PENGARUH media sosial bagi mempromosikan makanan dan minuman manis menjadi antara punca peningkatan diabetes di Malaysia. Budaya pemakanan yang sinonim dengan rasa manis menjadikan tabiat ini sukar dikawal.
Apa yang mulanya sekadar ‘craving’ atau keghairahan terhadap makanan manis, akhirnya menjadi perosak kepada kesihatan diri. Ramai tidak sedar bahawa mereka berada pada fasa awal diabetes yang turut dikenali sebagai pradiabetes. Namun, keadaan ini masih boleh dicegah dengan diet seimbang.
Apa itu pradiabetes ?
Menurut laporan daripada National Library of Medicine, pradiabetes ialah satu keadaan yang mana paras gula dalam darah seseorang meningkat lebih tinggi daripada tahap normal, tetapi masih belum cukup untuk dikategorikan sebagai diabetes. Namun begitu, ia tanda amaran sebelum penyakit ini menjadi kronik.
Individu yang didiagnosis dalam fasa pradiabetes masih mempunyai peluang besar untuk mengawal semula kesihatan mereka. Langkah awal seperti mengurangkan makanan dan minuman manis serta memperbanyakkan aktiviti fizikal boleh membantu mengelakkan daripada penyakit kencing manis.
Bermula dari pradiabetes menjadi inspirasi sihat
Pempengaruh terkenal, Miyabell atau nama lengkapnya Nurul Izzah Adnan mula dikenali melalui kandungan videonya yang berasaskan pemakanan sihat ala kampung.
Anak jati Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak itu berkongsi bahawa perjalanan menghasilkan video tersebut bermula daripada pengalamannya sendiri yang pernah disahkan berada pada tahap pradiabetes.
“Saya pernah kena pradiabetes sebelum ini sebab saya kuat minum manis. Sejak itu, ia menjadi satu pengajaran buat saya untuk lebih pantau apa yang saya makan,” katanya.
Pengalaman itu menjadi titik tolak yang mengubah gaya pemakanannya sepenuhnya. Miyabell mula mengamalkan kaedah “suku suku separuh” iaitu cara mudah membahagikan pinggan kepada nasi dan lauk dalam kuantiti yang seimbang.
“Saya mula amalkan pemakanan dalam kuantiti suku separuh untuk kawal berat badan saya. Dalam masa yang sama, saya terfikir untuk menggalakkan orang untuk makan secara sihat.
“Saya perasan netizen suka trend ‘mukbang’ dengan bunyi rangup. Jadi, saya mula hasilkan video masakan tengah hari di rumah, berkonsepkan suku suku separuh dengan nasi campur, ulam dan ikan goreng rangup yang boleh buat orang terliur.
“Bila orang terliur, orang akan teringin. Bila teringin, mereka akan mencuba. Jadi, saya berjaya mempengaruhi dan galakkan mereka untuk makan sayur,” jelasnya.
Kesan amalan pemakanan sihat
Namanya semakin dikenali apabila ramai mencuba cara yang diamalkan Miyabell, malah banyak maklum balas positif daripada netizen yang berjaya menurunkan berat badan selepas mengikuti panduan pemakanan yang dikongsikannya.
“Banyak maklum balas yang saya terima dari netizen yang mereka mula makan lebih banyak sayur-sayuran dan ada juga yang turun berat badan selepas ikut cara pemakanan yang saya kongsikan,” ujarnya.
Malah, ada yang berjaya menurunkan berat badan antara enam hingga 10 kilogram (kg), termasuk ahli keluarganya.
“Keluarga saya pun ada mempraktikkan cara ini sehinggakan berat badan turun sebanyak lima kilogram seminggu.
“Perubahan lain yang saya lalui sejak banyak makan sayur dan ikan, kulit saya semakin kurang naik jerawat dan lebih sihat dari sebelum ini. Sehinggakan saya boleh keluar rumah tanpa perlu bersolek.
“Pesanan saya kepada orang yang obesiti atau dalam fasa untuk turunkan berat badan, cubalah diet ini. Ia mudah, murah dan berkesan,” katanya lagi. -RELEVAN