MEMBIARKAN mangkuk tandas terbuka sering menjadi tabiat orang ramai. Menurut laporan Reader’s Digest, pakar mikrobiologi mendedahkan tabiat ini boleh memberi kesan serius kepada kebersihan serta kesihatan seluruh ahli rumah. Apa kesannya apa bila kita gagal menutup mangkuk tandas?
Mengapa mangkuk tandas dibiarkan terbuka berbahaya ?
Menurut Public Health Malaysia, setiap kali anda mengepam tandas, pusaran air yang kuat akan menghasilkan semburan halus dipanggil sebagai aerosol yang mengandungi perkara berikut:
- Air tandas
- Bakteria
- Virus
- Sisa najis dan air kencing
Fenomena ini dikenali sebagai “toilet plume”. Kajian saintifik menunjukkan aerosol ini boleh tersembur sehingga enam kaki atau dua meter ke udara sebelum ia tersebar di seluruh ruangan bilik air. Antara objek yang paling terdedah ialah:
- Berus gigi
- Tuala
- Pemegang pintu
- Permukaan sinki
- Cermin tandas
Berus gigi terdedah, kuman merebak
Kajian oleh saintis dari Universiti Manchester mendapati bahawa berus gigi yang terdedah di bilik air boleh mengundang lebih 100 juta bakteria, termasuk E. coli (Escherichia coli) dan Staphylococcus yang berpotensi menyebabkan cirit-birit, jangkitan kulit, penyakit mata.
Sentiasa tutup mangkuk tandas
Ahli mikrobiologi menjelaskan menutup mangkuk tandas sebelum mengepam boleh mengurangkan penyebaran aerosol yang mengandungi bakteria sehingga hampir 50 peratus atau lebih. Walaupun langkah ini tidak menghapuskan risiko sepenuhnya, ia mengurangkan pendedahan kuman.
Risiko jika berlaku rasa sakit perut
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), virus seperti norovirus boleh merebak melalui tandas yang tercemar. Jika ada ahli keluarga mengalami cirit-birit, muntah atau keracunan makanan, bersihkan tandas dengan sabun mengandungi bahan pembasmi kuman untuk mengelakkan jangkitan berjangkit.
Langkah pencegahan
1. Tutup dulu, baru pam atau ‘flush’
Jadikan ini peraturan wajib di rumah. Menutup mangkuk tandas sebelum mengepam membantu menghalang sebahagian besar aerosol daripada tersebar.
2. Jauhkan berus gigi
Simpan berus gigi dalam kabinet tertutup atau gunakan penutup kepala berus. Elakkan meletakkannya terdedah dan hampir dengan mangkuk tandas.
3. Tukar berus gigi secara berkala
Tukar setiap tiga bulan. Jika berus gigi terjatuh di lantai tandas, buang dan ganti dengan yang baharu. -RELEVAN


