PADA 25 Jun 2024, tersiar berita yang pihak polis akan memanggil Mukmin Nantang untuk disoal siasat di bawah Akta Hasutan.
Ia berikutan ‘hasutan’ Mukmin supaya masyarakat, kerajaan dan negara memberi lebih keadilan kepada Masyarakat Adat Laut di Semporna yang dirobohkan rumahnya.
Ini berlaku tak sampai seminggu selepas Cikgu Syahfeeq Rondin dan lapan pelajar Sekolah Alternatif dilepaskan dari reman.
Belum sempat orang kenal wajah Mukmin dengan imej botak – sebab dia bernazar mahu potong rambut kalau pelajarnya dibebaskan – dia sudah ditimpa cabaran baharu. Dia ditahan tak lama, tak sampai dua jam tapi tetaplah sedih melihat orang yang memperjuangkan keadilan ditahan penguasa. Tak kena.
Dan kerjanya masih tak berhenti. Dia terus masuk ke ceruk kampung bertemu masyarakat terpinggir, bermesyuarat dengan komuniti pendidikan alternatif lain dan yang paling wahid – bawa isteri jalan-jalan.
Ini sambungan borak saya bersama Mukmin pada 24 Mei lalu. Kali ini kami lebih banyak bercerita tentang dunia aktivismenya selepas universiti.
RELEVAN: Selepas universiti, graduan lain akan cari kerja tapi awak buat semua ini (beraktivisme, berorganisasi). Macam mana keputusan itu dibuat?
MUKMIN NANTANG: Gerakan mahasiswa ini susah. Guna duit masing-masing. Kita pula nak berkeras, tak mahu didanai parti politik. Di situ terbina budaya do-it-yourself (DIY). Budaya mandiri, membangun ekonomi mandiri. Kita berniaga, buat katering, jual baju, cenderamata, cetak baju. Banyak benda kami belajar untuk dapatkan duit.
Jadi, daripada gerakan mahasiswa lagi, kami boleh buat duit sendiri. Sebab masa itu lagi, pada tahun akhir dan bergabung dengan kawan-kawan tahun satu dan dua, kami dah sewa pejabat di luar.
Ini waktu belajar lagi?
Waktu belajar! Di situ Borneo Komrad muncul sebab kami dah fikir, akan datang kita nak ke luar. Jadi, kami sewa pejabat sebagai studio seni kami, sebagai rumah kolektif kami. Sewanya RM1,500, campur penyelenggaraan semua, RM2,000 sebulan kami kena cari. Bayangkan macam mana sebagai mahasiswa kami perlu cari RM2,000 sebulan. Kami jual kuih, burger, cetak baju. Memang kami buat.
Kami buat pementasan teater, jual, cetak semula buku dan zine. Kami boleh mandiri waktu itu. Dari situ, kami nampak yang ada tempat untuk kami buat kerja untuk peribadi, untuk hidup dan ada kerja untuk gerakan. Jadi, kami tak fikir sangat untuk kerja di luar.
Borneo Komrad memang ada cita-cita besar untuk membangunkan ekonomi sendiri. Kita pun tengok konsep ekonomi al-Arqam, kami rasa macam boleh buat, kalau buat betul-betul. Kadang-kadang dalam sebulan, kami boleh beroperasi sampai dapat RM4,000 sebulan. Kalau tiba-tiba ada dapat kerja berlakon, benda macam itu.
Pendapatan itu akan diberi kepada organisasi?
Ya. Contohnya macam pementasan teater, semua beri pada organisasi. Itu yang membantu kami untuk ada imaginasi yang kami tak perlu kerja (tetap) pun, masih boleh hidup dengan keadaan yang sederhana.
Kemudian, ada kawan-kawan yang dapat kerja menyunting, buat grafik. Kalau buat filem, kawan jadi jurukamera. Jadi, untuk (keperluan) peribadi semua dah selesai. Ada yang berniaga makanan, ambil makanan di tempat lain dan jual.
Saya pun, sebelum habis ijazah dah ada banyak kerja di Semenanjung, terutamanya dari NGO. Jadi saya dah ada bayangan. Kalau untuk kerja, saya tak risau sebab dah ada bayangan – kalau jatuh pun Borneo Komrad ini, saya dah tahu nak pergi mana.
ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara bersama Mukmin Nantang (Bhg. 1): Pengaruh awal, pengalaman sekolah dan gerakan mahasiswa
Sampai sekarang gerakan itu masih berdiri sendiri? Kos makin tinggi sebab ada sekolah semua.
Ya, cuma sekarang caranya berbeza. Kami ada produk tapi sekarang baru rasa, produk itu tidak mencukupi. Tapi ada kelebihan lain pula. Apabila ada pengalaman, kami hanya tinggal nak jual idea saja.
Contohnya, kami perlu isi geran, kami cari kawan yang boleh urus kertas kerja. Idea itu boleh dijual. Untuk apa? Untuk kami buat projek komuniti. Kami buat konsep yang nak dibuat dalam komuniti dan kami bentang idea itu. Dan sekarang apabila Borneo Komrad sudah ada nama, orang pun tertarik untuk menjadi sebahagian rakan kolaborasi dan sebagainya.
Mungkin penyelenggaraan Borneo Komrad memang besar. Tapi, apabila budaya kami memang dari awal sudah bersederhana, kami tak terasa sangat ada gangguan. Sebab apabila kami tak ada duit pun, kami tahu apa nak buat. Apabila duit sudah terlalu susut, kami tahu macam mana nak bersedia. Kami dah melalui pengalaman-pengalaman itu.
Pernah ada pengalaman terpaksa gadai prinsip untuk duit, setakat ini?
Tak ada.
Oh, tak ada? Berjayalah menjadi punk yang true?
Tak. Okay, definisi punk itu pun ramai juga orang rasa macam, sebab banyak yang menganggap kita perlu DIY tapi secara jujurnya, konsep itu banyak gagal, bukan? Yang rumah-rumah kolektif tutup? Akhirnya, kita cuma boleh berhibur saja dengan lagu, pergi gig. Kita jual zine, siapa nak baca zine? Akhirnya, kita terperangkap ekonomi yang sebegitu saja – sokong kawan, sokong punk.
Apabila kita fikir ke depan, ambil geran – geran ini pun ada macam-macam – kadang-kadang mungkin ada yang mempersoal. Tapi secara jujurnya, setiap kali kami ambil duit, memang kami beritahu apa yang kami nak. Kami tak mahu dikawal. Setakat ini berjaya.
Kami memang tak pernah berharap pada parti politik. Kalau mereka nak beri pun, kami tak peduli. Mereka nak beri atau tak beri, kami tak ada masalah. Dan kami tak pernah terhegeh-hegeh. Berjayalah rasanya untuk bahagian ini.
Baik, kita beralih pada Sekolah Alternatif. Bagaimana ia bermula? Bukan dulu mulanya Teach For The Needs (TFTN)?
Dahulu, tahun 2015 dan 2016, kami sudah mula buat gerakan ke kampung-kampung, buat sekolah di pasar-pasar – sekolah jalanan. Pada 2017, TFTN nak buat projek di Sabah. Mereka tahu tentang kami, jadi mereka hubungi. Minta tolong sebab mereka mahu ke Sabah tapi tak ada orang (yang boleh bantu) di Sabah. Mereka tak tahu macam mana nak mula. Jadi, mereka ikut kami.
Waktu itu saya masih di tahun akhir universiti. Saya ambil keputusan untuk bantu. Sebenarnya, projek pendidikan kami sudah ada cuma yang di Semporna, kami buat dengan TFTN. Saya ke sana dan kami susun projek bersama. Jadi rakan kerjasama, Borneo Komrad dengan TFTN.
Cuma sebab mereka yang beri dana, sekolah yang kami buat itu diberi nama TFTN, itu saja. Saya pun jadi sebahagian daripada TFTN sebab kiranya saya dihantar oleh Borneo Komrad untuk bantu TFTN bangunkan sekolah. Di sana kami berjaya buat sekolah yang bertahan, lima hari (operasi).
Sebab dari 2015 hingga 2018 kami buat sekolah, saya fikir, kalau sekadar buat sekolah pada hujung minggu, tak berbaloi untuk kanak-kanak itu. Dan kita tak boleh tahu apa isu sebenar dan macam mana nak selesaikan masalah itu terus.
Jadi idea saya, kita mesti datang dan tinggal dalam komuniti itu. Itu idea yang saya terapkan dengan TFTN. Kalau mahu buat, kena cari orang, jadi kami cari orang. Mahu tak mahu, saya terpaksa tinggalkan Borneo Komrad di Kota Kinabalu dan datang Semporna. Cari rumah dalam komuniti dan tinggal.
Selepas itu, apabila TFTN dah tak beroperasi, kami teruskan sekolah itu.
Semua sekolah perlu begitu, tinggal dalam komuniti?
Ya, asasnya begitu. Tak semua sekolah beroperasi begitu tapi asasnya begitu. Contoh macam di Tawau dan Semporna, mereka tinggal dalam komuniti. Di Teluk Layang dan Kota Kinabalu, mahasiswa yang pegang. Tapi mahasiswa mesti ada rutin. Tak perlu sepenuh masa tapi ada masa yang mereka kena tinggal di situ.
ARTIKEL BERKAITAN: Pedagogi anak tertindas: Kisah Mukmin Nantang dan pendidikan alternatifnya
Kenapa perlu begitu?
Yang pertama, kita nak berjuang tentang satu-satu benda, masalah kita, biasanya yang nak berjuang dari luar ini, kita nak jadi wira. Kita tak mahu bangunkan komuniti itu sangat supaya mereka boleh jadi wira kepada komuniti mereka. Supaya mereka dapat menyelesaikan masalah sendiri.
Macam mana kita nak beri mereka semangat sedangkan kita tak jadi sebahagian daripada mereka? Kita tak rasa (pengalaman mereka) pun. Kalau tidak (jadi sebahagian daripada komuniti), kita akan bergelut, kita akan marah mereka. Kenapa tak buat ini? Kenapa buat ini? Biasalah, proses untuk melatih. Kita tak tahu pergelutan mereka di dalam.
Jadi, kita tak boleh nak datang, nak memandai-mandai memperjuangkan mereka. Betulkah mereka perlu diperjuangkan? Caranya adalah dengan datang dan tinggal (dengan komuniti) dahulu.
Betulkah (apa yang difikirkan aktivis) masalah bagi mereka? Di situ, aktivis perlu jadi bijaksana. Perlu analisis. Kalau mereka tak buat ini, kenapa? Kenapa benda ini terjadi? Kenapa selama ini mereka ditindas? Kalau ada apa-apa isu, macam mana mereka berinteraksi?
Sebab kita nak nilai kelakuan mereka supaya kita boleh susun strategi dan kita boleh dapat kepercayaan yang maksimum. Supaya kita boleh berjuang bersama-sama.
Satu lagi, kampung yang kami pergi ini kebanyakannya dilabel setinggan. Bila-bila masa boleh dirobohkan. Kalau ada aktivis di dalam, kita boleh halang dan susun (bantahan). Contohnya di Teluk Layang, dua tiga kali mahu dirobohkan. Apabila ada aktivis Borneo Komrad dan mahasiswa di dalam, ketiga-tiga kali tak jadi. Sebab kami buat sekatan, kami lawan, beri memorandum dan sebagainya.
Apabila kita duduk dalam komuniti itu, baru kita tahu pendidikan bentuk apa yang mahu dibangunkan. Sebab kalau tidak, kita akan memandai-mandai. Universiti tak ada jawapan bentuk (pendidikan) yang macam mana. Jadi, mahu tak mahu, kita kena duduk belajar di situ. Kita kena bangunkan kaedah kita, pedagogi kita sendiri mengikut tempat masing-masing. Ilmu apa yang mereka mahu teroka? Masalah apa yang dekat dengan diri mereka?
Tinggal dalam komuniti itu maksudnya jadi anak angkat kepada keluarga di situ? Atau tinggal di rumah asing?
Tinggal di sekolah.
Tinggal di sekolah tapi kehidupan sehari-hari akan bergaul dengan masyarakat?
Ya, sebab sekolah kami rapat dengan rumah jiran. Kiranya sekolah kami itu pun ada rumah jiran, maksudnya yang disewa atau diwakafkan. Ataupun satu tanah kosong yang diberikan untuk kita buat sekolah. Jadi, orang lihat sekolah kami ini sebenarnya bukan sekolah tetapi rumah – rumah pendidikan.
Tentang nak jadi wira, saya rasa ada dengar banyak kali juga. Pernah berbual dengan aktivis di Kuala Lumpur, dia cakap itu antara masalah besar aktivis. Hero Complex. Dia akan cuba betulkan keadaan yang bagi komuniti itu, bukan masalah pun.
Setakat ini belum ada masalah apabila awak laksanakan cara duduk dengan komuniti itu?
Ada, mesti ada.
Walaupun dah duduk sekali, masih ada yang begitu?
Ya. Tak semua orang mahu tinggal dalam komuniti, bukan? Jadi, dia jadi seorang aktivis yang sangat ‘true’. Boleh jadi, kan? Semua benda dia nak selesaikan. Ada juga yang begitu.
Kita duduk dalam komuniti, kita bawa pengalaman-pengalaman kita dari luar. Ada juga aktivis yang tidak boleh tunggu lama. Perasaannya membuak-buak. Kita nak melatih komuniti ini lambat. (Dia fikir) lebih baik mengarah daripada menunggu. Menunggu boleh ada perubahankah? Lebih baik mengarahlah, kan?
Akhirnya, kalau tak mahu melalui proses yang panjang itu, kita tak selesaikan. Semua benda nak dibantu komuniti, semua benda nak suruh komuniti buat.
Macam mana nak selesaikan masalah itu?
Borneo Komrad budayanya ialah perbincangan. Semua benda akan dibincangkan. Kita akan beri kebebasan autonomi kepada (aktivis) untuk buat apa saja yang mereka mahu tapi kalau kami rasa dia dah melepasi had yang sebenar, kami akan bawa dia berbincang.
Apa pandangan dia? Apa yang dia rasa? Betulkah apa yang dia rasa itu sepatutnya dilakukan? Kita akan bincang.
Sebab Borneo Komrad datang dari bermacam-macam latar belakang. Bacaan pun lain-lain, membentuk ideologi yang lain-lain. Jadi, memang akan ada pertembungan.
Tapi yang bagusnya, buat masa sekarang, Borneo Komrad sedang melalui fasa kematangan. Dia bukan tiba-tiba jadi satu gerakan yang besar, kan? Meniti dari susah. Jadi, rasanya, susah nak bergaduh sebab hal peribadi. Orang akan malu. Sebab apa? Sebab memang tak akan disokong kalau, contohnya, kita ada lima orang, kita nak buat benda ini sendiri-sendiri tapi empat orang lain rasa tak okay. Kami dah ada budaya. Yang satu itu tak boleh nak berkeras juga. Biasanya akan ada perbincangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dari sekolah menjadi Universiti Alternatif
Konsensuslah yang akan selesaikan. Dah berapa tahun Borneo Komrad?
Sejak 2015. Kami ambil dari gerakan mahasiswa itu.
Oh, dari KARMA. Dah hampir 10 tahun. Berapa lama lagi awak rasa akan buat benda ini?
Dahulu, waktu zaman kami terlalu berdikari, kami sangat percaya yang Borneo Komrad akan berjaya apabila ia diharamkan. Kalau tak diharamkan, bermakna kami hanya meminta puji. Gerakan yang nak minta puji, nak nampak besar. Bermain selamat.
Mahu tak mahu, Borneo Komrad ialah gerakan mahasiswa yang radikal. Ideanya radikal. Ada budaya tidak bersetuju. Kalau nak cakap kita cakap, nak buat kita buat. Jadi, memang kami mahu ia diharamkan.
Kami tak ada bayangan mahu 10 tahun lagi, 100 tahun lagi. Sebab itu dari KARMA, ada Buku Jalanan, Dapur Jalanan dan sekarang Borneo Komrad. Borneo Komrad buat Sekolah Alternatif, Sekolah Alternatif buat lagi Kesatuan Pelajar. Kesatuan Pelajar buat pula kesatuan tanpa dokumen. Lepas itu, kesatuan tanpa dokumen itu ada projek-projek tersendiri yang kemungkinan nanti akan bina satu lagi nama, jenama yang lebih besar daripada Borneo Komrad, lebih besar daripada Suara Mahasiswa, lebih besar daripada KARMA.
Dulu, KARMA sudah besar, kemudian datang Suara Mahasiswa yang lagi besar. Kemudian datang Borneo Komrad. Ada orang lihat nama Sekolah Alternatif lebih besar daripada Borneo Komrad.
Jadi sekarang, kami fikir, strateginya ialah Borneo Komrad nak tukar namakah, mahu matikah nanti, tak ada masalah. Yang penting kami semua sudah mengakar dalam komuniti. Kami tahu, oh ini sebenarnya simpatisan kami. Begitu strategi kami. Contoh, macam kami ada kawan-kawan seperti Iskul (Sama Dilaut Omadal). Mereka bukan Borneo Komrad tapi kami tahu aktivis kami ada di dalam. Kami dah buat penyusupan. Cahaya Society pun sama.
Kami tak letak nama Borneo Komrad tapi kami tahu idea-idea dah menyusup di sana. Dan sekarang kami buat lagi beberapa penyusupan di sekolah-sekolah. Kemudian dibangunkan komuniti kecil, gerakan mahasiswa. Buat penyusupan sahaja.
Jadi, begitulah. Kami tak ada idea mahu bertahan sampai berapa lama. Kami tak risau pun. Sebab itu kami berani nak cakap semua ini. Kalau sekolah nak ditutup, kami memang tak mahu sekolah ditutup tetapi kalau ditutup pun kami tak meroyan. Sebab kami tahu sudah ada rancangan lain. Kami memang akan buat bising tapi sekolah akan tetap berjalan dengan nama lain. Cara yang lain. Bentuk yang lain. – RELEVAN