MEMBESARKAN anak bukan hanya mengenai kasih sayang dan tanggungjawab. Ia komitmen kewangan jangka panjang dan besar. Di kebanyakan negara maju, kos penjagaan awal, pendidikan dan perbelanjaan asas kanak-kanak meningkat jauh lebih pantas berbanding gaji isi rumah.
Satu kajian baharu oleh jenama pakaian kanak-kanak Posh Peanut menganalisis data dari pelbagai negara di seluruh dunia bagi mengenal pasti negara paling mahal untuk membesarkan anak pada tahun 2025.
Analisis ini mengambil kira kos penjagaan kanak-kanak awal, tadika, pendidikan sehingga usia 18 tahun serta jumlah keseluruhan kos zaman kanak-kanak.
-
Amerika Syarikat
Amerika Syarikat berada di kedudukan teratas dengan jumlah kos membesarkan seorang anak mencecah AS$599,900 (sekitar RM2.82 juta). Angka ini sebahagian besarnya didorong oleh kos pendidikan jangka panjang yang sangat tinggi selain perbelanjaan penjagaan awal kanak-kanak yang bergantung kepada sektor swasta.
Kekurangan subsidi kerajaan menjadikan beban kewangan ini ditanggung hampir sepenuhnya oleh ibu bapa.
-
Switzerland
Switzerland berada di tempat kedua dengan kos keseluruhan sekitar AS$465,500 (sekitar RM2.19 juta). Negara ini terkenal dengan kualiti hidup yang tinggi namun kos tadika dan pendidikan formal yang mahal menjadikannya antara lokasi paling mencabar untuk keluarga muda, khususnya mereka yang tinggal di bandar besar.
-
United Kingdom
Di kedudukan ketiga, United Kingdom mencatat kos sekitar AS$336,600 (sekitar RM1.58 juta). Kos penjagaan kanak-kanak awal yang tinggi sering menjadi isu utama dengan ramai ibu bapa terpaksa memperuntukkan sebahagian besar pendapatan bulanan hanya untuk bayaran taska dan tadika.
-
Luxembourg
Luxembourg merekodkan jumlah kos sekitar AS$259,100 (sekitar RM1.22 juta). Walaupun negara ini menawarkan pelbagai bantuan sosial kepada keluarga, kos sara hidup yang tinggi serta perbelanjaan pendidikan jangka panjang masih memberi tekanan kewangan kepada ibu bapa.
-
Kanada
Kanada berada di tempat kelima dengan kos sekitar AS$255,600 (sekitar RM1.20 juta). Kos pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak menjadi faktor utama, terutama di kawasan bandar utama seperti Toronto dan Vancouver, di mana kos hidup jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
-
Belgium
Belgium mencatat kos sekitar AS$239,400 (sekitar RM1.13 juta). Walaupun sistem kebajikan negara ini agak menyeluruh, kos membesarkan anak masih tinggi dalam jangka panjang, khususnya dari segi pendidikan formal dan perbelanjaan harian.
-
Australia
Australia berada di kedudukan ketujuh dengan kos sekitar AS$233,700 (sekitar RM1.10 juta). Kos tadika dan penjagaan awal kanak-kanak menjadi antara penyumbang terbesar, sekali gus mempengaruhi keputusan ramai pasangan muda untuk menangguhkan memiliki anak.
-
Jepun
Jepun mencatat jumlah kos sekitar AS$205,200 (sekitar RM964,000). Tekanan kos sara hidup, pendidikan dan perumahan sering dikaitkan dengan kadar kelahiran rendah di negara tersebut walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif keluarga.
-
Sweden
Sweden berada di kedudukan kesembilan dengan kos sekitar AS$201,700 (sekitar RM948,000). Walaupun terkenal dengan subsidi keluarga dan cuti ibu bapa yang panjang, kos membesarkan anak secara keseluruhan masih tinggi apabila diambil kira perbelanjaan jangka panjang.
-
Perancis
Perancis melengkapkan senarai dengan kos sekitar AS$196,900 (sekitar RM925,000). Sistem sokongan keluarga membantu mengurangkan beban awal namun kos pendidikan dan sara hidup kekal tinggi dalam jangka masa panjang.
Kajian ini menunjukkan bahawa kos pendidikan jangka panjang merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan kos membesarkan anak, mengatasi kos penjagaan awal. Realiti ini membantu menjelaskan mengapa semakin ramai pasangan muda di negara maju memilih untuk menangguhkan perkahwinan atau memiliki anak, atau mengehadkan bilangan anak.
Harus dinyatakan juga di sini walaupun kos di negara-negara ini tinggi, penduduknya juga mendapat upah dan gaji yang tinggi berbanding di negara kurang maju dengan gaji minimum yang lebih baik.
Kajian ini tidak bertujuan menentukan pilihan hidup individu. Ia hanya memberi gambaran membesarkan anak pada era moden memerlukan perancangan kewangan yang jauh lebih rapi berbanding generasi terdahulu. – RELEVAN


