EMPAT universiti dari Malaysia tersenarai dalam QS World University Rankings 2026 yang diumumkan oleh QS TopUniversities Jun lalu.
Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terbaik di Malaysia apabila disenaraikan di tangga ke-58 dunia dengan skor keseluruhan 80.1, membuktikan reputasi akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ke-126 dunia dengan skor 65.2, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang masing-masing berkongsi kedudukan ke-134 dunia dengan skor keseluruhan 64.1.
Pencapaian ini meletakkan Malaysia dalam kelompok negara yang mempunyai sistem pendidikan tinggi paling kompetitif di rantau Asia Tenggara.
Beberapa universiti lain dari Malaysia mencatatkan peningkatan kedudukan dalam senarai QS 2026. Antaranya ialah:
- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – tangga ke-153, skor 61.6
- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) – tangga ke-251, skor 50.2
- Taylor’s University – tangga ke-253, skor 50
- UCSI University – tangga ke-269, skor 48.5
- Sunway University – tangga ke-410, skor 36.7
- Universiti Utara Malaysia (UUM) – tangga ke-491, skor 32.6
- INTI International University – tangga ke-509, skor 31.9
- Universiti Teknologi MARA (UiTM) – tangga ke-542, skor 30.3
Kaedah penilaian
Menurut QS, QS World University Rankings 2026 menggunakan metodologi penilaian yang ketat dan komprehensif merangkumi lapan kriteria utama. Lima daripadanya merupakan komponen tradisional yang menilai aspek akademik dan penyelidikan manakala tiga lagi bagi menilai keberlanjutan dan impak sosial universiti.
Antara kriteria utama termasuk:
- Reputasi akademik (40 peratus) – Berdasarkan pandangan ahli akademik di seluruh dunia terhadap universiti yang mereka anggap cemerlang dalam bidang masing-masing.
- Reputasi majikan (10 peratus) – Menilai pandangan majikan global terhadap kemampuan graduan universiti memenuhi keperluan pasaran kerja.
- Nisbah fakulti/pelajar (20 peratus) – Mengukur kualiti pengajaran melalui jumlah fakulti berbanding pelajar.
- Pemetikan setiap fakulti (20 peratus) – Menilai impak penyelidikan berdasarkan jumlah pemetikan per fakulti melalui data daripada Scopus.
- Nisbah pelajar dan fakulti antarabangsa (5 peratus + 5 peratus) – Menunjukkan kepelbagaian komuniti akademik serta keupayaan universiti menarik bakat antarabangsa.
Untuk edisi 2025/26, QS turut memperkenalkan tiga metrik baharu yang menonjolkan peranan universiti dalam dunia moden:
- Kelestarian (5 peratus) – Mengukur komitmen universiti terhadap isu sosial dan alam sekitar.
- Hasil pekerjaan (5 peratus) – Menilai keberkesanan universiti dalam meningkatkan peluang kerjaya graduan.
- Rangkaian penyelidikan antarabangsa – Mengukur sejauh mana universiti terlibat dalam kolaborasi penyelidikan antarabangsa.
Kedudukan terbaharu ini membuktikan keupayaan universiti-universiti tempatan untuk berdiri sebaris dengan institusi terkemuka dunia, bukan sahaja dalam bidang akademik dan penyelidikan tetapi juga dalam membina impak sosial dan memperkukuh jaringan global. – RELEVAN

 

