TIDAK dinafikan tuntutan kerja hari ini lebih besar berbanding beberapa dekad lalu. Perubahan persekitaran dan saingan memaksa syarikat menekankan kepada produktiviti selain keperluan untuk terus mencatatkan keuntungan.
Namun menurut Forbes, ada garis pemisah antara menjadi komited dan merosakkan diri sendiri secara perlahan.
Salah satu cara mengimbangi tuntutan kerja dan keperluan peribadi ialah mengambil cuti. Pakar juga menyarankan pengambilan cuti sebagai strategi menjaga kesihatan mental, emosi dan prestasi kerja.
Jika anda mula menunjukkan tanda-tanda berikut, mungkin sudah tiba masanya untuk bercuti beberapa hari dan kembali dengan mood yang lebih positif.
1. Selalu cepat marah walaupun perkara kecil
Jika anda perasan diri semakin mudah tersinggung, cepat marah atau triggered dengan perkara yang sebelum ini langsung tidak mengganggu, itu tanda awal keletihan mental.
Otak yang letih sukar mengawal emosi secara rasional. Akibatnya, tindak balas kita menjadi lebih impulsif dan keras sama ada terhadap rakan sekerja, keluarga atau diri sendiri. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan hubungan malah boleh mencipta konflik.
Jika segalanya mula nampak menyakitkan hati, mungkin masalahnya bukan pada orang lain tetapi pada tahap tenaga emosi anda yang sudah terlalu rendah.
2. Membuat keputusan yang tidak sihat
Apabila mengalami keletihan mental dan fizikal, keupayaan membuat keputusan rasional akan menurun. Anda mungkin:
- Mula makan secara tidak terkawal atau tidak makan langsung
- Menangguh tugasan penting
- Membuat pilihan yang biasanya anda tidak akan buat
- Bertindak tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang
Menurut Forbes, keletihan kronik boleh mempengaruhi bahagian otak yang mengawal pertimbangan dan kawalan diri.
Ini bermakna, semakin lama anda menolak rehat, semakin besar risiko anda membuat keputusan yang merugikan diri sendiri sama ada dalam kerjaya, kewangan dan hubungan.
Ironinya, ramai yang berkata, “Aku tak boleh cuti sekarang, banyak benda penting.” Hakikatnya, jika minda anda sudah tidak stabil, keputusan yang dibuat dalam tempoh itu mungkin jauh lebih merosakkan.
3. Semakin banyak melakukan kesilapan
Kesilapan kecil sekali-sekala adalah normal. Tetapi jika anda mula menyedari corak kesilapan berulang-ulang, itu perlu diberi perhatian.
- Tersalah hantar emel
- Terlupa tugasan penting
- Salah tarikh, nombor, maklumat
- Perlu diperbetulkan berkali-kali oleh orang lain
Ini bukan semata-mata masalah fokus. Ia tanda otak anda sudah keletihan untuk berfungsi dengan baik.
Dalam jangka panjang, kesilapan yang semakin kerap ini boleh menjejaskan kredibiliti profesional anda. Rehat mungkin kelihatan seperti membuang masa tetapi hakikatnya ia jauh lebih baik daripada kehilangan reputasi.
4. Sukar untuk tidur
Keletihan yang sihat membuatkan kita mudah lena. Tetapi keletihan akibat tekanan kronik selalunya menghasilkan kesan bertentangan iaitu insomnia.
Anda mungkin mengalami situasi seperti penat tapi tidak boleh tidur, terbangun tengah malam dan sukar lena kembali atau berfikir berlebihan walaupun badan sudah letih.
Ini berlaku kerana sistem saraf masih berada dalam mode berjaga-jaga akibat tekanan berpanjangan. Apabila tidur terganggu, keesokan harinya menjadi lebih buruk lalu kitaran ini berulang.
Tanpa rehat yang cukup, prestasi mental akan terus jatuh dan emosi menjadi semakin tidak stabil.
5. Mengabaikan kehidupan sosial
Salah satu tanda yang sering diabaikan ialah apabila seseorang mula mengasingkan diri secara perlahan. Anda mungkin mula menolak ajakan bertemu rakan, jarang membalas mesej atau tidak lagi berminat dengan aktiviti yang sebelum ini disukai.
Pada mulanya, ia kelihatan seperti penat sahaja. Namun jika dibiarkan, keadaan ini perlahan-lahan menjauhkan anda daripada dunia sekeliling.
Manusia ialah makhluk sosial. Apabila hubungan mula terputus, ia memberi kesan besar kepada kesihatan mental kita walaupun tidak disedari.
6. Tidak ingat bila kali terakhir bercuti
Ini tanda paling jelas tetapi sering diabaikan. Jika mengingati bila kali terakhir anda bercuti pun sudah mengambil masa yang lama, itu sendiri sudah cukup menjadi jawapannya.
Bercuti bukan sekadar cuti umum atau kerja dari rumah. Ia bermaksud memutuskan diri seketika daripada tekanan rutin untuk memberi ruang kepada tubuh dan minda pulih. – RELEVAN

