BERPUASA bukan alasan untuk kita jadi lemau dan tidak bermaya! Walaupun berpuasa, badan tetap boleh kekal bertenaga kalau kita tahu cara yang betul. Mahu tahu rahsianya? Teruskan membaca artikel ini sehingga habis!
Pertama sekali, jangan bermalasan untuk bangun sahur! Walaupun sahur itu sunat sahaja, cuba sedaya upaya untuk bersahur.
Pengambilan makanan yang betul untuk sahur boleh memberi tenaga sepanjang hari. Pilih makanan berkhasiat seperti oat, kurma, susu dan roti gandum. Elakkan mengambil makanan berminyak dan terlalu manis, nanti anda cepat letih!
Tidur yang mencukupi juga sangat penting untuk memastikan badan kekal segar dan bertenaga sepanjang hari. Jika terasa letih, cuba tidur sekejap selama 10-15 minit sahaja pada waktu tengah hari untuk menyegarkan semula minda dan tubuh.
Namun, elakkan untuk tidur selepas sahur kerana ia boleh membuatkan badan semakin lesu dan tidak bermaya.
Minum air secukupnya juga penting untuk kekal cergas sepanjang berpuasa. Dehidrasi boleh menyebabkan badan menjadi lesu. Amalkan teknik 2-4-2 iaitu dua gelas ketika berbuka, empat gelas selepas bertarawih dan dua gelas pada waktu sahur.
Walaupun berpuasa, jangan habiskan masa dengan berbaring atau tidur sahaja. Lakukan aktiviti ringan seperti berjalan atau regangan badan supaya darah mengalir lancar. Ini boleh membantu mengelakkan rasa lesu dan mengantuk.
Jangan lupa untuk membaca Al-Quran. Membaca kitab suci itu bukan sahaja akan memberi ganjaran pahala tetapi juga memperoleh ketenangan minda dan hati. Cuba baca sekurang-kurangnya satu muka surat sehari.
Perlu diingatkan bahawa anda tidak perlu berlumba-lumba untuk khatam Al-Quran. Lebih baik sekiranya anda juga menghayati makna kalamullah. Dengan ini, kita dapat memahami setiap bait ayat Al-Quran dengan lebih baik. – RELEVAN