SARAPAN adalah hidangan paling penting setiap hari. Ia menjadi sumber tenaga untuk memulakan hari. Menurut pakar dietetik, Nurul ‘Aqilah Hasan Ashaari, sarapan membantu membekalkan tenaga dan memastikan tubuh mendapat nutrisi secukupnya untuk melakukan pelbagai aktiviti harian.
Dalam kesibukan pada setiap pagi, ramai yang cenderung meninggalkan sarapan atau sekadar meneguk secawan kopi bagi mengalas perut sebelum ke tempat kerja. Penyediaan sarapan sebenarnya tidak serumit seperti disangka. Berikut adalah lima idea sarapan sihat yang pasti menepati cita rasa rakyat negara ini.
- Nasi Kerabu

Hidangan tradisional Kelantan ini adalah hidangan sarapan yang sukar dilepaskan. Pilih ayam atau ikan bakar sebagai sumber protein, kurangkan kuah santan dan banyakkan ulam-ulaman. Serat sayur membantu proses penghadaman dan mengurangkan kadar kalori.
- Soto

Semangkuk soto bersama ayam, taugeh dan nasi impit boleh menjadi pilihan terbaik kerana mengandungi karbohidrat, protein dan sayur. Elakkan penggunaan minyak berlebihan semasa menyediakan sup dan ayam tanpa kulit untuk mengurangkan lemak.
- Tosai

Bagi sesiapa yang gemar bersarapan di restoran mamak, tosai telur merupakan alternatif yang sukar dilepaskan. Kandungan kolesterolnya yang rendah dan hidangan sampingan kuah dhal yang kaya dengan protein menjadikannya lebih sihat berbanding menu lain.
- Sandwich Sardin

Sandwich Sardin antara pilihan paling mudah dan cepat untuk dihidang. Untuk mengekalkan tenaga berpanjangan boleh guna roti penuh bijirin, sardin dan hirisan sayur-sayuran seperti timun untuk nutrisi lebih seimbang. Menu ini sesuai untuk individu yang sibuk ke tempat kerja.
- Overnight Oat

Amalan pemakanan oat sangat digalakkan dan paling mudah untuk disediakan. Campur dan rendamkan oat bersama susu rendah lemak pada malam sebelumnya. Boleh tambah yogurt dan buah-buahan untuk lebih berselera. Pastikan anda simpan dalam peti sejuk untuk semalaman. Keesokan paginya boleh makan begitu sahaja. -RELEVAN


