ADA hari-hari tertentu terasa malas untuk melangkah keluar dari rumah. Cuaca tidak menentu atau keletihan selepas seharian bekerja menjadi alasan untuk melakukan “brisk walk. Sebenarnya ada alternatif mudah – menggunakan tangga di rumah sendiri. Jika dimanfaatkan sebaiknya, menaiki tangga mampu menjadi jalan pintas untuk menurunkan berat badan.
Senaman mudah tanpa perlu keluar rumah
Setiap langkah menaiki tangga dapat meningkatkan kadar denyutan jantung sama ada berjalan secara pantas atau berlari. Inilah yang menjadikan naik tangga satu bentuk senaman ringan walaupun dilakukan dalam tempoh singkat.
Menerusi laporan oleh British Broadcasting Corporation (BBC), satu kajian mendapati peningkatan kecergasan aerobik melalui aktiviti naik turun tangga di rumah adalah sama dengan hasil penggunaan mesin tangga di gimnasium tanpa sebarang bayaran.
Amalan menaiki tangga boleh kurangkan berat badan
Setiap kali naik dan turun tangga, kalori turut terbakar. Sekiranya dilakukan secara konsisten, anda berupaya untuk mengalami perubahan seperti berikut:
- Pembakaran kalori harian
- Kawalan berat badan yang lebih baik
- Pengurangan risiko penyakit jantung
Menguatkan otot dan stabilkan metabolisme badan
Naik turun tangga menguatkan otot paha, betis dan punggung. Selain itu, ia membantu meningkatkan metabolisme dan menyokong proses penurunan berat badan secara semula jadi.
Sejahtera mental dan fizikal
Selain manfaat dalam bentuk fizikal, aktiviti ini dikaitkan dengan peningkatan dari segi daya ingatan, tumpuan dan keupayaan berfikir secara lebih kritis. Senaman ringkas ini mampu menyegarkan tubuh dan minda pada masa yang sama.
Tidak perlu berlari ketika naik turun tangga
Anda tidak perlu berlari atau melangkah dua anak tangga sekaligus. Cukup dengan berjalan seperti biasa sahaja kerana intensiti boleh disesuaikan mengikut tahap kecergasan dan keselesaan diri. -RELEVAN


