Facebook Twitter
    Trending
    • Duit habis entah ke mana? Mungkin ini punca utamanya
    • Jangan takut untuk bercakap di hadapan kelas
    • Beli kereta atau rumah dahulu?
    • Jangan bersihkan telinga guna putik kapas!
    • James Dyson, perintis teknologi pembersihan moden
    • Tak perlu rumah estetik untuk hidup bahagia
    • Perimenopaus: Fasa awal sebelum haid berhenti
    • Makan durian sambil beringat
    Facebook Twitter TikTok RSS
    RelevanRelevan
    • Halaman Utama
    • Kesihatan

      Jangan bersihkan telinga guna putik kapas!

      July 11, 2025

      Perimenopaus: Fasa awal sebelum haid berhenti

      July 7, 2025

      Makan durian sambil beringat

      July 4, 2025

      Jangan biar ‘overthinking’ ragut bahagia dalam hidup

      July 3, 2025

      Garam hanya penambah rasa, bukan ubat kurus

      June 23, 2025
    • Kewangan

      Duit habis entah ke mana? Mungkin ini punca utamanya

      July 17, 2025

      Beli kereta atau rumah dahulu?

      July 14, 2025

      Senarai barang, perkhidmatan dikenakan dan dikecualikan Cukai SST 2025

      July 1, 2025

      Mampukah generasi kita beli rumah?

      June 19, 2025

      Gaji besar bukan lesen berbelanja sesuka hati

      June 17, 2025
    • Pendidikan

      Jangan takut untuk bercakap di hadapan kelas

      July 16, 2025

      Tak perlu rumah estetik untuk hidup bahagia

      July 8, 2025

      Pelajar jangan pinggirkan sastera

      July 2, 2025

      6 amalan menyambut Awal Muharam dengan berkat

      June 26, 2025

      Steve Irwin: Penjelajah, pendidik, pencinta haiwan

      June 25, 2025
    • Kerjaya

      James Dyson, perintis teknologi pembersihan moden

      July 9, 2025

      Mahu gaji lumayan tapi tidak mahu kerja susah

      June 30, 2025

      Mahu bekerja dalam bidang AI? Ini 6 kerjaya yang perlu anda tahu

      June 27, 2025

      Steve Irwin: Penjelajah, pendidik, pencinta haiwan

      June 25, 2025

      Buli di pejabat: Tak tengking tapi licik menjatuhkan

      June 13, 2025
    • Hubungi Kami
    RelevanRelevan
    Home » Tentang sunyi yang takkan hilang walau kau tak seorang

    Tentang sunyi yang takkan hilang walau kau tak seorang

    By June 3, 20245 Mins Read
    WhatsApp Facebook Twitter Telegram LinkedIn Email
    SUNYI boleh datang walau kita dikelilingi ribuan orang. - GAMBAR HIASAN/RODRIGO GONZALEZ (Unsplash)

    KAU berdiri di tengah laluan pejalan kaki di Bukit Bintang. Jarum pendek pada jam sudah melepasi nombor 10 tetapi Kuala Lumpur tidak gelap.

    Di sekeliling ada manusia yang berjalan berkumpulan, ketawa dengan jenaka rakan. Ada pasangan berpegangan tangan, cuba sembunyi cinta di balik pipi yang kemerahan.

    Kau berdiri tegak, berseorang. Selautan manusia, tiada satu pun yang dikenali. Tiada kenalan, apatah lagi rakan.

    Kaupulang ke bilik sewa. Beg dicampak, baju dibuka, katil berkeriut menyambut hempasan tubuh yang berat dengan soalan: “Lapan juta manusia di Kuala Lumpur, kenapa aku masih sunyi?”

    Lampu pendafluor yang benderang hilang fungsi. Bilik menggelap. Empat dinding putih bagai bergerak dan menyempit.

    Sepi datang dalam bentuk lembaga gelap, membuka mulut dan menelan kaumasuk ke perut sunyi.

    Kenapa aku selalu seorang?

    Maafkan kata ganti nama yang tidak formal di atas. Ia sekadar sebuah gambaran tentang kesunyian yang ingin diteroka dalam penulisan ini.

    Memahami sunyi tak semudah membuka laman web PRPM. Ia lebih rumit dan berdimensi daripada makna literal yang boleh dicari dalam kamus.

    Kesunyian perlu difahami mengikut keadaan. Untuk menghapuskan kesunyian juga sangat bergantung kepada keadaan seseorang.

    Robert S. Weiss – yang meletakkan ikatan (attachment) sebagai inti penting fahamannya terhadap kesunyian – menerangkan bahawa kesunyian terkait rapat dengan kelemahan atau rasa benci diri (self-pity).

    Mengambil fahaman itu, kita sedar bahawa kesunyian boleh disingkir dengan menjadi lebih yakin diri, bergaul dan memenuhi keperluan hubungan manusiawi (seperti bercinta, berkawan dan berkeluarga).

    Namun, ia tidak semudah itu. Rasa benci diri juga sangat rumit dan tidak boleh diubat dengan idea ringkas menambah baik hubungan sosial.

    Mungkin, langkah awal yang perlu diambil untuk kita memanjat keluar dari perut sunyi adalah dengan memahami kesunyian itu sendiri.

    Apa maksud hidup penuh makna?

    Campaign to End Loneliness menyenaraikan enam jenis kesunyian, iaitu:

    • Kesunyian emosi: ketiadaan hubungan emosi (cinta, sayang, kasih) yang bermakna
    • Kesunyian sosial: ketiadaan hubungan sosial (kawan, kenalan) yang berkualiti
    • Kesunyian kewujudan: rasa terasing daripada orang lain dan dunia keseluruhannya
    • Kesunyian sementara: rasa sunyi yang datang dan pergi
    • Kesunyian situasi: kesunyian yang berlaku pada waktu tertentu, seperti perayaan atau hujung minggu
    • Kesunyian kronik: rasa sunyi pada sepanjang atau hampir sepanjang masa

    Yang paling kerap berlaku ialah kesunyian emosi, kesunyian sosial dan kesunyian kewujudan.

    Kesunyian emosi mudah dirasai apabila keperluan emosi tidak dipenuhi dengan ikatan intim yang bermakna, seperti dari seorang kekasih, suami/isteri, kawan atau keluarga.

    Manusia memerlukan keintiman – keterhubungan dengan makhluk lain pada tahap peribadi, dekat dan mendalam. Ia terkandung dalam diri sejak kita mula kenal rasa sayang.

    Namun, keintiman tidak terhad pada perasaan kasih pada pasangan. Ada orang boleh dapat keintiman dalam hubungan yang platonik dan kekeluargaan.

    Berbeza dengan kesunyian sosial, ia berkaitan kuantiti dan kualiti rangkaian sosial seperti persahabatan. Seberapa banyak masa kita dalam sehari boleh diisi dengan bual santai bersama kawan dan bagaimana memuaskan masa itu diisi.

    Berada di sekeliling khalayak yang ramai juga tidak boleh membuang kesunyian sosial. Ia tentang apa yang ada dalam kepala, bukan luar.

    Kesunyian kewujudan lebih mendalam dan melibatkan fikiran. Ia boleh tiba-tiba datang apabila realiti-realiti gelap dunia datang singgah.

    Tentang dunia yang kosong dan sedih. Tentang kerinduan yang tak dapat dielak. Tentang kenyataan bahawa satu hari nanti, jasad kita akan menjadi makanan ulat dalam tanah.

    Kita mempersoal tujuan kewujudan dan merasakan diri terpisah dari komuniti, masyarakat dan setiap individu dalam dunia.

    Serah, usah resah

    Walaupun kesunyian tidak dianggap sebagai penyakit mental, ia berkait rapat dengan keadaan mental seperti kemurungan. Sunyi boleh membawa murung dan begitu juga sebaliknya.

    Kemurungan paling nyata adalah apabila kita fikir yang kesunyian akan jadi teman tetap – ia tidak boleh disingkir dan dihapus. Sedangkan sebenarnya, ia boleh diusahakan.

    Langkah pertama, usaha cari harapan dalam hidup. Ia ada pada manusia, alam atau Tuhan.

    Cari ruang kosong dalam dada dan bentuk apa yang paling sesuai untuk mengisinya. Kuncinya, kita bersangka baik pada takdir. Beri peluang pada harapan.

    Kedua, putuskan kebergantungan pada orang lain untuk rasa gembira dan cukup. Jangan terlalu peduli pada kata-kata orang.

    Kalau anda boleh rasa puas dan cukup dengan menari dalam acara muzik, menarilah sepuasnya tanpa peduli pada jelingan orang di sekeliling. 

    Kalau anda rasa suka pada seseorang, walau mungkin pelik di mata orang, mungkin sebab jurang umur (tapi ini tak terpakai untuk kes pedofil, tolong), luahkan perasaan pada si dia. Kalau dia tolak pun, anda telah buat sesuatu untuk kegembiraan diri. Itu sudah cukup untuk menolak sunyi.

    Kalau anda rasa berseorang ke pawagam atau pusat karaoke itu menggembirakan, lakukanlah tanpa rasa bersalah pada kelaziman masyarakat. Jangan biar stereotaip mengikat.

    Ketiga – ini mungkin yang paling penting – terima kesunyian sebagai teman yang kadang kala datang menyapa. 

    Akan ada masa kita berasa sunyi sebab ia normal. Kadang-kadang rindu datang menjenguk, tak apa. Ada masa sedih menegur, biarkanlah.

    Raikan kerumitan kita sebagai manusia yang dikurnia emosi dan perasaan. Ada waktu emosinya gelap dan berkecamuk tapi hidup akan selalu menerbitkan cahaya.

    Dakap sunyi dan raikannya. Jangan bimbang, perasaan itu hanya sebentar, sayang.

    Benda dengan bulu pelepah

    Pagi itu cerah dan segar. Bau rumput berselang tar hangat buat sesi jalan cergas kau bertenaga. Sudah dua kilometer ditempuh, tinggal separuh jalan lagi untuk sampai ke rumah.

    Kaumandi dengan fikiran terang. Sebentar lagi kemeja kuning pemberian rakan akan menyarung tubuh wangi. Di pejabat nanti, akan ada sekumpulan manusia yang menyambut kauhadir dengan senyum dan ketawa gembira.

    Sebelum melangkah keluar bilik, kautenung empat dinding yang kini lapang. Pada sunyi yang datang bersapa, kauucap selamat.

    Harapan sebuah hal yang baik, mungkin terbaik, dan hal baik tak pernah mati. Kaupetik Andy Dufresne. 

    Harapan ialah benda dengan bulu pelepah / yang merehatkan jiwa / dan menyanyikan lagu tanpa kata / dan tak berhenti sampai bila-bila. Kauterjemah Emily Dickinson. – RELEVAN

    featured kesihatan kesihatan mental sunyi
    Artikel Terkini

    Duit habis entah ke mana? Mungkin ini punca utamanya

    July 17, 2025

    Jangan takut untuk bercakap di hadapan kelas

    July 16, 2025

    Beli kereta atau rumah dahulu?

    July 14, 2025

    Jangan bersihkan telinga guna putik kapas!

    July 11, 2025

    James Dyson, perintis teknologi pembersihan moden

    July 9, 2025
    Ikuti Kami di Media Sosial
    • Facebook
    • Twitter

    Langgan Informasi

    Langgan untuk mendapatkan informasi terkini dari kami.

    Facebook Twitter
    • Halaman Utama
    • Kesihatan
    • Kewangan
    • Pendidikan
    • Kerjaya
    • Hubungi Kami
    Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved

    Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.