SYAWAL akan menjelma kurang 10 hari lagi. Ramai sudah merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.
Namun di sebalik keterujaan menyambut hari raya bersama insan tersayang, ada satu perkara yang jarang dibincangkan secara terbuka — jumlah sebenar perbelanjaan untuk pulang beraya.
Ramai hanya memikirkan kos asas. Hakikatnya, apabila semua perbelanjaan diambil kira, jumlah yang dibelanjakan sering kali lebih besar daripada yang dijangka.
Kos utama balik kampung
-
Minyak dan tol
Untuk mereka yang memandu pulang ke kampung, kos minyak dan tol biasanya menjadi perkara pertama dalam bajet perjalanan.
Jika jarak perjalanan jauh, jumlahnya boleh mencecah ratusan ringgit untuk perjalanan pergi dan balik. Kesesakan trafik ketika musim perayaan juga meningkatkan penggunaan minyak kerana perjalanan menjadi lebih lama.
Untuk mengetahui berapakah amaun tol yang dicaj, anda boleh semak di aplikasi navigasi Waze. Anda hanya perlu tetapkan destinasi dan pilih laluan yang akan digunakan. Amaun caj tol yang akan dikenakan tertera di setiap pilihan laluan.
Walaupun jumlahnya besar, kos ini biasanya sudah dijangka lebih awal oleh kebanyakan orang.
-
Servis dan penyelenggaraan kenderaan
Sebelum memulakan perjalanan jauh, ramai pemilik kenderaan akan melakukan servis asas bagi memastikan kereta berada dalam keadaan baik.
Menukar minyak hitam, memeriksa brek, tayar dan bateri adalah langkah penting untuk mengelakkan masalah ketika memandu jarak jauh. Walaupun ia sebahagian daripada penyelenggaraan biasa, kos ini tetap menjadi perbelanjaan yang perlu diambil kira sebelum balik kampung.
-
Tiket pengangkutan awam
Bagi mereka yang tidak memandu, kos utama biasanya datang daripada tiket bas, tren atau kapal terbang.
Ketika musim perayaan, harga tiket sering meningkat kerana permintaan yang tinggi. Tempahan pada saat akhir juga boleh menyebabkan harga menjadi lebih mahal berbanding hari biasa.
Kos tersembunyi yang selalu terlepas pandang
-
Penginapan tambahan
Apabila ramai saudara-mara pulang serentak, rumah kampung kadangkala tidak mampu menampung semua orang.
Keluarga yang membawa anak kecil atau warga emas akan memilih untuk menyewa hotel atau homestay berhampiran.
Kos ini jarang dimasukkan dalam bajet awal tetapi harga penginapan ketika musim raya selalunya lebih tinggi kerana permintaan meningkat.
-
Tambahan duit raya
Ramai menyediakan sejumlah sampul duit raya sebelum pulang ke kampung. Namun apabila bertemu lebih ramai anak saudara, sepupu atau jiran, jumlah yang perlu diberi sering bertambah.
Ada juga situasi di mana seseorang berasa tidak sampai hati jika tidak memberi kepada kanak-kanak yang datang beraya. Tanpa sedar, jumlah duit raya yang disediakan cepat habis dan terpaksa ditambah.
-
Perbelanjaan makanan bersama keluarga
Apabila ramai ahli keluarga berkumpul di kampung, aktiviti memasak atau makan bersama biasanya dilakukan secara besar-besaran.
Ada yang berkongsi membeli bahan mentah seperti ayam, daging atau makanan laut. Ada juga yang menawarkan diri untuk belanja makan di luar ketika keluar bersama keluarga.
Perbelanjaan ini mungkin nampak kecil tetapi jika berlaku beberapa kali sepanjang tempoh berada di kampung, jumlahnya boleh meningkat dengan cepat.
-
Membeli barang keperluan untuk rumah kampung
Tidak kurang yang mengambil peluang membeli barang asas untuk kegunaan keluarga di kampung.
Contohnya seperti beras, minyak masak, sabun mandi, sabun pencuci baju atau barang dapur lain. Ada yang membelinya untuk kegunaan sepanjang berada di kampung, manakala ada juga yang meninggalkannya untuk ibu bapa selepas pulang semula ke bandar.
Walaupun niatnya baik, kos ini jarang dimasukkan dalam bajet balik kampung.
Balik kampung sememangnya tradisi yang sangat bermakna setiap kali menjelang Syawal. Ia menjadi peluang untuk berkumpul semula dengan keluarga dan mengeratkan hubungan yang mungkin jarang dapat diluangkan sepanjang tahun.
Namun memahami kos sebenar termasuk kos tersembunyi boleh membantu anda merancang kewangan dengan lebih realistik agar kegembiraan beraya tidak bertukar menjadi tekanan kewangan selepas musim perayaan. – RELEVAN


