SURAYA (bukan nama sebenar), 27, salah seorang pempengaruh dengan jumlah pengikut yang sangat tinggi di media sosial.
Gambar-gambarnya sering memaparkan kehidupan serba mewah. Kopi mahal di kafe eksklusif, beg tangan berjenama dan percutian ke luar negara – apa sahaja yang dimuat naik, segalanya menepati estetik anak muda sekarang.
Di ruangan komen, ramai yang mengagumi gaya hidupnya. Mereka memandang Suraya sebagai seorang yang berjaya dan kaya. Ramai yang inginkan kehidupan seperti Suraya. Nampak bergaya, kaya dan bahagia.
Namun, realitinya jauh berbeza. Semua itu dibiayai dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan barang yang dipinjam daripada rakan-rakan.
Suraya bukan sahaja hidup di luar kemampuan tetapi juga terperangkap dalam kitaran kewangan yang berbahaya semata-mata untuk mengekalkan imej mewah.
Fenomena ini tidak asing lagi, terutama dalam kalangan anak muda yang terpengaruh dengan budaya flexing atau menunjuk-nunjuk. Kenapa sindrom ‘biar papa asal kedana’ ini semakin menular dan apa kesannya terhadap kehidupan?
Kenapa ada yang terjebak?
Sindrom ‘biar papa asal kedana’ bukanlah sesuatu yang terjadi secara kebetulan. Ia berpunca daripada gabungan tekanan sosial, akses mudah kepada kredit dan keinginan untuk diterima dan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Salah satu punca utama adalah pengaruh media sosial. Platform seperti Instagram dan TikTok menjadi ruang untuk mempamerkan kehidupan serba mewah.
Individu seperti Suraya sering merasakan bahawa mereka perlu bersaing untuk kelihatan ‘lebih berjaya’ daripada orang lain. Setiap tanda suka, komen dan pujian menjadi motivasi untuk terus menunjuk-nunjuk walaupun hakikatnya kewangan semakin terjejas.
Sungguh ironi, mereka yang melihat sering berasa iri hati. Sedangkan mereka yang berpura-pura pula hidup dalam tekanan. Semua ini adalah ilusi kosong yang tidak berbaloi.
Selain itu, perasaan takut ketinggalan atau Fear of Missing Out (FOMO) turut memainkan peranan besar.
Anak muda mudah terpengaruh apabila melihat rakan sebaya memiliki barang mahal atau menjalani gaya hidup glamor. Ini mendorong mereka untuk membelanjakan lebih daripada kemampuan hanya untuk masuk dalam kelompok tersebut.
Tetapi persoalannya, adakah ia benar-benar memberi kebahagiaan? Hakikatnya, ramai yang terjebak ini hanya merasa kepuasan sementara tetapi terpaksa menanggung beban hutang untuk jangka masa panjang.
Faktor lain adalah kemudahan akses kepada kredit. Kad kredit (sekiranya tidak digunakan dengan betul), Buy Now, Pay Later (BNPL) dan pinjaman mikro menjadikan pembelian mewah kelihatan lebih mampu milik.
Tanpa ilmu kewangan yang kukuh, ramai yang terjebak dengan hutang yang menimbun tanpa menyedari risikonya. Jika tidak berhati-hati, mereka ini akan berakhir dengan status muflis sebelum sempat mencapai usia 30 tahun.
Adakah anda sanggup untuk membayar ‘harga’ ini hanya untuk kelihatan mewah?
Kesan terhadap kehidupan
Hidup dengan penyakit biar papa asal kedana membawa implikasi besar, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga emosi dan sosial.
Salah satu kesan yang paling ketara adalah masalah hutang yang serius. Ramai yang seperti Suraya terpaksa berhutang dengan kad kredit atau meminjam daripada rakan dan keluarga untuk mengekalkan gaya hidup mereka.
Akhirnya, ini membawa kepada bankrap atau pergolakan kewangan yang sukar dikawal. Mereka yang terperangkap dalam hutang sebegini bukan sahaja kehilangan wang tetapi juga masa depan yang stabil.
Anda mungkin dapat membeli beg tangan berjenama hari ini tetapi bagaimana dengan masa hadapan?
Dari segi kesihatan mental, tekanan untuk terus kelihatan berjaya boleh menyebabkan stres yang kronik. Rasa cemas kerana tidak mampu membayar hutang atau bimbang imej palsu terbongkar sering menghantui mereka yang terperangkap dalam gaya hidup ini.
Bayangkan bangun setiap pagi dengan perasaan takut kerana hutang yang semakin bertambah. Adakah kepura-puraan ini benar-benar berbaloi? Tidak cukup dengan itu, ada yang mengalami kemurungan dan akhirnya hilang semangat untuk memperbaiki kehidupan. – RELEVAN