FENOMENA “food coma” selepas berbuka puasa bukan sesuatu yang asing, terutama apabila budaya hidangan bufet menjadi trend di Malaysia.
Menurut Pakar Nutrisi, Fatin Umairah Mohd Keri atau lebih dikenali sebagai Nutritionist Fatin, keadaan ini berkait rapat dengan mekanisme kenyang tubuh dan cara kita mengambil makanan.
Risiko iftar dengan bufet
Nutritionist Fatin berkata, jika dilihat dari sudut sains pemakanan, tubuh badan mempunyai mekanisme kenyang yang mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk dihantar daripada perut ke otak melalui hormon seperti cholecystokinin (CCK) dan leptin.
“Jika kita makan terlalu cepat atau terlalu banyak dalam tempoh yang singkat, isyarat kenyang belum sempat dihantar dan menyebabkan pengambilan kalori berlebihan tanpa sedar.
“Dalam konteks budaya bufet di negara kita, cabarannya ialah kecenderungan untuk makan melebihi keperluan sebenar kerana faktor harga, suasana, dan psikologi bahawa rugi tidak makan banyak,” katanya.
Cadangan pakar
Nutritionist Fatin berkongsi strategi untuk mengawal pengambilan makanan ketika berbuka agar lebih selari dengan keperluan tubuh badan.
“Strategi yang dicadangkan adalah untuk berbuka secara berperingkat. Pada fasa permulaan, utamakan air kosong dan satu saiz hidangan buah-buahan.
Kemudian, amalkan konsep Suku Suku Separuh bagi hidangan utama. Makanan bergoreng atau pencuci mulut boleh diambil dalam saiz kecil selepas hidangan utama, bukan sebagai pembuka selera,” katanya.
Beliau berkata, kajian turut menunjukkan individu yang makan secara perlahan lebih cenderung mengambil kalori yang sedikit dan lebih mudah mengawal berat badan.
Pendekatan tersebut selari dengan amalan ‘mindful eating’, iaitu menikmati makanan secara sederhana. – RELEVAN


