DIKHABARKAN suatu ketika dahulu, maharani China menghantar sepasang panda dan 70 helai kain yang diperbuat daripada bulu kepada pemerintah Jepun. Ia berlaku pada tahun 685 Masihi dalam Dinasti Tang, ketika zaman pemerintahan maharani pertama dan terakhir China, Wu Zetian.
Walaupun pakar sejarah masih terus berbahas sama ada yang dihantar itu panda atau beruang jenis lain, peristiwa tersebut dianggap sebagai benih awal kelahiran “diplomasi panda” oleh negara China.
Dalam era moden, tradisi ini diteruskan pada 1941, apabila Wanita Pertama Republik China, Soong Mei-ling menghadiahkan dua ekor panda kepada Zoo Bronx sebagai penghargaan kepada bantuan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang China-Jepun kedua.
Dua haiwan itu, yang bernama Pan-Dah dan Pan-Dee, bukanlah panda pertama yang menjejakkan kaki ke bumi AS (anda boleh buat carian tentang panda bernama Su Lin dan seorang wanita bernama Ruth Harkness) tetapi itu yang pertama diberikan sebagai hadiah diplomatik.
Selepas itu, dengan terbentuknya Republik Rakyat China, pemberian panda sebagai alat diplomasi diteruskan, cuma kali ini sasarannya lebih ke arah kiri. Dari Moscow ke Pyongyang, panda dihantar sebagai tanda persahabatan dan hubungan dua hala.
Apabila dasar luar China semakin terbuka, panda turut dihantar ke negara-negara lain.
Antara pemberian panda sebagai alat diplomatik yang paling ikonik melibatkan pasangan Ling-Ling dan Hsing-Hsing pada 1972. Pasangan itu dihadiahkan kepada AS selepas lawatan rasmi Presiden Richard Nixon ke Beijing yang menandakan permulaan hubungan rasmi kedua-dua negara tersebut.
Malaysia juga tidak ketinggalan. Pada 2014, Zoo Negara menerima dua panda gergasi bernama Fuwa dan Fengyi (kini dikenali sebagai Xing Xing dan Liang Liang). Ia dihadiahkan bersempena ulang tahun ke-40 hubungan rasmi Malaysia-China yang dirintis bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Duta tidak rasmi
Bekas Duta China ke Amerika Syarikat (AS), Cui Tiankai pernah menulis, “ramai yang tidak perasan tapi sebenarnya ada dua Duta dari China di Washington: saya dan anak panda di National Zoo.”
Kata-kata ini menandakan kepentingan panda sebagai alat diplomatik China. Malah, pernah dalam beberapa keadaan, panda yang dihadiahkan ditarik balik ketika hubungan China dengan negara tersebut genting; simbolik penarikan duta jika berlaku perselisihan antara dua negara.
Selepas 1984, panda tidak lagi dihadiahkan kepada negara asing, sebaliknya dipinjamkan dengan bayaran tahunan serta perjanjian bahawa mana-mana panda yang dilahirkan di luar negara akan tetap menjadi milik China.
Namun, peranan panda sebagai alat diplomatik China masih kekal. Peminjaman panda kepada negara asing dikaitkan dengan konsep guanxi (关系), merujuk kepada kesalingpercayaan dan hubungan yang erat antara dua pihak.
Sebab itu, China tidak beri panda kepada sembarangan negara. Kajian oleh Universiti Oxford pada 2013 mendapati, panda hanya dipinjamkan kepada negara yang memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China atau negara yang membekalkan sumber asli dan teknologi kepada China.
Antara peristiwa yang menunjukkan peranan panda sebagai alat diplomatik China adalah dalam isu pembelian salmon dari Scotland dan Norway pada 2011.
Zoo Edinburgh menerima dua ekor panda pada tahun itu dan tidak lama kemudian, China menandatangani perjanjian perdagangan dengan Scotland untuk komoditi seperti salmon, teknologi tenaga boleh baharu dan kenderaan jenama Land Rover.
China meninggalkan Norway sebagai rakan dagang salmonnya selama ini melalui langkah tersebut. Ia dikaitkan dengan pengurniaan Anugerah Nobel Keamanan oleh Norway kepada Liu Xiaobo, pengkritik keras isu hak asasi manusia di China.
Melalui panda, China beri isyarat kepada Scotland: “Saya mahu berdagang dengan kamu kerana pesaing kamu buat sesuatu yang melukakan saya”.
Langkah unik
Menggunakan haiwan yang pernah berada dalam status terancam sebagai alat diplomatik adalah sangat unik.
Panda di sebalik rupa comel dan sikap malasnya, menjadi duta tidak rasmi China di negara-negara pilihannya. Ia terbukti berkesan mengukuhkan hubungan negara tembok besar itu dengan negara-negara lain.
Panda merupakan haiwan yang disukai ramai. Dalam beberapa peristiwa peminjamannya kepada beberapa negara, ia mencetuskan panda-monium atau panda-mania; kegilaan orang ramai terhadap beruang putih hitam itu.
Panda menjadi simbol keamanan, persahabatan dan kerjasama. Dengan panda, China mengisytiharkan komitmennya terhadap usaha pemuliharaan fauna dan dalam masa sama, menggerakkan kuasa lunak serta pengaruh budayanya ke seluruh dunia.
Diplomasi panda oleh China mengajarkan kita tentang kerencaman strategi diplomasi oleh negara-negara di seluruh dunia. Untuk Malaysia, geliga China menggunakan haiwan unik itu sebagai alat diplomatik perlu diambil pedoman.
Tidak mustahil, kita juga mampu memanfaatkan keunikan negara untuk kelebihan diplomasi. – RELEVAN