa enam merupakan puasa sunat yang dilakukan selama enam hari pada bulan Syawal. Ia boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli, pada sebarang hari dalam bulan tersebut kecuali pada hari pertama Syawal (Hari Raya Aidilfitri) yang diharamkan berpuasa.
Bagaimanapun, para ulama berpandangan lebih afdal jika puasa enam ini dilakukan seawal mungkin, iaitu bermula pada dua Syawal dan disempurnakan secara berturut-turut.
Hari yang diharamkan berpuasa
Umat Islam perlu mengelakkan berpuasa pada hari-hari tertentu yang telah ditetapkan sebagai haram, iaitu:
- Hari Syak (30 Syaaban yang diragui)
- Satu Syawal (Hari Raya Aidilfitri)
- 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha)
- Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah)
- Ketika haid dan nifas bagi wanita
Keutamaan menyegerakan puasa ganti
Bagi mereka yang mempunyai hutang puasa Ramadan, sangat digalakkan untuk menyegerakan qada’ tersebut tanpa berlengah. Ini kerana terdapat kebimbangan tidak sempat menggantikannya sebelum tibanya Ramadan berikutnya.
Sekiranya seseorang gagal mengganti puasa tanpa sebab sehingga masuk Ramadan tahun seterusnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah dengan memberi makan kepada fakir miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.
Bolehkah gabungkan puasa enam dan puasa ganti?
Sebahagian ulama, termasuk pandangan Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari, berpendapat jika kedua-dua niat digabungkan, ganjaran salah satu daripadanya tidak diperoleh secara sempurna.
Namun begitu, ada pandangan yang mengharuskan gabungan tersebut dan menyatakan bahawa seseorang tetap mendapat pahala kedua-duanya apabila dilakukan dalam bulan Syawal.
Kesimpulan menerusi perkongsian Mufti Wilayah, lebih afdal untuk mengasingkan puasa qada’ dan puasa enam Syawal agar ganjarannya lebih sempurna.
Bagi mereka yang mempunyai kekangan, menggabungkan kedua-duanya tetap dibolehkan dan masih memperoleh pahala asalkan ia dilakukan dengan ikhlas serta tidak melengah-lengahkan tanggungjawab yang wajib. – RELEVAN


