SUDAH menjadi perkara normal bagi seseorang yang baru masuk alam pekerjaan untuk berusaha menjadi sempurna demi tidak melakukan kesilapan di tempat kerja.
Namun realitinya, kita tidak lari daripada membuat kesilapan kerana itu sahaja cara kita belajar untuk memperbaiki kualiti diri ketika bekerja.
Menurut Talent Labs, berikut merupakan kesilapan yang jika diulang, sebenarnya memberi manfaat kerana ia dapat melindungi dan membimbing kita untuk menjadi yang terbaik.
-
Lekas bersetuju tentang sesuatu perkara
Kadang-kadang keterujaan mengatasi realiti sehinggakan tidak sempat berfikir sebelum berkata “ya” dalam membuat keputusan. Namun begitu, sebenarnya daripada pengalaman inilah ia mengajar anda untuk lebih berhati-hati sebelum setuju tentang sesuatu perkara. Itulah asam garam yang perlu dilalui untuk tidak menjadi orang yang mudah dimanipulasikan.
-
Bekerja berlebihan untuk membuktikan diri
Bekerja keras itu baik tetapi ia menjadi toksik apabila anda mula mengorbankan diri dengan bekerja di luar waktu pejabat tanpa elaun lebih masa. Perlu ada batas yang sihat supaya usaha anda tidak memakan diri sendiri.
-
Mempercayai orang yang salah
Selagi belum bekerja atau rapat dengan seseorang, kita tidak akan tahu tentang sikap sebenar mereka. Apa yang penting adalah tetap bersikap profesional dan tidak mencampurkan urusan peribadi dengan individu seperti itu. Pengalaman sebegini mengajar anda untuk lebih menjaga batas dengan rakan sekerja.
-
Menerima pekerjaan luar daripada bidang anda
Setiap pekerjaan pasti ada perkara baharu yang boleh kita pelajari walaupun ia bukan daripada bidang asal. Bagaimanapun, kita juga perlu tahu sama ada skop kerja itu benar-benar selari dengan kepakaran. Pengalaman mencuba sesuatu yang berbeza boleh membuka peluang tetapi penting juga untuk menilai sama ada ia relevan dan memberi manfaat kepada perkembangan diri kita.
-
Gagal secara terbuka
Setiap orang pasti pernah melalui hari paling buruk atau melakukan kesilapan besar. Hakikatnya, kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Apa yang penting ialah bagaimana kita memperbaikinya.
-
Berhenti tanpa perancangan rapi
Pilihan untuk berhenti dari tempat kerja anda sekarang bukan keputusan yang mudah. Pasti ada sebab di sebaliknya seperti persekitaran yang toksik atau ia mula memberi kesan negatif pada diri anda. Percayalah, pintu rezeki sentiasa terbuka dan kadang-kadang keputusan ini perlu dibuat demi pertumbuhan kerjaya dan kesejahteraan diri.
-
Belajar melalui kesusahan
Tiada perkara yang benar-benar mudah dalam hidup. Dalam kehidupan, akan ada ujian yang menguji ketahanan diri meskipun tidak semuanya dapat dikawal. Namun, dengan melalui kesusahan inilah yang menjadikan pengajaran paling berharga untuk diri kita. – RELEVAN

