RAMAI pelajar menganggap Matematik sebagai mata pelajaran penentu masa depan. Jika lemah dalam subjek ini, mereka mula merasakan pintu kejayaan telah tertutup. Ada yang putus asa dan hilang keyakinan diri hanya kerana gagal memahami nombor, formula dan graf.
Hakikatnya, dunia kerjaya jauh lebih luas daripada hanya kebolehan mengira. Kelemahan dalam Matematik bukan bermakna pengakhiran. Sebaliknya, ia boleh menjadi titik tolak untuk menemui kekuatan lain yang sama bernilai.
Antara kerjaya yang menekankan bakat lain selain pengiraan ialah:
1. Bidang bahasa dan penulisan
Pelajar yang meminati Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris boleh menjadi penulis, wartawan, penyunting, penterjemah atau penulis skrip. Kerjaya ini memerlukan kemahiran berfikir kreatif, menguasai tatabahasa dan kemampuan menyampaikan idea dengan jelas.
Selain menulis artikel atau buku, mereka dalam bidang ini boleh terlibat dalam penghasilan kandungan untuk laman web, media sosial, iklan dan video pendidikan. Pada masa kini, permintaan terhadap pencipta kandungan semakin meningkat kerana hampir semua organisasi memerlukan penulisan bagi tujuan komunikasi, pemasaran dan pendidikan.
2. Bidang seni dan reka bentuk
Minat terhadap melukis, mewarna dan mencipta boleh menjurus seseorang menjadi pereka grafik, ilustrator, pelukis mural, pereka fesyen atau animator. Bidang ini lebih menilai bakat seni berbanding kecekapan matematik.
Individu yang mempunyai daya imaginasi tinggi dan suka mencipta sesuatu yang baharu boleh menyerlah dalam kerjaya ini. Dunia digital juga sangat bergantung pada visual yang menarik sama ada untuk laman web, permainan video, filem animasi, pakaian mahupun media sosial.
Dengan latihan dan kemahiran yang betul, bakat seni yang dimiliki boleh berkembang menjadi kerjaya yang stabil dan menguntungkan.
3. Bidang komunikasi dan penyiaran
Bagi pelajar yang berani bercakap dan tidak malu tampil ke hadapan, kerjaya sebagai penyampai radio, hos program, pengacara majlis atau personaliti media sosial sangat bersesuaian dengan anda.
Bidang ini memerlukan kebolehan menyampaikan maklumat dengan jelas, meyakinkan dan menarik perhatian pendengar atau penonton.
Individu dalam bidang komunikasi bukan sahaja bekerja di stesen televisyen atau radio, malah boleh terlibat dalam syarikat korporat sebagai pegawai perhubungan awam, moderator, pembentang program latihan atau pencipta kandungan digital.
4. Bidang kemahiran dan teknikal
Tidak semua kerja teknikal memerlukan matematik tahap tinggi. Contohnya, tukang jahit, jurukimpal, jurusolek, jurutera bunyi, mekanik atau chef lebih banyak bergantung pada kemahiran tangan, pengalaman dan latihan praktikal.
Pelajar yang gemar bekerja secara fizikal dan belajar melalui perbuatan biasanya lebih sesuai dalam bidang ini. Institusi seperti kolej vokasional dan pusat latihan kemahiran menyediakan latihan khusus yang memberi penekanan kepada amali berbanding teori.
5. Bidang pendidikan awal kanak-kanak
Minat terhadap kanak-kanak dan sifat penyayang boleh membawa seseorang menjadi guru tadika, guru prasekolah atau pengasuh.
Seorang pendidik awal kanak-kanak bukan sahaja mengajar asas membaca, menulis dan mengira malah membentuk peribadi, keyakinan dan emosi kanak-kanak sejak kecil. Bidang ini sangat penting kerana kanak-kanak kecil memerlukan bimbingan yang lembut, menyeronokkan dan penuh kasih sayang untuk membesar dengan sihat dari segi mental dan emosi. – RELEVAN

