DALAM era digital yang serba terbuka ini, setiap individu mempunyai pentas sendiri untuk bersuara. Hanya dengan satu hantaran, pandangan kita boleh sampai ke ribuan atau jutaan mata dan telinga di seluruh dunia.
Namun, di sebalik kebebasan itu, ada garis halus yang memisahkan antara ‘berani bersuara’ dan ‘terlalu lantang hingga memakan diri’.
Kita sering kagum dengan individu yang vokal, lantang menyuarakan isu semasa atau berani menegur ketidakadilan. Dalam banyak keadaan, sikap ini positif kerana ia menunjukkan kepekaan dan keyakinan diri.
Tetapi apabila setiap perkara ingin diulas, semua isu mahu dikritik dan segalanya diluahkan secara terbuka, di situlah bermulanya risiko overexposed – terlalu terdedah di media sosial.
Kadang-kadang bukan isi yang salah tetapi cara dan tempat menzahirkan pendapat yang menjadikan sesuatu kenyataan itu bermasalah.
Media sosial bukan diari
Ramai yang masih melihat media sosial sebagai ruang peribadi untuk meluahkan rasa, seolah-olah hanya rakan-rakan rapat yang membaca.
Hakikatnya, setiap ciapan, komen dan video yang dimuat naik boleh tersebar jauh lebih luas daripada jangkaan. Ia boleh ditangkap layar, dikongsikan semula dan dibaca di luar konteks asalnya walaupun niat kita sekadar bergurau.
Lebih membimbangkan, dunia maya ini tidak melupakan. Walaupun kandungan sudah dipadam, kesannya mungkin kekal selamanya.
Menurut Kaspersky, inilah yang disebut sebagai digital footprint – jejak digital yang terbentuk daripada segala aktiviti kita di alam maya. Setiap perkongsian, gambar dan komen menjadi sebahagian daripada rekod yang boleh dijejaki semula walaupun sudah lama berlalu.
Bayangkan satu komen yang ditulis dalam keadaan marah lima tahun lalu muncul semula hari ini, ketika kita sedang membina kerjaya atau memohon kerja baru.
Bagi majikan, klien atau rakan kolaborasi, ia boleh membentuk persepsi yang sukar diperbetulkan. Apa yang dianggap remeh pada masa lalu boleh menjadi penghalang besar pada masa depan.
Mahu bina personal branding atau penjenamaan peribadi melalui media sosial itu tidak salah. Tetapi ramai percaya untuk membina personal branding, seseorang perlu tampil aktif dan berani di media sosial.
Hakikatnya, penjenamaan peribadi bukan bermaksud anda perlu menonjol atau dikenali sebagai seorang yang lantang. Dalam dunia profesional, keberanian yang sebenar datang daripada keupayaan bersuara dengan hikmah, bukan dengan emosi.
Penjenamaan peribadi yang berkesan ialah apabila seseorang mampu menunjukkan nilai, integriti dan kematangan dalam setiap perkongsiannya.
Pakar komunikasi menyarankan agar kita selalu bertanya kepada diri sendiri sebelum memuat naik sesuatu:
- Adakah perkongsian ini perlu atau sekadar luahan emosi?
- Adakah ia boleh menjejaskan reputasi saya di masa depan?
- Adakah saya bersedia mempertahankan kenyataan ini lima tahun dari sekarang?
Soalan-soalan itu nampak mudah tetapi sering diabaikan. Padahal ia boleh membezakan antara individu yang disegani dan individu yang tular disebabkan isu negatif.
Antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab berfikir
Tidak ada salahnya bersuara. Bahkan, masyarakat yang sihat ialah masyarakat yang berani menyatakan pendapat. Namun, kebebasan bersuara tidak bermakna kita bebas daripada tanggungjawab terhadap apa yang diucapkan. Dalam dunia maya, kata-kata boleh tersebar lebih cepat daripada niat sebenar di sebaliknya.
Seperti yang dihuraikan dalam kajian Freedom of Speech and Expression in Malaysia oleh Universiti Malaya, kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak. Ia tertakluk kepada pertimbangan moral dan undang-undang. Justeru, setiap pendapat yang disuarakan perlu seiring dengan tanggungjawab sosial dan etika.
Contohnya, satu komen sinis terhadap sesuatu isu boleh disalah tafsir sebagai serangan peribadi. Atau satu video teguran yang bertujuan mendidik boleh dianggap menghina. Tanpa kawalan emosi dan kebijaksanaan bahasa, mesej mudah disalah erti dan akhirnya ia bukan lagi tentang pendapat tetapi tentang personaliti kita.
Belajar untuk bersuara dengan nilai, bukan dengan amarah
Dalam dunia yang bising dengan pandangan, suara yang paling dihargai bukanlah yang paling kuat tetapi yang paling bernilai.
Kadang-kadang, diam bukan tanda takut tetapi tanda matang. Kita tidak perlu menyertai setiap perdebatan atau menjawab setiap provokasi. Ada perkara yang lebih baik disimpan, dan ada juga pandangan yang lebih bijak disampaikan secara berhemah.
Bila kita tahu bila perlu bersuara dan bila perlu menahan diri, kita sebenarnya sedang membina reputasi digital yang kukuh – bukan dibentuk oleh emosi sesaat tetapi oleh prinsip dan kebijaksanaan.
Apa yang kita tulis hari ini mungkin terlupa esok, tapi internet tidak pernah lupa. Jejak digital tidak hilang walaupun kita sudah padamkan hantaran atau akaun. Ia boleh kekal bertahun-tahun, menunggu masa untuk muncul semula.
Justeru, sebelum kita menekan butang post, publish dan sebagainya, fikirkan kesannya terlebih dahulu. – RELEVAN