SAYA kenal Rosli Ibrahim melalui video kuliah-kuliah jalanan di Youtube. Waktu itu, saya masih seorang mahasiswa. Jiwa mudah teruja apabila disuakan ilmu dari jalanan.
Dari Lepak Maqasid, Kuliah Buku (KuBu), Buku Jalanan atau Kuliah Bangsar Utama, semua kegiatan perbukuan dan intelektual yang kebanyakannya berpusat di Kuala Lumpur saya ikuti dari jauh.
Dalam video-video yang saya tonton, selalu terlihat kelibat Rosli, yang mesra saya sapa sebagai abang Rosli. Dia mudah menyerlah atas dua sebab: satu, ketidakupayaannya dapat dilihat secara fizikal dan kedua, dia lantang tanya soalan.
Satu hari, kolej kediaman bersebelahan menganjurkan acara yang melibatkan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis). Salah seorang panel dalam acara itu ialah abang Rosli. Tanpa was-was dan berfikir panjang, saya hadir ke acara itu.
Itu kali pertama saya bertemu abang Rosli. Sembang kami singkat tapi ia melekat makna pada fikiran saya. Dengan lancar dia mengkritik sikap mahasiswa dan universiti, hanya melalui pengalamannya di situ, pada malam itu.
Pentingnya pendidikan
Nama sebenarnya Mohd. Rosli Ibrahim, berumur 49 tahun dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Riwayat hidupnya penuh warna-warni namun tidak ada satu pun yang dikesalinya.
“Dari lahir saya tak nampak tapi kita tak jumpa orang lain yang tak nampak, jadi kita tak tahu. Kita sedar mata kurang nampak, kadang-kadang tersepak cawan atas lantai tapi waktu itu, mungkin sebab orang Melayu ini sifatnya sopan santun, perkataan buta itu macam tak ada.
“Memang keluarga pun hanya kata kurang nampak dan tak ada buat pemeriksaan. Sehinggalah masuk sekolah, duduk depan tapi tak nampak papan hitam. Baca pun tak pandai, cuma melukis dan main plastisin. Pakai baju pun reti.
“Bila fikir balik memang kelakar tapi ada sesuatu yang saya nak sampaikan dengan cerita itu. Kalau satu ketika nanti, ada keluarga yang dapat anak macam itu, mereka rasa tak berguna, tak boleh buat apa.
“Secara tersiratnya saya nak kata, kita kena hargai siapa pun dia (anak), keadaan macam mana pun. Sebab itu saya sangat sentimental dengan pendidikan,” kata abang Rosli.
Bagi abang Rosli, walaupun untuk anak yang kurang upaya, pendidikan sangat penting. Cuma kefahaman masyarakat tentang pendidikan perlu diperbetul. Pendidikan bukan sekadar belajar di sekolah untuk dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Kalau seorang itu tak boleh boleh menguruskan diri, seperti autisme dan sebagainya, dia memerlukan pendidikan bersifat pengurusan diri. Kalau ada masalah pertuturan, (mereka memerlukan) pendidikan yang boleh mengatasi masalah tadi,” katanya.
Tentang pendidikan, abang Rosli sukakan konsep pendidikan yang dibawakan dalam Akta Pendidikan untuk Individu Kurang Upaya (IDEA) yang dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS).
Baginya, pendidikan mesti berdasarkan keperluan.
Kecelikan dari kebutaan
Abang Rosli dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan namun matanya tidaklah sepenuhnya tidak nampak. Dia mempunyai penglihatan yang terhad, baik dari segi medan penglihatan (keluasan ruang yang dapat dilihat dengan mata) atau jarak.
Ketika bersekolah, guru perasan kekurangan yang ada pada penglihatannya dan menasihatkan ibu bapanya untuk menghantar abang Rosli ke sekolah khas untuk kanak-kanak dengan masalah penglihatan.
Pilihan yang ada pada waktu itu, pada awal 1980-an, hanya di Johor Bahru atau Pulau Pinang. Ini menimbulkan kerisauan pada ibu bapanya yang ketika itu menetap di Kelantan.
Pada awalnya, ia menimbulkan pergaduhan kecil antara ibu dengan bapanya yang risau untuk hantar anak yang masih berumur 8 tahun ke sekolah berasrama jauh dari dari keluarga. Takut jika dia dianiaya atau tidak mampu menguruskan diri sendiri.
“Sentimen orang dahulu, pada 1980-an, pendidikan adalah segala-galanya. Ia kesedaran kolektif masyarakat miskin, hanya pendidikan dapat bawa kita keluar dari garis kemiskinan. Sekarang mungkin paradigmanya sudah berubah.
“Jadi antara penyelesaiannya, mereka hantar saya ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru dan ayah saya pergi kerja buat bangunan di Singapura.
“Mereka fikir, kalau mereka dah tak ada, siapa nak jaga saya? Kalau saya tak ada pendidikan di sekolah, tak mungkin adik-beradik nak jaga (sampai tua). Itu yang mak saya fikir, jadi macam mana pun, mesti hantar ke sekolah (dapatkan pendidikan). Walaupun sebenarnya ayah saya tak sanggup nak berpisah jauh, kena hantar juga,” katanya.
Kedua-dua ibu bapa abang Rosli buta huruf namun mereka sangat mementingkan pendidikan.
Minat membaca abang Rosli sendiri dipupuk oleh bapanya yang tidak tahu membaca. Ketika keluarganya sudah berpindah ke Kuala Lumpur, bapanya suka mengutip buku-buku yang dibuang di tempat sampah untuk dibawa pulang.
Antara buku pertama yang dibawa pulang bapanya ialah Falsafah Hidup karya Hamka.
Bentuk peribadi
“Waktu itu umur saya 12 tahun. Disebabkan buku Hamka itu, saya berminat membaca buku-buku yang menguatkan peribadi. Hamka bercerita tentang cara membentuk budi pekerti yang baik, akhlak yang baik.
“Selepas itu, saya membaca karya Hamka yang lain seperti Lembaga Budi dan karya yang sekitar itu. Saya fikir, Hamka membentuk cara saya berfikir dan membentuk kendiri. Sampai sekarang kesan itu ada,” kata abang Rosli.
Mungkin agak aneh tetapi abang Rosli yang mempunyai penglihatan terhad adalah seorang pembaca buku yang tegar. Dia juga dikenali sebagai aktivis buku dalam kalangan peminat buku dan kegiatan intelektual di Kuala Lumpur.
Selain banyak mengumpul buku, majalah, surat khabar dan tesis akademik, abang Rosli turut banyak menulis tentang kaedah membaca di media sosial.
Dalam usia mudanya, kebanyakan buku diperoleh melalui pinjaman, terutamanya buku-buku gurunya di sekolah. Dia juga suka masuk ke kedai-kedai buku dan meluangkan masa membaca di situ.
Antara bidang bacaan kegemarannya termasuk falsafah, sejarah dan perbahasan agama.
Penghormatan
Sebagai seorang OKU yang membuat kajian, renungan serta bacaan mendalam tentang isu OKU, saya tanyakan soalan yang sangat asas kepada abang Rosli. Dalam biliknya yang kecil di Brickfields itu, saya ajukan soalan, apa yang sebenarnya diperlukan oleh komuniti OKU di Malaysia?
“Penghormatan,” jawabnya ringkas. Saya ada pengalaman mengadakan temu ramah berkaitan isu OKU sebelum ini tetapi ini kali pertama soalan asas sebegitu dijawab dengan sangat tuntas. Satu perkataan yang meleraikan semua masalah berkaitan OKU.
Tidak perlu buka Akta OKU 2008. Tidak ada huraian teknikal tentang reka bentuk sejagat (universal design). Akarnya pada penghormatan. Jika masyarakat hormat pada OKU, barulah perkara lain mendatangkan hasil.
“Saya cakap terus terang, tanah ini bukan tanah yang subur untuk gerakan OKU. Budaya kita tidak mengizinkan kita sampai seperti tahap Eropah.
“Sistem nilai yang kita anuti bukanlah sistem nilai yang baik untuk OKU. Mungkin kita perlu lalui 100 hingga 200 tahun lagi.
“Fokus saya sekarang adalah mengkaji OKU dalam kebudayaan Melayu dan Islam. Saya dah buat kerja ini, diam tak diam, sudah 10 tahun. Kalau nak cerita tentang akta dan sebagainya, saya sudah faham.
“Budaya masyarakat Malaysia dan Melayu perlu dikembalikan kepada penghormatan kepada OKU. Soal lain seperti ketercapaian (accessibility), pekerjaan atau sebagainya, itu kemudian,” katanya.
Menurut abang Rosli, pada dekad 80-an, komuniti OKU lebih mudah dapat pekerjaan walaupun tidak ada Akta OKU.
Ia membawa kami kepada perbincangan tentang paradoks undang-undang: kewujudan undang-undang merampas penghormatan dari dalam diri individu kerana penghormatan menjadi paksaan, bukan dipupuk dalam diri masyarakat.
“Apabila ada akta, ia membentuk sistem nilai dari atas ke bawah. Ia menekan masyarakat, memaksa masyarakat. Dia bukan datang dari dalam diri masyarakat itu sendiri.
“Dulu, masyarakat Melayu bodoh tentang OKU, bodoh tentang orang buta. Tapi sistem nilai yang dianut masyarakat waktu itu, mereka hormat. Jadi, saya rasa, kembalikan penghormatan pada OKU.
“Apabila kau dah hormat, benda lain akan datang kemudian. Soal ketercapaian, pekerjaan, dia akan datang kemudian,” katanya. – RELEVAN