SIAPA kata golongan yang diberi kelonggaran oleh Allah seperti wanita sedang haid atau orang tua yang uzur tidak berpeluang meraih ganjaran pada 10 malam terakhir Ramadan?
Pendakwah bebas, Ustazah Raudhah Rodzli berkata, Islam memberi ruang kepada setiap Muslim untuk terus beribadah mengikut kemampuan masing-masing.
Walaupun ada golongan yang tidak dapat berpuasa atas sebab tertentu, mereka tetap berpeluang meraih pahala dan menghidupkan malam lailatul qadar melalui pelbagai amalan lain yang dibenarkan.
Siapa yang termasuk dalam golongan dibolehkan tidak berpuasa?
Islam memberi kelonggaran kepada beberapa golongan untuk tidak berpuasa sekiranya terdapat keuzuran atau keadaan tertentu. Antaranya ialah:
- Orang sakit
Individu yang mengalami penyakit dan dikhuatiri berpuasa boleh memudaratkan kesihatan dibenarkan untuk tidak berpuasa. Namun, puasa tersebut perlu diganti pada hari lain apabila sudah sembuh.
- Orang bermusafir
Mereka yang berada dalam perjalanan jauh juga diberikan kelonggaran untuk berbuka. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 bahawa sesiapa yang bermusafir dan tidak berpuasa hendaklah menggantikan puasa tersebut pada hari lain.
- Wanita yang sedang haid atau nifas
Wanita yang berada dalam keadaan tidak suci tidak dibenarkan berpuasa dan solat. Walau bagaimanapun, puasa yang ditinggalkan wajib diganti selepas Ramadan.
- Orang yang tua atau uzur
Golongan warga emas yang tidak lagi mampu berpuasa kerana faktor kesihatan dibenarkan untuk tidak berpuasa. Sebagai ganti, mereka perlu membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
- Wanita mengandung atau menyusukan anak
Wanita hamil atau menyusukan anak turut diberi keringanan untuk tidak berpuasa jika bimbang tentang kesihatan diri sendiri atau bayi.
Amalan yang boleh dilakukan untuk menghidupkan malam Lailatul Qadar
Walaupun tidak berpuasa, golongan ini masih boleh menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan pelbagai amalan yang memberi ganjaran pahala.
1. Berdoa
Jangan lepaskan peluang untuk memperbanyakkan doa sepanjang baki Ramadan ini. Siapa tahu, doa yang dipanjatkan dengan ikhlas bakal dimakbulkan oleh Allah pada waktu terbaik.
2. Berzikir
Sentiasa mengingati Allah dengan zikir yang mudah seperti:
- Subhanallah (maha suci Allah)
- Alhamdulillah (segala puji bagi Allah)
- Allahu Akbar (Allah maha besar)
- La ilaha illallah (tiada tuhan melainkan Allah)
3. Membaca al-Quran tanpa menyentuh mashaf
Bagi wanita haid, kebanyakan ulama menggalakkan membaca ayat al-Quran melalui hafalan atau menggunakan gajet tanpa menyentuh mashaf (naskhah al-Quran ditulis tangan) secara langsung. Membaca terjemahan juga dikira sebagai satu amalan.
4. Mendengar bacaan al-Quran
Mendengar bacaan ayat suci al-Quran juga boleh menjadi salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah.
5. Bersedekah
Ringankan tangan untuk bersedekah kepada golongan memerlukan atau menyumbang di tabung surau dan masjid.
6. Memohon ampun dan bertaubat
Gunakan 10 malam terakhir Ramadan untuk memohon keampunan daripada Allah.
7. Menyediakan hidangan sahur atau iftar
Menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa juga merupakan amalan yang besar pahalanya kerana memudahkan mereka yang berpuasa melaksanakan ibadah.
Usah bersedih jika anda tergolong dalam orang yang terkecuali berpuasa, ini kerana pintu pahala pada 10 malam terakhir Ramadan tetap terbuka luas melalui pelbagai bentuk amalan yang dilakukan secara ikhlas. – RELEVAN


